Friday, February 25, 2011

dap

DAP usah cuba pengaruhi rakyat

Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) di Merlimau, Melaka sudah terasa. Semasa merasmikan pusat bilik gerakan pilihan raya kecil tersebut, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, rakyat boleh mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Timur Tengah dan seterusnya menjadikannya ilham untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Saranannya itu disiarkan dalam ruangan berita-berita penting Nanyang Siang Pau terbitan 21 Februari lalu.

Kok Wai berkata, kita tidak perlu ikut cara rakyat Mesir, Tunisia dan Algeria yang berarak ke kota-kota membantah kerajaan, sebaliknya rakyat negara ini yang disifatkannya telah matang, berfikiran waras dan adil boleh membuang undi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah beliau berkata, jika negara ini mahu jadi kuat dan makmur berkembang, ia memerlukan sebuah kerajaan yang bagus dan akan membawa rakyat ke arah sama rata untuk semua, berlaku adil dalam mentadbir serta membawa hala tuju dan matlamat yang lebih maju.

Hakikatnya, Kok Wai tidak perlu mengingatkan lagi kerana seruannya itu telah lama menjadi kenyataan kerana kerajaan yang ada pada hari ini sememangnya telah dipilih oleh rakyat yang matang dan berfikiran waras. Pada saya, rakyat yang memilih Pakatan Rakyat (PR) bukannya rakyat yang waras dan matang, sebaliknya rakyat yang cetek pemikiran dan gelap hatinya.

Bangsa Melayu beragama Islam layak digelar pengkhianat bangsa dan agama sekiranya memilih PR kerana ia 'diketuai' DAP, parti yang sememangnya menentang penubuhan negara Islam dan hukum syariah serta menentang ketuanan Melayu walaupun ia sedikit pun tidak memudaratkan mereka (DAP).

Ustaz-ustaz dalam Pas yang bersekongkol dengan DAP hanya ustaz politik, bukannya agama. Buktinya mereka hanya sanggup 'syahid' kerana Karpal Singh, bukan kerana agama.

Untuk pengetahuan Kok Wai, Malaysia jauh berbeza dari Mesir, Tunisia, Yemen mahupun negara Arab yang lain. Pemimpin Mesir sememangnya layak ditumbangkan kerana Hosni Mubarak adalah nadi kepada tertegaknya Israel dan juga boneka Amerika. Tetapi atas dasar apakah Malaysia harus diperlakukan sebegitu sedangkan Malaysia jelas anti Israel, Islam terjaga rapi, rakyat tidak disekat kebebasannya?

Justeru, jika ada yang berusaha menjadikan Asia Barat sebagai ilham, ia hanyalah daripada puak-puak PR yang tujuannya hanyalah untuk kesinambungan kuasa dan politik, bukan demi rakyat dan agama.

Sebagai bangsa Melayu yang menyayangi tanah air dan agama dianuti, saya tidak akan sekali-kali menyokong PR kerana kesucian Islam dan keteguhan bangsa pasti tergadai. Saya tidak akan bersama dengan ulama dan Tok Guru politik.

Aqiel

Bandar Baru Bangi, Selangor

No comments:

Post a Comment