Sunday, May 22, 2011

hidup Utusan

Terima Kasih

Oleh Bisik-Bisik Awang Selamat

AWANG bersyukur dan terharu dengan sokongan banyak pihak kepada Utusan Malaysia. Sejak minggu lalu, banyak panggilan telefon, e-mel dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima daripada pelbagai kalangan.

Yang tinggi kedudukan seperti Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu, menteri kabinet, Menteri Besar, Mufti, para pemimpin UMNO, para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik sehinggalah kepada pembaca setia dan rakyat biasa.

Begitu juga sokongan jitu daripada banyak pengendali blog yang turut sama mempertahankan Utusan.

Kelmarin, Angkatan Muda Keadilan PKR, yang membuat kecoh di dalam masjid di Sentul dan mahkamah baru-baru ini, tidak jadi muncul di perkarangan ibu pejabat Utusan sebagaimana dirancang.

AMK yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi terhadap Utusan membatalkan rancangan itu kerana tidak mendapat sambutan selain menyedari akan ‘bertembung’ dengan banyak penyokong Utusan.

Sebaik sahaja mengetahui AMK membatalkan demonstrasi itu, Awang difahamkan, ribuan aktivis penyokong Utusan juga tidak jadi tampil. Matlamat mereka hanya mahu berhadapan dengan AMK demi Utusan.

Namun ratusan wakil daripada pelbagai NGO termasuk Perkasa, ProWaris, Pekida dan Kimma tetap berhimpun sebagai tanda sokongan padu. Ia disemarakkan oleh ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang berikrar berdiri teguh bersama akhbar tersebut. Menurut para pemimpin NGO dan Pemuda UMNO, ia adalah mesej jelas dan tegas kepada semua pihak terutama DAP dan PKR. Inilah kali pertama, tidak silap Awang, wakil-wakil NGO dan Pemuda UMNO berhimpun bagi mempertahankan Utusan daripada apa sahaja ancaman.

Awang mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua. Tiada kata-kata yang boleh digambarkan sebagai tanda penghargaan. Yang menjadikan Utusan terus istimewa adalah pembaca dan penyokongnya. Utusan bukan sekadar akhbar, Utusan adalah institusi Melayu yang bergerak mengikut arus pemodenan tetapi tidak pernah pudar obor nasionalisme.

Perlembagaan tetap menjadi panji-panji Utusan. Suka atau tidak, itu menjadikan Utusan berbeza dengan kebanyakan akhbar lain.

No comments:

Post a Comment