SPRM siasat semula wang Memali
PERTAMANYA saya meminta maaf kepada Utusan Malaysia yang dicela kerana tulisan saya bertajuk Tabung Memali: Saya Fitnahkah? yang disiarkan pada 31 Januari lalu.
Tulisan kolumnis Harakah, Zulkifli Yahaya bertajuk ‘PDRM sahkan tiada penyelewengan Tabung Memali’, telah menuduh Utusan Malaysia dan RTM sebagai lalat dan langau yang menyelongkar setiap tong sampah dan jamban untuk mencari bahan busuk yang boleh dijadikan isu.
Tulisannya yang disiarkan Harakah 7 hingga 12 Februari 2011, membuktikan dia tidak faham etika media. Apakah Utusan bersalah hingga diibaratkan seperti serangga yang jijik semata-mata menyiarkan tulisan saya?
Seharusnya saya yang patut dipersalahkan kerana menghantar tulisan itu kepada Utusan. Utusan sekadar melayan isu terutama menyentuh kepentingan umum seperti Tabung Memali.
Apakah selama ini, Utusan tidak pernah menyiarkan isu-isu rasuah, penyelewengan dan pecah amanah membabitkan pimpinan UMNO/BN?
Sekiranya Zulkifli membaca buku saya, Mohd. Sabu Air Mata di Bumi Memali dan faham isi kandungannya, tentu ulasannya tidak melalut tak tentu pasal. Persoalan yang ditimbul oleh Zulkifli semuanya telah saya jelaskan dalam buku tersebut.
Seperti diakui Zulkifli, Tabung Memali diwujudkan Badan Perhubungan Pas i Kedah untuk tujuan kebajikan balu-balu, anak yatim dan mangsa Memali. Jelas di sini Pas Kedah adalah pihak pertama bertanggungjawab atas apa-apa penyelewengan yang berlaku.
Tetapi kenapa Pas Kedah tidak membuat siasatan atas laporan yang saya hantar kepada pihak AJK Disiplin Pas Pusat? Hingga memaksa saya membuat laporan polis pada 27 Julai 2000.
Tahukah Zulkifli apa berlaku setelah saya membuat laporan polis? Setiausaha Madrasah Memali ketika itu, Muhamad Yusuf Husin yang diamanahkan mengurus Tabung Memali, mengerahkan beberapa orang jawatankuasa kawasan membantunya siang malam menyiapkan penyata kewangan Tabung Memali.
Akhirnya penyata yang tidak lengkap diserahkan kepada pihak PDRM. Tetapi, kerana keputusan PDRM (kalau benar ada laporan) dalam isu laporan saya ini seolah-olah menyebelahi Pas, maka PDRM dipuji oleh Zulkifli sebagai unit paling profesional dari Bukit Aman. Andainya keputusan itu sebaliknya, PDRM tentunya akan dituduh tali barut kerajaan atau ejen BN/UMNO.
Kalau ada, saya cabar Zulkifli mendedahkan jawatankuasa penuh Tabung Memali dalam kolumnya akan datang. Saya berjanji, semua nama-nama itu akan diserahkan kepada SPRM. Saya yakin mereka boleh beri kerjasama yang baik dengan pegawai-pegawai SPRM dalam soal siasat kelak.
Selepas peristiwa Memali pada tahun 1986 satu ceramah besar-besaran untuk tabung itu telah diadakan di Kg. Kabu Sepuluh, Yan, Kedah. Saya juga hadir malam itu. Kesesakan lalu lintas malam itu memang luar biasa. Sehingga penceramah terakhir Hadi Awang selesai memberi ceramah, berpuluh kereta lagi belum sempat sampai ke tempat ceramah. Kutipan derma malam itu, lebih seratus ribu ringgit. Wang siling tidak sempat dikira kerana terlalu banyak.
Saya ingin bertanya, khususnya mangsa Memali, balu-balu dan anak yatim Memali juga hendak tahu, di mana wang itu? Siapa yang menyimpannya? Apakah kutipan ini ada dalam penyata seperti yang diserahkan pada PDRM?
Insya-Allah demi kebenaran, saya akan minta SPRM teliti semula isu ini, kerana saya belum puas hati dengan laporan saya tahun 2000 yang lalu. Kenapa tidak disiasat secara telus?
Itu baru kutipan satu malam ceramah. Apakah Pas ada rekod berapa siri kutipan derma yang mereka adakan mulai tahun 1986 ketika tabung itu ditubuhkan hingga tahun 2002 ketika tabung ditutup.
Saya harap Zulkifli jangan mudah menyebut isu Tabung Memali ini telah selesai, lapuk dan berkubur.
Jika saudara mengibaratkan Utusan sebagai lalat dan langau yang berkeliaran di tong sampah dan jamban untuk mencari bahan busuk, sedarlah bahawa secara tidak langsung saudara mengakui dalam parti kesayangan saudara pun telah ada bahan busuk yang sedang dihidu oleh lalat dan langau.
Awas jangan tunggu sampai lalat hijau yang datang. Tolong bersihkan segera.
C.N Al-AFGHANI
Memali, Baling
No comments:
Post a Comment