Pembangkang cemarkan masjid
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
APA yang terjadi di Masjid Amru Al-As, Kuala Lumpur, Jumaat lalu apabila sekumpulan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat kecoh bagi menghalang majlis lafaz sumpah laknat dilakukan telah membuktikan bahawa rasa hormat mereka kepada rumah Allah semakin luntur.
Bagi penyokong-penyokong PKR, tidak kira di mana juga hatta di masjid sekali pun jika ada mana-mana pihak hendak menegakkan kebenaran tetapi dilihat akan merugikan politik parti itu, mereka akan bertindak di luar batasan.
Dengan tubuh masih lagi dibasahi wuduk, mereka terpekik terlolong di dalam ruang solat. Ada pula yang cuba menjadi wira dengan menyampaikan ucapan berbaur politik. Tiada langsung rasa hormat bahawa di ruang itulah umat Islam menyerahkan diri kepada Allah SWT demi mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Ketaksuban dan keghairahan politik yang melampau telah menutupi pintu hati dan menghilangkan kewarasan puak-puak PKR ini. Akibatnya, seluruh negara menyaksikan bagaimana biadabnya tindakan mereka melakukan huru-hara di dalam rumah Allah itu.
Orang bukan Islam sudah tentulah tertanya-tanya apakah begini sikap umat Islam memelihara kesucian masjid. Sedangkan kita melihat bagaimana golongan bukan Islam di negara ini mempertahankan rumah ibadah mereka habis-habisan. Tetapi bagaimana dengan kita? Apakah kerana berbeza fahaman politik maka masjid juga harus dicemari?
Sekali lagi maruah kita sebagai umat Islam dicalarkan oleh perbuatan biadab penyokong PKR yang seolah-olah sudah ditutup pintu hati mereka untuk berpolitik secara berhemah.
Mungkin sudah ditakdirkan sejak tahun 1998 lagi apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan di dalam kerajaan dan UMNO, masjid seolah-olah menjadi tempat melepaskan geram oleh penyokong-penyokongnya.
Suatu ketika ia menjadi lokasi untuk mereka berdemonstrasi dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila pembangkang berjaya menawan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak (selama 11 bulan) dan mengekalkan kuasa di Kelantan, masjid sudah diseret sama sebagai medan politik.
Di Selangor dan Kedah, contohnya, mimbar masjid menjadi lokasi untuk golongan yang kononnya bergelar ustaz dan ulama memaki hamun pihak kerajaan dan media arus perdana termasuk Utusan Malaysia semata-mata mempertahankan Anwar.
Khutbah Jumaat, tazkirah dan kuliah agama yang sepatutnya menjadi medan untuk memandu umat Islam ke jalan diredai Allah sebaliknya menjadi pentas untuk menyampaikan amanat politik mereka.
Inilah kebiadaban sesetengah pemimpin, ahli dan penyokong pembangkang yang sudah semakin hilang rasa hormat mereka kepada institusi masjid. Walaupun ribuan peringatan dan nasihat diberikan termasuklah oleh sultan-sultan sekalipun namun ia tidak diendahkan.
Anehnya, golongan yang melakukan perbuatan ini adalah kelompok yang kononnya memperjuangkan kebenaran dan keadilan serta ada antara bercakap atas dasar perjuangan Islam.
Tetapi tindak tanduk mereka di rumah Allah bagaikan pelesit yang tidak bertuan seperti mana berlaku di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul. Kalau benar mereka hendak memperjuangkan kebenaran kenapakah perlu menghalang orang yang hendak menegakkan kebenaran?
Wajarkah hanya kerana hendak memperjuangkan nasib seorang individu, masjid juga menjadi gelanggang berdemonstrasi.
Kita memahami PKR ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan tetapi ini tidak bermaksud mereka boleh mencemarkan masjid dengan mainan politik jahil mereka melalui cara yang sama.
Begitu juga dengan golongan agama yang amat memahami selok belok agama kenapakah mimbar masjid mahu dicemari dengan kuliah, tazkirah atau khutbah berbaur politik? Bukankah semua umat Islam hanya memasuki masjid dengan satu tujuan sahaja iaitu beribadat kepada Allah SWT?
Kalau mereka berhujah bahawa tindakan Datuk Trio melafaz sumpah laknat juga dianggap mencemari masjid, apakah dalam masa yang sama mereka akan menerima jika lafaz sumpah itu dilakukan bukan di dalam masjid?
Turut menjadi persoalan, apakah alim ulama, para ustaz dan golongan bijak pandai yang berhujah politik di mimbar-mimbar masjid akan menyampaikan khutbah, tazkirah atau kuliah jika sesuatu isu itu berkait dengan kesilapan atau kesalahan puak yang mereka sokong? Sudah tentu tidak! Ia kerana mereka berhujah bukan atas dasar kebenaran tetapi atas dasar politik.
Oleh itu jelaslah, sama ada puak yang 'mengila' di Masjid Amru Al-As atau golongan alim ulama yang mencemari mimbar masjid dengan hujah politik, segala-galanya mereka lakukan bukan atas nama kebenaran atau mencari keredaan Allah tetapi kerana ketaksuban kepada pegangan politik yang meracuni pemikiran waras mereka.
Puak-puak seumpama inilah bertanggungjawab bukan sahaja meletakkan umat Islam di dalam kekeliruan tetapi juga berpecah belah akibat mainan politik mereka yang tidak ada batasnya.
Apa pun perbuatan penyokong-penyokong parti pembangkang yang terus mencemari kesucian masjid dengan mainan politik mereka tidak wajar dibiarkan.
Umat Islam di negara ini perlu menolak kelompok seumpama ini yang hanya bercakap soal kebenaran dan keadilan tetapi mereka sendiri bertindak menghalang kebenaran daripada diserlahkan.
Demi memperjuangkan nasib seorang individu segala-galanya mereka langgar dan rempuh, hatta kesucian masjid sekali pun.
Kalau hendak berpolitik, berpolitiklah kerana itulah amalan dalam demokrasi tetapi ia harus ada batas dan hadnya. Jangan sampai kerana kejahilan mereka berpolitik, rumah Allah mahu dicemari.
No comments:
Post a Comment