Friday, May 20, 2011

pkr: perampas kepunyaan rakyat

Penduduk dakwa hak dirampas

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
kota@utusangroup.com.my


Padang permainan Taman Palm Grove kini semakin kecil selepas sebahagian daripadanya dikatakan diluluskan untuk pembinaan banglo mewah. – UTUSAN/Saharuddin Abdullah

KLANG 19 Mei – Penduduk Taman Palm Grove di sini kecewa dengan tindakan Kerajaan Selangor yang didakwa ‘merampas’ hak rakyat dengan memberikan tapak padang permainan di kawasan perumahan itu kepada sebuah syarikat pemaju untuk membina 19 buah banglo mewah bernilai jutaan ringgit.

Tindakan tersebut menyebabkan padang untuk kegunaan awam itu semakin mengecil dan pada masa yang sama, tuntutan penduduk supaya diberikan padang permainan baru sebagai ganti tidak diendahkan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Palm Grove Lama, R. Selvaraju, 53, berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kerajaan negeri kerana sudah jelas kawasan tersebut diwartakan sebagai padang permainan.

“Kami telah membuat aduan kepada kerajaan negeri dan telah dipanggil ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), namun sehingga kini tiada sebarang langkah penyelesaian yang diambil.

“Kita menuntut hak sebagai penduduk yang telah lama tinggal di kawasan ini dan berharap kerajaan negeri lebih prihatin dengan masalah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang penduduk, Raymond Tan, 39, pula mempersoalkan tindakan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang meluluskan projek perumahan banglo mewah tersebut di tapak yang merupakan padang permainan.

Dia juga membidas sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran yang juga Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu kerana gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Tambahnya, projek banglo mewah tersebut juga didakwa telah menyebabkan penduduk menghadapi masalah tekanan air rendah sehingga menjejaskan keperluan harian kira-kira 500 unit rumah sedia ada di situ.

“Sejak berjaya menawan kerajaan negeri beberapa tahun lalu, wakil rakyat kawasan ini tidak pernah turun padang dan mengambil tahu masalah kami,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga gerai makanan, Samsudin Daud, 60, berkata, sebelum ini, dia berniaga di kawasan padang permainan tersebut, namun selepas projek itu berjalan pada 2009, gerainya terpaksa dipindahkan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pendapatannya merosot teruk dan nyaris gulung tikar sehingga terpaksa menjual keretanya kerana tidak mampu membayar wang ansuran kepada pihak bank.

“Selepas perniagaan di tempat baru gagal, saya terpaksa juga membuka gerai berdekatan dengan lokasi lama,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 30 tahun lalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment