Friday, February 11, 2011

Polis Selangor

Khalid Ibrahim patut rasa malu - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya berasa malu kepada semua pihak khususnya polis Selangor apabila memohon untuk menubuhkan pasukan keselamatan sendiri bagi menangani isu jenayah di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana, beliau (Abdul Khalid) sendiri sedar bahawa perkara yang dibangkitkan itu tidak akan berjaya atau diluluskan oleh kerajaan.

Beliau berkata, impian kerajaan Selangor untuk mempunyai pasukan keselamatan sendiri tidak mungkin tercapai kerana mengikut Jadual Kesembilan, Senarai 1 Perkara 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan, jelas menyatakan bahawa keselamatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah terletak di bawah tanggungjawab serta hak Kerajaan Persekutuan.

"Menteri Besar (Selangor) sepatutnya berasa malu kepada semua pihak khususnya polis di Selangor apabila membangkitkan perkara yang dia sudah tahu tidak akan berjaya (diluluskan).

"Apa yang dibuat sama macam usul pindaan kononnya mahu mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi baru-baru ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas mengenai tindakan kerajaan Selangor memohon untuk menubuhkan pasukan keselamatan sendiri bagi menangani isu jenayah serta mengurangkan kadar jenayah di negeri berkenaan.

Beberapa akhbar dan portal berita semalam, melaporkan hasrat Abdul Khalid memohon untuk menubuhkan pasukan polis tambahan sendiri kerana mengikut dakwaan, kadar jenayah di negeri itu semakin meningkat.

Khalid dalam kenyataan medianya kelmarin, mendakwa beliau telah menghantar surat kepada Hishammuddin memohon supaya penubuhan pasukan polis tambahan itu dipertimbangkan.

Menurut Hishammudin, alasan dinyatakan Khalid bahawa penubuhan pasukan polis tambahan itu penting disebabkan meningkatnya kadar jenayah di Selangor adalah tidak boleh diterima.

"Kadar jenayah di Selangor telah menurun, malah kerajaan negeri itu tidak pernah sekalipun tampil membantu polis melaksanakan program kepolisan masyarakat selama ini," ujarnya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan Selangor sekarang hanya bertujuan untuk menidakkan kejayaan PDRM dan polis Selangor yang sudah banyak berkorban jiwa serta raga untuk menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Sementara itu di Putrajaya, Hishammuddin berkata, kerajaan Selangor tidak pernah membantu usaha kementerian dalam menurunkan indeks jenayah bagi mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Selama ini, saya tidak lihat kerajaan Selangor tampil membantu dalam mencapai NKRA termasuk membantu usaha PDRM menubuhkan komuniti polis dan menambah kehadiran anggota polis.

"Kenapa sekarang mahu timbulkan isu polis tambahan di saat indeks jenayah telah turun," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Penasihat kepada Perdana Menteri Kanada mengenai penyeludupan manusia, Ward Elcock di pejabatnya, hari ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LA

No comments:

Post a Comment