Wednesday, February 9, 2011

Kerajaan Bersungguh2

Satu lagi komitmen kukuhkan agenda majukan bumiputera

DATUK Seri Najib Tun Razak terus memberi jaminan bahawa agenda pembangunan bumiputera akan terus mendapat penekanan kerajaan dengan pendekatan baru yang meyakinkan.

Sebagai bukti komitmen kerajaan itu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Tugas Teraju adalah bagi menerajui, mengurus serta memacu inisiatif untuk memperkukuhkan agenda pembangunan bumiputera.

Perdana Menteri yang melancarkan unit itu semalam menjelaskan Teraju akan memberi tumpuan kepada lima perkara iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan; pembiayaan; pendidikan dan penggajian; penilaian institusi dan instrumen polisi serta pengurusan stakeholders,

Husni Salleh yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Teraju punya tanggungjawab untuk memastikan hasil dalam jangka waktu terdekat. Ini meliputi tindakan-tindakan yang boleh membawa kejayaan dalam masa terdekat.

Teraju juga dikehendaki melakukan kerjasama dan hubungan yang erat dengan stakeholders termasuk Dewan Perniagaan, badan bukan kerajaan dan lain-lain kepada program-program yang dilaksanakan.

Penubuhan Teraju merupakan strategi untuk meningkatkan penyertaan masyarakat bumiputera dalam ekonomi negara.

Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik sekarang kian mencabar, tiba masanya kerajaan melaksanakan transformasi dalam agenda pembangunan bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat yang berdaya saing dan berdaya maju.

Apa pun, kita mengharapkan mekanisme pelaksanaannya perlu bersandarkan pada konsep inisiatif kerjasama tulen yang menampilkan individu, syarikat dan kesatuan yang layak untuk diketengahkan.

Kita tidak ingin kisah kegagalan sebelum ini akibat banyak berlaku ketirisan dan kecurangan pengurusan dalam projek kerajaan kerana tiada badan khusus bertindak untuk memantaunya.

Tidak kurang penting dalam memastikan Teraju mencapai matlamat penubuhannya ialah masyarakat bumiputera perlu juga dijelaskan apa yang sebenarnya kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO buat untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Bumiputera sebagai mewakili kumpulan majoriti di negara ini berhak mendapat potongan kek ekonomi negara.

Sekarang orang Melayu dan bumiputera yang khuatir dengan kedudukan hak mereka dalam Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia tidak dihuraikan secara terperinci sebelum ini boleh menarik nafas lega.

Apa yang pasti, penglibatan bumiputera dalam MBE dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah menjadi komitmen kerajaan termasuk melalui Teraju.

Kini perkara yang perlu ditekankan ialah memastikan bumiputera dibantu dalam memajukan bidang yang mereka ceburi.

Teraju perlu bergerak bersama-sama dengan badan-badan ekonomi Melayu yang lain bagi memantau setiap perkembangan kerana kemajuan yang dicapai akan membawa kebaikan kepada masyarakat ekonomi bumiputera di seluruh negara.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment