Friday, February 11, 2011

UMNO Perlu Berubah

UMNO Kelantan perlu berubah

Pada 5 Februari UMNO Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah bertujuan mendekati dan mendapatkan kepercayaan 400,000 pengundi muda di Kelantan menyokong Barisan Nasional (BN).

Kempen Gelombang Merah bertemakan Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda UMNO negeri melalui penganjuran ceramah, seminar, kursus dan gerak kerja.

Saya dilahirkan dan membesar dalam keluarga UMNO. Arwah ayah adalah bekas ketua cawangan UMNO di kampung. Manakala ibu juga pernah aktif berpolitik. Walau demikian saya menolak untuk menjadi ahli parti sekalipun pernah ditawarkan oleh ketua cawangan dari kampung lain tetapi hati saya tetap menyokong UMNO. Saya juga setia menyokong UMNO sejak di bangku sekolah lagi. Dan juga ketika mula mengundi pada 2004 dan 2008.

Rasanya masih ramai yang tidak boleh melupakan kempen Pade Doh 18 yang diadakan sempena Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008. Berduyung-duyung anak-anak Kelantan dari perantauan dibawa pulang dengan bas untuk mengundi. Tetapi akhirnya mereka tetap memangkah Pas.

Saya lihat UMNO Kelantan tidak habis-habis dengan 'gelombang'. Asyik perkara sama juga yang dibuat tetapi hasilnya tetap sama. UMNO Kelantan jelas sekali belum mahu berubah dan belajar daripada kesilapan lalu.

Mengapa perlunya anggota-anggota Pemuda pakai uniform berbaju merah? Ahli-ahli Pas tidak pula berpakaian uniform dengan warna terang benderang dan tetap nampak selesa sekalipun hanya berpakaian biasa dengan vest dan kopiah. Tidak bolehkah Pemuda UMNO berpakaian biasa supaya mudah mendekati pengundi-pengundi muda? Bukankah rakyat didahulukan?

Dengan beruniform demikian ia nampak elitis dan ini sudah tentu menjauhkan anak-anak muda yang kurang gemar pendekatan sebegini. Adalah elok berpakaian biasa supaya masyarakat merasa selesa dan mudah didekati.

Jika pergi ke rumah orang Pas pakailah baju hijau kerana orang Pas amat obses dengan warna hijau. Tapi ketika berkempen tunjukkan lambang dacing dan saya yakin dengan kemesraan dan kesungguhan hati, penyokong Pas boleh berubah. Mereka juga Melayu seperti kita dan bukan semua berhati busuk.

Selain itu, kenapa kempen dilakukan hanya ketika musim pilihan raya dan bukan secara berterusan dan konsisten. Kenapa tidak diadakan program gotong-royong di kampung? Pendekatan ini boleh mendekatkan diri dengan bakal pengundi. Ia boleh dilakukan dengan syarat UMNO Kelantan benar-benar ingin menang di Kelantan. Bukan hanya asyik seminar atau kursus sana sini tidak berkesudahan.

Apa yang patut UMNO lakukan ialah mencontohi pendekatan digunakan Pas yang sangat lembut dengan pengundi. Malah Pemuda Pas juga mudah mesra. Mereka tidak sombong menghulurkan tangan tanda persahabatan.

Adalah elok UMNO Kelantan mendapatkan input dan idea daripada Tengku Razaleigh Hamzah. Saya yakin Ku Li lebih memahami kehendak rakyat Kelantan berbanding sesetengah pemimpin UMNO Kelantan yang kelihatan agak jauh daripada memahami rakyat.

Ku Li yang juga kerabat diraja Kelantan telah membuktikan dengan kemenangan BN di Galas. Mungkin elok juga Ku Li diletakkan sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini akan mencerahkan peluang UMNO menang di Kelantan kerana rakyat memang amat menghormati dan menyenangi Ku Li yang juga kerabat diraja.

Saya amat berharap UMNO benar-benar mendengar pendapat rakyat biasa terutama pengundi muda. Rajin-rajinlah baca blog di Internet. Dengar pandangan rakyat. Janganlah membezakan diri daripada rakyat biasa. Buangkanlah sifat elit yang masih melingkari UMNO jika ingin menang di Kelantan.

Amalkan budaya 'datang kepada rakyat' dan bukan sebaliknya. Usah terlalu banyak beretorik. Bersikap rendah diri perlu sentiasa ada pada setiap ahli UMNO. Setiap tingkah laku dan tutur kata diperhatikan rakyat. Sesungguhnya rakyatlah yang akan menentukan parti mana yang akan menerajui pentadbiran dan pemerintahan negeri.

PENGUNDI MUDA

Bachok, Kelantan

No comments:

Post a Comment