Wednesday, February 9, 2011

Model

Model basmi kemiskinan

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
KEMISKINAN merupakan satu keadaan di mana berlakunya kekurangan dalam keperluan hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang secara langsung berkait rapat dengan kualiti hidup.

Kemiskinan juga bererti tiada akses seperti mendapat pendidikan dan pekerjaan yang mampu mengatasi masalah tersebut.

Memikirkan kemiskinan merupakan masalah global maka kerajaan berhempas pulas mencari pelbagai alternatif bagi mengatasi masalah tersebut.

Sejak bertahun lalu, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan kerajaan agar masyarakat dapat keluar daripada dibelenggu kemiskinan agar dapat menikmati kehidupan dengan lebih harmoni.

Antara agensi yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan ialah Felda, Risda, Felcra, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasan Tekun Nasional (Tekun).

Agensi kerajaan ini di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Bagaimanapun, di Pahang, berbekal idea Perdana Menteri yang merupakan Ahli Parlimen Pekan, beliau menyarankan diwujudkan satu kawasan perumahan yang bersepadu dengan dilengkapi kemudahan pekerjaan yang mampu menyara kehidupan mereka.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu kawasan yang dipilih itu perlu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terutama yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada penghuninya.

Sumber untuk mendapatkan pendapatan pula semuanya berada di sekitar mereka agar tidak menyulitkan mereka bagi menampung kos pengangkutan.

Maka, dengan kerjasama Affin Bank dan Iris Corporation Bhd., kawasan perumahan yang dinamakan sebagai Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu (PKPB) Bukit Kenau di Pulau Manis, Pekan, Pahang ini dibuka secara rasminya pada 16 Julai lalu.

Pada peringkat permulaan, seramai 60 buah keluarga dalam kategori miskin tegar dipilih untuk menerima sebuah rumah bernilai RM33,000 seunit yang dilengkapi dengan perabot dan peralatan rumah termasuk bekalan air dan elektrik secara percuma.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud, di PKPB ini peserta yang terpilih selepas ditemu duga oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) digalakkan melibatkan diri dengan pelbagai projek pertanian yang dilakukan di sekitar kawasan berkenaan.

"Antara projek yang dilaksanakan ialah ternakan ikan keli untuk disalai, ternakan kambing dan tanaman fertigasi seperti tembikai jenis rock melon dan gold melon.

"Projek ini dilihat berjaya kerana mampu mengubah seluruh kehidupan peserta yang dipilih kerana selepas beberapa bulan mereka mampu menjana pendapatan antara RM800 hingga RM1,500 sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia di PKPB Bukit Kenau, Pekan, Pahang kelmarin.

Tambahnya, kebanyakan mereka yang tinggal di situ mula menunjukkan perubahan yang positif iaitu mampu berdikari berbanding sebelum ini.

"Saya nampak ada perubahan dalam kehidupan mereka iaitu boleh berdikari dan begitu memahami fungsi tanah kepada kehidupan mereka.

"Dengan kerjasama Jabatan Pertanian, mereka turut dibekalkan benih dan baja bagi menanam sayur-sayuran untuk kegunaan harian di sekitar rumah mereka," jelasnya sambil memberitahu mereka mampu berjimat antara RM30-RM50 bagi keperluan dapur dengan bercucuk tanam.

Katanya, sekiranya mereka sudah mahir dalam aspek pertanian maka kerajaan melalui pejabat daerah Pekan telah memperuntukan tanah seluas 20 ekar untuk diusahakan.

"Mereka hanya bertanggungjawab mengusahakan tanaman dan menikmati hasilnya. Kita akan lakukan apa sahaja termasuk menyediakan benih dan baja asalkan pendapatan mereka bertambah," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak pernah menghalang sekiranya mereka ingin keluar dari PKPB itu selepas mampu memiliki rumah dan menjana pendapatan sendiri.

"Sekiranya mereka berkemampuan untuk mendapatkan rumah sendiri dan keluar dari sini kita tiada halangan.

"Malah, dalam masa yang sama, mereka juga boleh tinggal selama mana yang diingini dan rumah tersebut boleh dihuni oleh anak mereka tanpa sebarang masalah sekiranya mereka meninggal dunia," ujarnya sambil memberitahu seramai 20 buah keluarga mula menduduki 80 buah rumah pada 1 Februari lalu.

Selain kemudahan perumahan, PKPB turut dilengkapi dengan pondok polis, surau, dataran, pusat gerakan dan sebuah rumah tetamu yang bercirikan Melayu klasik.

Beberapa jam penulis dan beberapa rakan media lain berada di pusat komuniti berkenaan, kami merasakan kawasan perumahan berkenaan cukup sistematik.

Setiap anggota masyarakatnya mempunyai peranan masing-masing iaitu kaum lelaki dengan kerjanya seperti bercucuk tanam, manakala kaum wanita yang selesai menguruskan rumah tangga berpusu-pusu mengunjungi pusat gerakan bagi menghasilkan kraftangan.

Pada masa kini, mereka berjaya menghasilkan lebih 50 buah beg anyaman daripada tali plastik yang cukup unik dan menarik.

Apa yang menariknya, ibu-ibu tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka kerana kawasan berkenaan dijamin selamat.

Kanak-kanak berumur dua hingga 10 tahun bebas bermain dan berkejaran sesama sendiri kerana taman permainan mereka betul-betul terletak bersebelahan pondok polis.

Sementara itu, menurut seorang penghuni PKPB Bukit Kenau, Hawiah Jaafar, 37, dia bersyukur kerana terpilih sebagai penghuni di situ kerana sama sekali mengubah hidupnya.

"Alhamdulilah. Saya bersyukur teramat sangat kerana selain memiliki rumah yang sempurna, saya juga mampu beroleh pendapatan sampingan dengan berniaga kecil-kecilan di kawasan perumahan ini.

"Jika dibandingkan enam bulan lalu dengan pekerjaan suami yang tidak menentu, kehidupan begitu sukar," jelasnya yang mempunyai enam orang anak yang berusia antara tiga hingga 20 tahun.

Tambahnya, jika dulu pendapatan bulanan dia dan suami sekitar RM700 tetapi ia menjadi sekali ganda sejak berpindah ke penempatan tersebut.

"Dulu saya berniaga kecil-kecilan tetapi kini rezeki semakin mencurah-curah," ujarnya yang bercita-cita memiliki kedai makan dan rumah sendiri satu masa nanti.

Bagi Razali Awang Busu, 42, yang merupakan nelayan sungai sebelum ini, dia bertuah kerana dipilih sebagai peserta.

"Sejak tinggal di sini saya sudah mampu berdikari bagi menyara kehidupan bersama isteri dan seorang anak.

"Sebelum ini saya hanya menumpang di rumah mertua bersama tiga lagi keluarga. Tetapi kini saya rasa kehidupan dan masa depan saya lebih terjamin," jelasnya yang bekerja di ladang fertigasi di pusat berkenaan dengan pendapatan sebanyak RM800 sebulan.

Berbeza pula dengan Wan Rosmawati Wan Ramli, 26, kerana dia kini mampu tersenyum bangga kerana memperoleh pendapatan hasil penat lelah sendiri.

"Sebelum ini saya sering buntu memikirkan bagaimana cara terbaik untuk membantu suami yang bekerja sebagai penoreh getah untuk menambah pendapatan.

"Ketika itu kehidupan memang susah tetapi setelah tinggal di sini, semuanya mampu diperoleh asalkan kita rajin berusaha. Semuanya berada di depan mata," ujarnya yang amat berterima kasih kepada Perdana Menteri.

Wan Rosmawati yang berasal dari Tanah Putih, Kuantan ini memberitahu, menariknya bekerja di ladang fertigasi di pusat berkenaan ialah masa yang fleksibel.

"Masa bekerja antara pukul 7.30 pagi hingga 11.30 pagi dan 4 petang hingga 6 petang memudahkan kami sebagai suri rumah untuk menguruskan rumah tangga.

"Malah, kami juga boleh membuat kerja lebih masa sekiranya ingin mendapat pendapatan yang banyak," jelasnya yang dibayar upah sebanyak RM600 sebulan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment