Monday, February 21, 2011

Air xfree


“Mana air percuma kami?”

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my

Penduduk pangsapuri Taman Permai Indah mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor kerana gagal memberikan air percuma seperti yang dijanjikan kepada mereka di Pandamaran, Klang, semalam.

KLANG 20 Feb. – Penghuni pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran di sini kesal dengan sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang didakwa berbohong dalam program pemberian air percuma kepada rakyat.

Mereka mengadakan bantahan hari ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati kerana bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu itu tidak dinikmati oleh mereka sehingga ke hari ini.

Kata mereka, walaupun program itu sudah diperkenalkan sejak 2008, penduduk pangsapuri itu masih membayar mengikut kadar meter pukal seperti biasa tanpa sebarang pengurangan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, A. Prakash berkata, selain tiada pemotongan terus pada bil air, kerajaan negeri juga tidak memberikan kupon untuk 5,000 penduduk di situ mendapatkan kemudahan tersebut.

“Kerajaan negeri mencanangkan bahawa mereka telah memberikan bekalan air percuma kepada rakyat tetapi kami tidak pernah pun menerima bantuan itu.

“Malah, kupon bantuan untuk penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal juga kami tidak terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri bersama-sama para penduduk pangsapuri berkenaan di Pandamaran, di sini hari ini.

Tambah Prakash, selain bekalan air, kerajaan negeri juga tidak mengendahkan rayuan pihaknya agar memperbaiki jalan masuk ke pangsapuri berkenaan yang tidak diturap selain berlopak-lopak.

Malah, katanya, masalah itu turut diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu tetapi tiada sebarang tindakan dibuat.

“Jalan masuk ke pangsapuri ini begitu teruk sekali. Paling membimbangkan ialah pada waktu malam kerana jalan ini tidak ada lampu jalan dan pernah berlaku kejadian samun di laluan berkenaan,” jelasnya lagi.

Seorang penduduk yang ditemui, G. Munusamy, 63, kecewa kerana kerajaan negeri tidak mengendahkan masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk pangsapuri itu.

“Kami yang tinggal di sini bukannya orang kaya, kami perlukan perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Kami mahu kerajaan negeri berikan apa yang dijanjikan,” katanya.

Pandangan sama turut diluahkan oleh seorang suri rumah, Leow Phi Hua, 45, yang terpaksa berhadapan dengan kesukaran setiap hari ekoran sikap kerajaan negeri.

Katanya, selain terpaksa membayar bekalan air pada kadar yang tinggi, dia juga mempunyai suami yang sakit dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.

“Suami saya sakit, kos hidup pula tinggi. Jika kerajaan negeri tidak beri perhatian kebajikan rakyat, nasib penduduk seperti kami akan bertambah buruk,” ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment