Wednesday, May 11, 2011

pr Roboh Juga


Operasi roboh kampung Melayu

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusangroup.com.my


Sekumpulan penduduk membina tembok manusia bagi menghalang kerja-kerja merobohkan kampung mereka oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di Kampung Melayu Sungai Kerandang di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor, semalam. - UTUSAN/Amin Farij Hasan

HULU SELANGOR 10 Mei - Ketenangan Kampung Sungai Kerandang, Kuala Kubu Baru, yang didakwa menjadi penempatan lebih 45 keluarga Melayu di sini berubah menjadi tegang hari ini berikutan tindakan kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Hutan Negeri Selangor melakukan kerja-kerja merobohkan kawasan penempatan mereka dengan alasan mereka telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Bukit Tarek.

Bagaimanapun, percubaan Jabatan Hutan Negeri Selangor yang diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd. Yussainy Md. Yusop bersama kira-kira 200 anggota penguat kuasa termasuk dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor untuk memasuki kawasan itu pada kira-kira pukul 9.15 pagi dihalang oleh penduduk yang berkumpul di persimpangan masuk ke kampung mereka, iaitu kira-kira 100 meter daripada laluan masuk ke kampung tersebut.

Turut bersama kira-kira hampir 40 penduduk yang masing-masing membawa sepanduk dan kain rentang ialah Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

Kamalanathan yang mewakili penduduk yang sudah tiba seawal pagi berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan perkampungan itu dengan meminta operasi merobohkan ditangguh kerana masih ada jalan penyelesaian terbaik dengan mengadakan perbincangan.

Melalui perbincangan menerusi telefon yang dibuat hampir setengah jam antara Kamalanathan dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Elizabeth Wong, beliau memberitahu pihak kerajaan negeri tetap bertegas agar operasi diteruskan.

Bagaimanapun, Elizabeth memutuskan tindakan itu buat sementara ini tidak melibatkan penempatan, surau, balai raya dan kawasan tanaman penduduk sebaliknya jauh daripada kawasan tersebut.

Keputusan itu melegakan penduduk, tetapi hanya seketika. Dalam perbincangan selanjutnya dengan Mohd. Yussainy di balai raya kampung itu, keadaan kembali tegang kerana timbul isu mengenai kawasan mana yang patut dirobohkan.

Penduduk mendakwa jika operasi tersebut dijalankan ia tetap akan melibatkan kawasan kebun penduduk.

Jika operasi itu diteruskan bermakna masa depan dan mata pencarian mereka akan musnah, sekali gus membayangkan sifat kejam kerajaan negeri.

Dalam sesi perbincangan itu penduduk tetap mempertahankan hak mereka dan turut mempersoalkan status penukaran hak milik status rezab Melayu yang pernah ditawarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini kepada mereka pada 2004.

Walaupun perbincangan berlangsung agak panas, akhirnya kira-kira 2.30 petang Mohd. Yussainy memutuskan operasi tetap diteruskan ke atas kira-kira 45 hektar daripada keseluruhan 354 hektar yang turut meliputi kawasan kebun penduduk.

Operasi yang berakhir kira-kira pukul 6 petang itu difahamkan akan disambung semula esok dan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk diselesaikan.

Utusan Malaysia difahamkan, kebenaran menduduki sementara (TOL) yang dikeluarkan kepada penduduk di kawasan itu sebelum ini sebenarnya tidak sah kerana dari segi undang-undang tiada penerokaan dibenarkan dilakukan di dalam mana-mana kawasan hutan simpan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Jangan ambil hak kami - Penduduk

HULU SELANGOR 10 Mei - Penduduk Kampung Sungai Kerandang, Bukit Tarek di sini kecewa dengan kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang mereka anggap bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, tetapi juga mementingkan diri sendiri.

Bagi mereka, tindakan mengarahkan penempatan dan kebun tanaman kelapa sawit mereka yang telah diusahakan selama lebih 30 tahun itu dirobohkan membayangkan rakyat terpaksa merempat di bumi sendiri.

Ketua Kampung Sungai Kerandang, Kasani Kameran, 76, berkata, dia benar-benar kecewa dengan tindakan tersebut yang memberi gambaran betapa kejamnya kerajaan negeri Selangor terhadap rakyatnya.

Menurutnya, sebagai peneroka awal di kawasan penempatan itu dia tetap mempertahankan hak mereka yang selama ini bertungkus lumus mengusahakan kawasan itu.

"Kami benar-benar kecewa diperlakukan seperti ini. Kami bukan meneroka tanah haram, sebaliknya ada kelulusan yang membenarkan tanah ini diteroka. Bila ini berlaku ia sekali gus memperlihatkan bagaimana pihak luar cuba merampas apa yang diusahakan kami selama ini," ujarnya.

Setiausaha Kerja Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ramlee Mohamad pula berkata, adalah menyedihkan apabila kerajaan negeri sesuka hati mahu meroboh dan menghalau mereka sedangkan sudah jelas ada cadangan tanah itu diwartakan sebagai tanah rezab Melayu sejak tahun 2004.

Katanya, dia sendiri tidak faham kenapa kerajaan Selangor cuba menidakkan hakikat itu, sebaliknya cuba memandang sebelah mata kewujudan penempatan di situ.

Turut berkongsi perasaan kecewa dan marah ialah Noreha Ahmad, 41. Ibu kepada enam anak berusia 3 hingga 16 tahun itu mengakui terkejut dengan tindakan tersebut, yang memberi gambaran bahawa selama ini mereka meneroka kampung itu secara haram.

Sedangkan, katanya, tanah tersebut telah diterokai berpuluh-puluh tahun lamanya tanpa ada gangguan pihak luar selama ini.

Bagi Mohamad Hassan, 57, adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila kawasan penempatan dan tempat mereka mencari rezeki selama ini tiba-tiba cuba dirampas.

Dia yang berasal dari Ijok, Selangor, mengakui cukup kecewa dengan sikap pimpinan kerajaan negeri yang diibaratkan hanya mementingkan diri sendiri, tetapi tidak rakyat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment