Friday, February 11, 2011

Gliran Hasan Ali

Hassan Ali selepas Khusrin?

oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Nasib yang menimpa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang hanya dibenarkan menghadiri satu daripada dua bahagian mesyuarat Exco kerajaan negeri mungkin terpaksa dilalui oleh Exco daripada Pas, Datuk Dr. Hassan Ali.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana jika alasan mahu menjaga kerahsiaan dijadikan sandaran dalam menghalang kehadiran SUK, alasan sama juga boleh diberi bagi memastikan Hassan tidak mencampuri urusan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sambil menyifatkan tindakan Kerajaan PKR Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tidak tahu mentadbir kerana gagal membezakan antara politik dan perkhidmatan awam, beliau berkata, tidak mustahil Hassan tidak akan dipanggil dalam mesyuarat berhubung isu arak dan rumah urut.

"Apakah Abdul Khalid bercadang nak buat 'kerajaan dalam kerajaan' apabila hanya membenarkan Mohammed Khusrin menghadiri mesyuarat tertentu sahaja. Maknanya wujud dua mesyuarat rahsia iaitu satu rahsia rasmi yang boleh dihadiri dan disahkan manakala satu lagi rahsia dalam rahsia yang tidak boleh disahkan.

"Jika itu rasionalnya adalah tidak pelik suatu hari nanti Hassan pula yang tidak dibenarkan hadir mesyuarat apabila Exco daripada DAP dan PKR mahu membincangkan bagaimana hendak memastikan kedai serbaneka menjual arak dan menambah rumah urut," katanya dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com hari ini.

Menurut Zulkifli, alasan kononnya mahu menjaga kerahsiaan tidak timbul sama sekali kerana selepas penjawat awam mengangkat sumpah kerahsiaan, mereka tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi menerusi Kanun Keseksaan.

Tegasnya, jika mana-mana penjawat awam mendedah atau membocorkan sebarang maklumat yang diklasifikasikan sebagai rahsia, mereka boleh dikenakan pendakwaan jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara.

Justeru, Zulkifli mempersoalkan niat sebenar Kerajaan PKR Selangor tidak membenarkan Mohammed Khusrin menjalankan tugasnya bagi menghadiri mesyuarat Exco 'rahsia dalam rahsia' kerana jika keadaan itu berlaku siapa yang hendak mengesahkan mengenai agihan peruntukan yang diluluskan.

Katanya, apakah sememangnya PKR dan DAP yang berkongsi pentadbiran di Selangor tidak mahu jumlah peruntukan sebenar didedahkan kepada rakyat bagi memudahkan mereka melakukan penyelewengan demi memastikan kantung masing- masing penuh dengan hasil kekayaan negeri.

"Adakah mereka merancang melakukan rompakan terhadap hasil negeri melalui mesyuarat 'rahsia dalam rahsia' ini kerana jika tidak disahkan, siapa yang boleh bertanggungjawab terhadap wang yang diperuntukkan untuk pembangunan dan ke mana wang itu mengalir.

"Kita tahu yang nak buat mesyuarat 'rahsia dalam rahsia' ini perompak dan penyamun sahaja macam penyangak dalam cerita Nujum Pak Belalang yang bermesyuarat secara rahsia di Bukit Tunggal," ujarnya.

No comments:

Post a Comment