Tuesday, February 8, 2011

10 Markah


Wanita beri 10 bintang kecekapan kerajaan Malaysia


MUHAMMAD Ammar Jusof Khadidi mencium pipi ibunya, Kasmah Abd. Hamid sebaik tiba dari KLIA di Ipoh, semalam.

IPOH 7 Feb. - "Jika diminta memberi markah, saya beri 10 bintang kepada kerajaan Malaysia. Mereka memang cekap dan pantas sehingga membolehkan anak saya selamat sampai ke Malaysia hari ini."

Itu kata-kata pujian Kasmah Abd. Hamid, 54, ibu kepada salah seorang rakyat negeri ini yang belajar di salah sebuah universiti di negara yang sedang bergolak, Mesir.

"Saya puji usaha kerajaan Malaysia atas susah payah mereka menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di sana serta kesanggupan mereka membawa pelajar pulang dengan selamat.

"Saya percaya semua yang berada di sana pasti bertungkus-lumus sehingga ada yang tidak tidur bagi menguruskan keperluan semua pelajar yang berada di sana,'' katanya.

Beliau ditemui sejurus ketibaan lapan pelajar dari Mesir yang dibawa pihak kerajaan negeri dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini.

Ketibaan kesemua pelajar itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohamad Zahir Abdul Khalid di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Seramai 60 anak negeri ini tiba dengan penerbangan AirAsia dan dianggarkan keseluruhan 150 pelajar lagi akan tiba menerusi penerbangan yang diadakan secara berperingkat hari ini.

Kasmah yang merupakan ibu kepada Muhammad Ammar Jusof Khadidi, 24, penuntut Universiti Al-Azhar jurusan al-Quran dan Qiraat meminta mana-mana pihak supaya berhenti mempertikaikan usaha kerajaan.

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pengorbanan yang tidak mampu dinilai harganya.

"Tidak mampu untuk saya membayar budi kesemua yang terlibat dalam usaha menyelamatkan pelajar di sana. Ucapan terima kasih yang mampu saya berikan,'' katanya.

Sementara itu, menurut seorang pelajar, Muhammed Anas Ridzuan, 22, dia tidak menjangka dapat pulang cepat ke Malaysia.

Katanya, menerusi tiket yang diterima sepatutnya mereka akan dibawa ke Jeddah terlebih dahulu sebelum pulang ke Malaysia.

"Saya tak sangka secepat ini dibawa pulang, sepatutnya kami singgah di Jeddah terlebih dahulu dan agak memeranjatkan apabila diberitahu kami terus ke Malaysia dan hanya singgah sebentar di Jeddah.

"Apa pun saya bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membantu kami sepanjang di sana,'' katanya yang merupakan pelajar jurusan Usuluddin tahun kedua di Universiti Al-Azhar cawangan Zagazig.

Sementara itu, Muhammad Hanif Abdullah, 21, memberitahu, tiada sebarang insiden buruk berlaku kepada dia dan rakan-rakannya sepanjang pergolakan di Mesir.

Katanya, cerita mengenai pelajar dikasari dipercayai berpunca daripada keengganan mereka mematuhi perintah berkurung yang ditetapkan oleh kerajaan Mesir.

"Tiada kejadian buruk yang berlaku. Kami masih bebas keluar tetapi perlu mengikut arahan perintah berkurung yang ditetapkan.

"Lagi pun mereka tidak mengganggu orang luar kerana mereka tahu yang kita tidak terlibat dengan rusuhan di sana,'' katanya yang berasal dari Malim Nawar, Kampar.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment