Nik Aziz akui Melayu perlu diutamakan
oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my
NIK Abdul Aziz Nik Mat berbual dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 19 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya terpaksa mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa peribumi di negara ini.
Perubahan pendirian itu dipercayai ekoran kebimbangan Pas terhadap penurunan sokongan masyarakat Melayu yang kian ketara dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
Nik Abdul Aziz berkata, parti-parti politik perlu bertanggungjawab untuk mempertahankan hak orang-orang Melayu kerana mereka adalah masyarakat dominan negara ini.
Ujarnya, walaupun Pas tidak memberi keutamaan kepada perjuangan terhadap bangsa, ia bukan alasan untuk tidak mempertahankan hak orang Melayu memandangkan mereka adalah masyarakat majoriti di negara ini.
"Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz sebelum ini beberapa kali menolak perjuangan terhadap bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu juga menolak perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut menuduh Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) semata-mata.
"Ia adalah satu pengkhianatan yang dilakukan secara sistematik oleh pemimpin BN. Pengkhianatan itu dibuat dengan menolak hak kaum Cina, India, Iban dan Kadazan," ujarnya.
Sementara itu, dalam konvensyen yang sama, penganalisis politik, Dr. Wong Chin Huat berkata, barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga jika parti itu dapat mengekalkan momentum peningkatan sokongan orang Melayu seperti yang diperlihatkan pada beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini.
Chin Huat berkata, pihak pembangkang pada masa sama dilihat akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika Pas gagal mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu.
"Pada 2008, hampir kesemua kawasan yang Pas berjaya mencatatkan prestasi baik adalah di kawasan bukan Islam,'' katanya.
No comments:
Post a Comment