Kepala babi tergantung di gerai cendol
NIBONG TEBAL 25 Mei – Jemaah Masjid Lama Sungai Bakap di sini yang baru selesai menunaikan solat Subuh pagi ini terkejut apabila melihat kepala babi tergantung di sebuah gerai cendol berhampiran masjid tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, gerai berkenaan turut disimbah cat merah dipercayai akibat perbuatan khianat pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob bagaimanapun memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengaitkan kejadian tersebut dengan isu perkauman dan agama.
Menurut beliau, kejadian itu dipercayai membabitkan individu tertentu yang membuat khianat dan tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan rasa iri hati.
‘‘Justeru, kita meminta orang ramai tidak melakukan sesuatu di luar batasan undang-undang dan biarkan pihak polis menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di tempat kejadian hari ini.
Ayub memberitahu, siasatan awal mendapati, peniaga cendol terbabit pernah menerima satu panggilan melalui telefon awam pada Mac lalu yang memberi kata-kata amaran kepadanya.
‘‘Pemanggil meminta agar peniaga terbabit berhati-hati tetapi tidak dinyatakan secara terperinci kenapa dia berkata demikian,” jelasnya.
Dalam kejadian pagi ini, Ayub berkata, salah seorang jemaah masjid berkenaan yang melihat kejadian tersebut telah menghubungi anak peniaga terbabit sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sungai Bakap.
Polis kemudian datang membuat siasatan sebelum mengambil kepala babi berkenaan.
Ayub berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menakutkan orang secara jenayah dan Seksyen 427 kanun yang sama untuk kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan.
No comments:
Post a Comment