Friday, February 11, 2011

Khusrin

Saya mahu bekerja dan jalankan tugas diamanahkan - Khusrin

SHAH ALAM 10 Feb. - ''Saya mahu bekerja dan jalankan tugas yang diamanahkan. Itu adalah niat saya.

''Jadi saya akan ikut arahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bidang tugas yang telah ditetapkan kepada saya.''

Itu kata Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika diminta mengulas keputusan Abdul Khalid yang hanya membenarkan beliau menghadiri mesyuarat tertentu walaupun selepas majlis angkat sumpah rahsia berlangsung minggu depan.

Pada masa sama, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut berharap agar kontroversi di antara beliau dan Abdul Khalid tidak dipanjangkan.

Ini kerana, katanya, beliau mahu menumpukan kepada tugasan yang diberikan Abdul Khalid semasa pertemuan rasmi pertama mereka Isnin lalu.

"Cukuplah publisiti yang saya dapat selama ini dan biarlah saya buat kerja dulu. Menteri Besar pun bagi banyak kerja dan semuanya kerja yang penting," katanya.

Mohammed Khusrin berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pegawai daerah mengenai isu pasir di Bangunan SUK di sini petang ini.

Ditanya mengenai majlis angkat sumpah rahsia yang dijangka berlangsung minggu depan, beliau memberitahu masih belum dimaklumkan lagi mengenainya.

"Tunggulah Menteri Besar cakap nanti dan semua media harap bersabar dan sama-sama berharap semuanya akan berjalan dengan baik," jawabnya.

Selepas lebih sebulan isu pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK Selangor menjadi kontroversi, Abdul Khalid akhirnya mengadakan pertemuan sulung dengannya di pejabat Menteri Besar di Tingkat 21, Bangunan SUK di sini Isnin lalu.

Dalam pertemuan itu, Abdul Khalid memberitahu Mohammed Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan hartanah milik kerajaan Selangor dijaga dengan baik.

Abdul Khalid juga meminta supaya Mohammed Khusrin mengadakan perjumpaan dan dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan negeri dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

Mohammed Khusrin juga diarah menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan negeri, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah.

Mohammed Khusrin yang memulakan tugas rasmi 3 Januari lalu sudah mengangkat sumpah taat setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 6 Januari lalu.

TAJUK-TAJUK BERITA L

No comments:

Post a Comment