Wednesday, February 9, 2011

Iktibar Dari Mesir

Mesir: Apa yang boleh kita pelajari?

ZAINI HASSAN
SEPANJANG minggu lalu kita mengikuti perkembangan di Mesir dengan penuh minat. Ia memperlihatkan kebangkitan rakyat yang mahu Presiden mereka selama 30 tahun, Hosni Mubarak diturunkan dari tampuk kuasa. Mesir boleh dikatakan lumpuh dalam tempoh itu. Perhatian tertumpu ke Dataran Tahrir (Dataran Pembebasan atau Merdeka) di Kaherah. Di situ ratusan ribu manusia berhimpun dan menunjuk perasaan.

Liputan CNN, BBC dan Al-Jazeera yang kita ikuti di Malaysia jelas memperlihatkan kecenderungan yang berat sebelah. Stesen-stesen berita satelit itu turut serta bersama-sama suara populis menuntut Mubarak letak jawatan. Walaupun CNN milik Amerika pada mulanya berhati-hati dalam liputan untuk mempertahankan Mubarak, tapi kemudian ia terpaksa mengikut arus massa. Tidak seperti Saddam Hussein yang digelar mereka sebagai diktator, Mubarak digelar sebagai pemimpin yang mengamalkan dasar totalitarian sama taraf seperti Adolf Hitler dan Joseph Stalin.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, krisis yang berlaku itu merupakan satu putaran semula jadi dunia. Setiap dekad akan berlaku krisis besar yang membabitkan satu perubahan iklim politik, ekonomi mahu pun alam. Jika bukan krisis politik atau ekonomi, ia akan membabitkan krisis alam. Putaran dan imbangan ekuilibrium ini akan terus berlaku sehinggalah hari kiamat.

Di negara kita juga tidak terkecuali. Banyak kali telah berlaku krisis politik di negara ini sejak merdeka. Namun krisis yang paling bersejarah ialah krisis ekonomi dan politik yang berlaku hampir serentak pada 1997 dan 1998 yang kesannya dirasai sehingga ke hari ini. Begitu juga berlaku krisis alam, tsunami yang mengorbankan ratusan ribu jiwa manusia sekali gus di seluruh dunia. Terakhir ialah tsunami politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 2008, memperlihatkan sokongan terhadap parti pemerintah Barisan Nasional (BN) merosot.

Putaran kepada krisis-krisis itu boleh berlaku lagi. Bila, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Namun semua yang berlaku di atas sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua - kepada para pemimpin politik, para saintis, ekonomis, alim ulama dan rakyat jelata sekalian.

Apakah kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara kita selama ini? Apakah para pemimpin kita sedar terhadap tsunami politik pada 2008? Melihatkan situasi di Mesir, bolehkah kita pelajari daripadanya? Apa yang boleh kita dapat belajar daripadanya?

Sudah tentulah jika kita ambil suasana di Mesir itu ia tidak boleh dijadikan satu perbandingan mutlak antara epal dan epal. Rakyat kita cukup makan, cukup pekerjaan sehinggakan negara ini dikerumuni oleh rakyat asing. Kerajaan yang ada juga cukup stabil, sistematik dengan pengurusan ekonomi yang cukup baik. Semalam, kerajaan melancarkan pula Unit Peneraju Agenda Bumiputera, bertujuan untuk memakmurkan golongan itu.

Namun, kita masih boleh mempelajari serba sedikit krisis yang berlaku di Mesir itu sebagai satu kajian ilmiah untuk dijadikan iktibar kepada kita semua.

Ia semua bermula apabila Mubarak berada atas tampuk pemerintahan terlalu lama. Tempoh 30 tahun itu akan menjadi satu jangkamasa yang terlalu panjang dan perit jika pengisian pemerintahannya tidak menyebelahi kehendak rakyat. Walaupun ia menyebelahi rakyat sekali pun, proses demokrasi telah dinafikan apabila rakyat sudah menjadi terlalu muak terhadap corak kepemimpinan individu tersebut.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menduduki tampuk pemerintahan Malaysia selama 22 tahun. Allah SWT sendiri hanya memberi peluang kepada Rasulullah SAW selama 24 tahun sahaja untuk mengembangkan syiar Islam. Seterusnya dilaksanakan oleh khalifah-khalifahnya yang lain.

Walaupun semua yang baik berjaya dilakukan Mahathir dengan sempurna sehingga Malaysia menjadi negara maju, namun beliau sendiri merasakan sudah terlalu lama menduduki kerusi PMnya. Misinya dirasakan sudah selesai. Lalu beliau berundur.

Pada pilihan raya 2004, penggantinya Pak Lah mendapat mandat yang terbaik dalam sejarah negara ini. Rakyat memberi kepada Pak Lah, bukan kerana Pak Lah tetapi kerana beliau ialah orang baru, muka baru dan PM yang segar dalam pemerintahan Malaysia.

Sebaliknya, rakyat jugalah yang menolak Pak Lah kemudiannnya pada 2008 kerana beberapa perkara yang dilakukannya, malangnya, bertentangan dengan kehendak ramai.

Melihatkan kepada perkembangan itu, rakyat tidak menolak BN selaku parti peneraju negara ini, tapi mereka menolak individu yang mereka tidak sukai. Rakyat merasakan BN masih relavan untuk negara ini, memandangkan rekod perkhidmatannya yang cemerlang selama ini. Beberapa pilihan raya kecil pasca-PRU 12 memperlihatkan hampir kesemuanya masih dimenangi BN. Rakyat masih tidak yakin untuk mempertaruhkan negara ini kepada pihak pembangkang.

Namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah siapakah yang berada dalam BN? Siapakah orang-orang dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan berbelas-belas komponen parti yang menaungi BN. Rakyat sedang memerhati gelagat orang-orang yang ada di dalamnya.

Sudah begitu lamakah orang-orang itu? Jika lama, berapa lama? Lima tahun, 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun? MB dan Ketua Menteri (KM) yang ada di negeri-negeri BN sudah berapa lama memegang tampuk pemerintahan? Lima tahun, 10 tahun, 20 tahun atau lebih? Ada seorang KM di sebuah negeri sudah melepasi tempoh pemerintahannya ke-30 tahun (sama rekod dengan Mubarak). Orang seperti itu, tidak mahu belajarkah? Saya yakin jika beliau belajar, beliau akan melepaskan jawatannya secara sukarela kepada pelapis lain.

Ketua-Ketua Bahagian yang ada dalam UMNO pula misalnya, sudah berapa lama memegang kuasa? Jangan biarkan suara-suara berbunyi bahawa sudah ada warlord dalam bahagian-bahagian UMNO.

Orang-orang tertentu sahaja yang boleh menguasai, atau suku-sakat mereka sahaja, atau kaum-kaum mereka sahaja, atau kumpulan juak-juak mereka sahaja yang boleh memegang jawatan-jawatan tertentu.

Di peringkat Pemuda, Wanita pula - siapa mereka itu? Apakah itu sahaja muka yang ada. Asyik-asyik orang itu sahaja yang naik. Benarkah orang itu sahaja? Mana yang lain? Mana dia barisan baru, mana dia wajah-wajah baru? Mana dia pelapis-pelapis baru?

Malaysia kini dikerumuni oleh golongan muda dan yang terpelajar. Bolehkah mereka ini mendapat jawatan daripada parti-parti elit yang memerintah negara sekarang? Apakah sudah cukup usaha dilakukan untuk menarik mereka masuk. Atau tiada usaha dilakukan, kerana masing-masing yang memegang jawatan itu mahu mempertahankan kepompong dan kelompok masing-masing?

Sedarkah kita bahawa apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab lain ialah kerana suara orang muda tidak diambil peduli. Ahmed Maghib, antara anak muda yang berdemonstrasi di Mesir berkata kepada akhbar Los Angeles Times: ''The old opposition parties don't represent the young people. Everyone needs to realize that it was the young who brought about this change. We need to be heard." (Parti-parti lama pembangkang tidak mewakili orang muda. Semua pihak harus sedar bahawa orang mudalah yang membawa perubahan ini. Suara kami perlu didengari).

Adakah kumpulan muda dan terpelajar kita kini sedang tercari-cari platform untuk mereka berkecimpung dalam politik? Atau, lebih mudah bagi mereka menyertai NGO- NGO sahaja daripada parti-parti seperti UMNO, ataupun akhirnya mereka menyertai pembangkang atau sekadar berpuas hati berdiri di atas pagar?

Sepanjang berada dalam dunia kewartawanan dan membuat liputan politik dan pilihan raya, dihantar bertugas ke Kelantan untuk melihat Nik Aziz Nik Mat menduduki kerusi MB selepas pililihan raya 1990, malangnya, sehingga hari ini Nik Aziz masih lagi 'berakar' di kerusinya. Saya yakin jika beliau waras, dia pun tidak akan bertanding lagi dalam PRU ke-13 ini.

Itu hanyalah satu contoh, bukan sahaja ketua-ketua bahagian UMNO pun asyik dengan muka-muka itu sahaja, malah di pihak pembangkang - terutamanya Pas dan DAP pun sama, malah lebih teruk. Lim Kit Siang masih menongkat langit dalam DAP, begitu juga dengan Karpal Singh.

Kit Siang kemudian menurunkan takhtanya kepada anaknya Guan Eng (yang dilantik menjadi Ketua Menteri). Malah menantunya turut diberi kerusi untuk bertanding pilihan raya. Begitu juga Karpal Singh diberikan jawatan dan kerusi kepada anak-beranaknya. Hatta, Anwar Ibrahim yang menubuhkan PKR juga memberi kuasa kepada isteri dan anak perempuannya. PKR, hakikatnya kini ialah parti yang hampir gagal. Semakin ramai pemimpinnya lari meninggalkan parti itu.

Politik di Malaysia baik kerajaan, mahupun pembangkang memerlukan satu corak yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang. Perlu disebut, rakyat sedang memerhati semua ini.

Kita berharap dalam PRU ke-13 ini, PM Najib Tun Razak, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN akan mengemukakan muka-muka baru yang berketerampilan, berkualiti dan muda untuk bertanding kerusi-kerusi DUN. Biarlah orang muda ini yang mengambil alih pemerintahan negeri-negeri pula. Biarlah mereka pula yang menjadi Menteri-Menteri Besar, sebagaimana Najib menjadi MB di usia muda dulu.

Sementara di Pusat, letaklah pemimpin dan tokoh yang berpengalaman dan berkualiti - tapi tidak melebihi jangka waktu yang membosankan rakyat, dan tidak semestinya berasal dari arena politik. Contohi Singapura yang meletakkan golongan muda dalam barisan politik dan birokrasinya.

Di peringkat parti, rombaklah. Cari dan jemputlah darah-darah yang lebih vibrant masuk untuk mengangkat kembali parti-parti politik yang semakin tua ini. Parti-parti politik Malaysia perlu direjuvinasi semula.

Kita berharap pengajaran di Mesir ini perlu dimasukkan ke dalam Program Transformasi Politik (PTP) yang sedang dilaksanakan Najib. Diharapkan peristiwa itu juga dapat dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan 191 ketua-ketua UMNO bahagian Sabtu ini.

Ingatlah, pusingan krisis yang disebut di atas boleh berlaku di negara kita.

Mesir dan dunia Arab kini sedang panas bergolak. Ia nampaknya berlaku secara tiba-tiba, tapi sebenarnya, bara kemarahan sudah pun lama menyala. Setelah meletusnya kebangkitan barulah beberapa kerajaan Arab sibuk memperkenalkan pelbagai program untuk rakyat, yang sengaja dicicirkan selama ini. Namun, ia sudah terlambat. Bermula dengan seorang pemuda membakar diri di Tunisia kerana miskin, ditindas, tiada kerja, tiada makan, - akhirnya ia merebak ke seluruh rantau itu.

Ingatlah, jika alpa, Malaysia juga tidak terkecuali.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment