Setahun berdialog, apa hasilnya?
Oleh SALLEH MAJID
Agaknya memang sudah menjadi kelaziman orang Melayu untuk lebih banyak bercakap daripada menterjemahkan kata-kata kepada tindakan yang berorientasikan pencapaian prestasi. Maka tidak hairanlah jika cara bekerja masyarakat kita amat berbeza dengan kaum lain yang sentiasa meletakkan aspirasi bangsa sebagai satu tindakan yang sangat bermakna demi masa depan survival bangsa mereka sendiri.
Kelemahan ini jugalah yang menjadikan banyak perbincangan formal dan serius yang dianjurkan banyak pihak oleh agensi kerajaan terbabit serta NGO usahawan bumiputera menjadi umpama sembang kedai kopi.
Dalam berdegar-degar berbincang, yang berhasil ialah kenyang makan dan minum tetapi buah mesyuarat sekadar menghabiskan masa. Cuma beza sembang kedai kopi dan dialog NGO bumiputera ini ialah mesyuarat mereka itu turut dihadiri oleh semua peringkat termasuk Pak Menteri.
Orang Melayu terutama usahawan bumiputera pastinya masih ingat kira-kira setahun yang lalu, golongan usahawan Melayu keluh kesah dengan kegagalan fungsi agensi kerajaan dalam agenda bumiputera terutama pembangunan usahawan pasca Kementerian Pembangunan Ushawan dan Koperasi (MeCD).
Kebimbangan itu mencetuskan satu forum bertajuk Ekonomi Melayu: Digugat dan Digigit diadakan di PWTC yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin peringkat Majlis Tertinggi UMNO mula membawa suasana keresahan itu menjadi agak panas tetapi disejukkan sementara dengan janji pemimpin Melayu bahawa suara mereka akan diberi perhatian.
Respon kepada keluh itu mendapat perhatian semua pihak termasuk penubuhan pelbagai jawatankuasa NGO dan tidak sunyi juga parti-parti politik Melayu yang menjanjikan penyelesaian dengan cara mereka tersendiri.
Ada parti politik yang tumpang sekaki untuk menangguk ruang politik dengan cadangan pembangunan usahawan peringkat suruhanjaya diraja agar agenda bumiputera kononnya terpelihara di bawah kedaulatan institusi raja-raja Melayu.
Tidak kurang dialog-dialog yang diadakan secara ad hoc yang saya fikir pada ketika itu akan mencetuskan satu fenomena baru dalam pembangunan usahawan bumiputera. Namun akhirnya, setelah setahun berdialog, kini sudah mula kedengaran semula suara-suara NGO usahawan yang menilai semula semua dialog berkenaan sebagai menghabiskan masa mereka.
Oleh kerana saya merasakan perkara yang sama dengan NGO-NGO berkenaan, saya juga sudah tidak berminat untuk menghadiri dialog-dialog yang merugikan masa saya itu. Namun saya terpanggil juga apabila NGO-NGO yang serius dan bersifat sedar masa depan ini mengadakan sumbang-saran dalam satu diskusi kecil untuk menilai semula apakah hasil pertemuan dan dialog-dialog antara pelbagai agensi kerajaan dengan usahawan bumiputera selama ini memberi impak besar seperti diharapkan atau sekadar menyejukkan suasana?
Mengikut penilaian diskusi tersebut, dialog yang nampaknya agak konsisten secara berkala hanyalah wujud di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), manakala kementerian lain pula dianggap umpama sudah hilang bersama mimpi-mimpi semalam.
Di sebalik kritikan lenyapnya dialog di beberapa kementerian lain, wujud pula pandangan sesetengah pihak bahawa tindakan sedemikian adalah lebih baik daripada meneruskan dialog yang tidak menghasilkan faedah secara realiti kepada usahawan.
Antara pemerhatian dan dianalisis keberkesanan dialog yang dihuraikan oleh NGO-NGO usahawan bumiputera adalah seperti berikut:
1. Format perbincangan dialog usahawan sering kali dijalankan dalam keadaan tidak serius. Bagi mereka, walaupun suasana dan nada dialog diakui perlu bersifat mesra tetapi bukanlah semata-mata untuk menghidangkan makan tengahari termasuk di hotel-hotel mewah umpama kempen-kempen menjelang pemilihan parti politik.
2. Tujuan perbincangan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit juga tidak kesampaian kerana pembuat keputusan gagal memberikan komitmen seperti meluangkan masa sepenuhnya kerana dibatasi dengan pelbagai tugas lain, kononnya! Kadangkala hairan juga kerana majlis diadakan dalam masa singkat dan perlu ditamatkan setelah menteri beredar.
Persoalan NGO ini ialah adakah timbalan-timbalan menteri tidak boleh mengambil alih dialog daripada bos mereka? Kadangkala hasrat untuk mendapat keputusan peringkat menteri sia-sia dek kerana dialog secara terburu-buru ini.
3. Dialog juga menjadi amat membosankan apabila fokus perbincangan yang tidak berstruktur. Setiap kali dialog diadakan, isu yang sama berlegar-legar di kalangan peserta sama ada di peringkat NGO mahupun kerajaan. Puncanya sangat jelas iaitu tiada catatan serius dibuat. Tiada semakan minit dialog setiap kali dialog diadakan.
4. Pembentangan prestasi dialog juga tidak berlaku rentetan kegagalan mengemukakan minit mesyuarat. Setiap kali dialog diadakan, pengerusi dialog sekadar ingin mendengar masalah baru yang kadangkala masalah yang sama diulangi. Maka prestasi isu dialog terdahulu tidak disemak secara terperinci.
Bagi NGO usahawan, mereka tidak mahu lagi melihat pemimpin yang berwatakkan mesra pendengaran isu rakyat tetapi hakikatnya tidak dapat menyelesaikan isu yang didengar. Bagi mereka pemimpin bersifat Mr. Nice Man sebagai ahli mesra politik semata-mata adalah sudah berlalu.
5. Setiap kali dialog dipanggil, apa yang diharapkan oleh NGO usahawan ialah apakah hasil, impak dan out-put terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Prestasi tersebut hendaklah dibentangkan dengan sokongan data. Sebagai contoh, jika ditanya berapakah bilangan usahawan baru yang lahir dan dihasilkan setiap tahun oleh agensi-agensi yang bertanggung jawab?
Banyak agensi yang gagal menjawab dengan jelas dan tidak kurang juga yang sebenarnya tidak sedarpun kegagalan mereka. Malah ada yang keliru antara usahawan baru dengan usahawan lama. Puncanya ialah kegagalan menjadikan fakta dan data sebagai perkara serius!
6. Respon kepada isu-isu usahawan yang lemah juga mula membosankan usahawan. Banyak rungutan yang dilontarkan oleh usahawan tentang sikap negatif terhadap isu atau cadangan yang dibawa oleh NGO. Belum pun peringkat dilaksanakan, pihak yang mendengar telah memberi respon awal yang lazim seperti tiada peruntukan, kakitangan tidak cukup dan macam-macam lagi tanpa bersifat proaktif.
Bagi NGO ini, mereka tidak mengharapkan penyelesaian 100 peratus dalam sesetengah isu tetapi tindakan respon negatif sejak dari awal mengurangkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan dialog.
7. Amat jarang sekali didengari dalam setiap dialog kisah-kisah kejayaan dalam pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan usahawan melainkan mahu mendengar masalah. Bukan tidak ada juga rekod-rekod kejayaan tetapi tidak mahu dijadikan kayu ukuran atau model kejayaan kerana wujudnya fobia sesetengah pihak untuk mendengar suara-suara luar biasa yang mungkin akan menjadi tempias kegagalan pihak lain.
8. Struktur NGO dalam dialog tidak diperkasakan. Mereka bukan sahaja perlu menjadi wakil pelbagai NGO yang diiktiraf tetapi juga perlu mempunyai struktur organisasi tersusun di peringkat dialog serta terlibat di peringkat perlaksanaan secara aktif. Maka tidak wujudlah dakwaan rasa tidak puas hati atau tindakan tidak kena terhadap apa yang dilakukan kerajaan iaitu kononnya umpama 'lain yang disuruh, lain pula yang dibuat.'
9. Peneraju agensi pembangunan usahawan yang kurang memahami kehendak dan suasana keusahawanan. Kakitangan yang hendak memimpin institusi keusahawanan bukanlah calang-calang tokoh. Apa yang berlaku ialah sikap suka meletakkan kakitangan yang berasaskan senioriti atau 'kuota' tertentu. Tanyalah juga NGO ciri peneraju bagaimanakah yang mereka mahukan kerana akhirnya jika kredibiliti mereka dipersoalkan, imej kerajaan juga akan tercalar.
Semua pemerhatian di atas yang dilakukan oleh sesetengah NGO memperlihatkan tahap keseriusan mereka sudah berubah dan kian meningkat. Mungkin sesetengah mereka sudah mula mahu melihat cara NGO usahawan bukan Melayu bekerja dan memperjuangkan hak mereka hingga sering kali menggusarkan kerajaan dalam sebarang tindakan terutama keputusan politik.
Difahamkan MITI sekali lagi ingin mengadakan dialog dengan NGO usahawan Bumiputera pada 17 Februari (hari ini). Saya serahkan kepada mereka yang hadir untuk menyelesaikan sendiri semua perkara berbangkit.
Penganjur dialog tersebut juga turut mempelawa saya tetapi berdasarkan banyak siri dialog serta mesyuarat yang saya telah hadiri sepanjang tempoh setahun yang lalu, terus terang saya katakan bahawa saya juga rasanya mempunyai pandangan yang sama dengan NGO-NGO usahawan tulen ini. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menghadiri program lain yang saya fikir lebih memberikan manfaat kepada saya dan usahawan Melayu!
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment