Monday, February 14, 2011

Kritik Batik

Kritik batik retorik Anwar untuk kepentingannya

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlekehkan batik tempatan ketika beliau berkunjung ke Indonesia, hanyalah satu retorik yang dilakukan atas kepentingan politik.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, hakikatnya industri batik Malaysia telah lama diiktiraf bernilai tinggi, penuh seni dan berciri antarabangsa.

Malah tegasnya, industri tersebut telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM80 juta menerusi jualan batik pada tahun lalu.

"Hanya pemimpin mengkarung dan cicak kubin yang sanggup mengatakan batik kita rendah seninya.

"Anwar belum kenal agaknya pereka fesyen Itali, Jepun, Hong Kong dan lain-lain yang telah sekian lama menghargai tekstil batik kita dari sudut kualiti dan isian seninya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang merendahkan kesenian batik Malaysia seperti yang disiarkan pada ruangan pojok Awang Selamat hari ini.

Kenyataan Anwar itu didedahkan melalui rakaman sebuah video ketika Ketua Pembangkang itu berucap pada Festival Salihara Ketiga di Jakarta, Indonesia tidak berapa lama dulu.

Rais berkata, Ketua Pembangkang itu juga boleh dianggap sebagai seorang pemimpin yang jelek serta tidak mempunyai sifat imbangan seni dan kualiti kerana tidak tahu menilai dan menghormati pakaian nasional.

Bagaimanapun tegasnya, sikap Anwar itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana sudah menjadi sifat semula jadinya yang suka putar alam dan mengadu domba untuk memudarkan imej negara sendiri di negara orang.

Malah katanya, politik 'ikut sedap' yang diamalkan Anwar itu hanya akan menyebabkan kejatuhannya terutama apabila PKR sudah kehilangan sokongan rakyat dewasa ini.

"Mungkin dia beretorik demikian atas desakan politik cicak kubinnya yang sentiasa berubah warna mengikut pokok yang didakap.

"Seperti dulu apabila dia bantai politik Yahudi-Amerika semasa di Kuala Lumpur tetapi apabila di Amerika Syarikat, dia perli Kuala Lumpur dan pemimpin kita.

"Sejarah politiknya seperti dunia ikan sembilang kerana menyegat di sini dan menggelepar di sana.

"Selepas ini Anwar bolehlah ke Nairobi atau Mozambique dalam adegan putar alamnya dan mula mencerna tekstil kain pelikat pula," sindirnya.

Dalam pada itu, Rais menasihatkan pengusaha batik di negara ini agar tidak perlu luntur semangat walaupun diperlekeh oleh pemimpin yang suatu ketika dahulu sentiasa memakai baju batik tempatan ketika menjadi anggota pentadbiran kerajaan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment