Tuesday, February 1, 2011

pas salahkan hujan pulak

Pas dakwa hujan, banjir punca tewas

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Pas memberi alasan faktor hujan dan banjir menyebabkan calonnya, Normala Sudirman tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang semalam kerana ia menghalang sebahagian pengundi daripada membuang undi.

Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, kekalahan Normala bukan kerana faktor beliau calon wanita, tetapi hujan menyebabkan peratusan jumlah pengundi berkurangan, tidak seperti yang dijangkakan setelah Pas berkempen selama seminggu di DUN Tenang.

“Jika tidak kerana hujan, mungkin peratusan yang keluar mengundi akan meningkat terutama di kawasan pedalaman.

“Kami menghormati hak rakyat memilih calon yang disukai tetapi kesal kerana calon Pas bukan menentang calon UMNO tetapi dengan jentera kerajaan yang menggunakan media seperti akhbar dan televisyen untuk berkempen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas punca kekalahan calon Pas itu kepada Mohd. Azahar yang memperoleh majoriti 3,707 iaitu lebih tinggi berbanding 2,492 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke- 12 pada 2008.

Menurut Nasharuddin, kekalahan Normala tidak akan menyekat Pas untuk mencalonkan lebih ramai wanita pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib pula berpendapat, pakatan pembangkang tidak menjangkakan perubahan yang ketara berlaku di DUN Tenang kerana mengetahui ia kubu kuat BN.

Katanya, dalam mana-mana pilihan raya kecil, tumpuan pemimpin-pemimpin BN hanya kepada kawasan tersebut dengan ramai menteri turun untuk memberi sumbangan kepada penduduk yang terlibat banjir.

Bagaimanapun menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, keadaan akan berubah apabila calon- calon BN akan menghadapi ‘keperitan’.

Mengenai lebih ramai calon wanita Pas diketengahkan nanti jelasnya, ia mengikut keperluan penduduk setempat dan sekiranya ramai yang berkaliber, tiada sebab mereka tidak dicalonkan untuk bertanding.

“Memberi hak yang sama kepada wanita untuk bertanding pada pilihan raya kecil atau umum menjadi hak asasi wanita yang ditetapkan dalam Islam,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw tidak menafikan tentang kesukaran parti pembangkang untuk menang di Tenang.

Beliau menjelaskan, DUN Tenang memang merupakan kubu kuat BN dengan majoriti pengundi terdiri daripada peneroka Felda, namun pengundi di kawasan bandar kekal bersama pakatan pembangkang.

No comments:

Post a Comment