Tuesday, February 1, 2011

Tun

Penjelasan wawancara dengan Mingguan Malaysia

TUN Dr. Mahathir Mohamad meminta maaf kerana tidak menjawab dengan tepat soalan-soalan daripada wartawan Mingguan Malaysia (seperti yang tersiar pada 30 Januari 2011). Oleh itu, beliau ingin membuat penjelasan berkenaan beberapa perkara.
Setengah Tangki Minyak

Mungkin saya tersilap jawab tetapi kerajaan Singapura tidak memaksa kereta Malaysia yang masuk ke Singapura mempunyai setengah tangki minyak. Yang dipaksa ialah kereta Singapura apabila masuk ke Malaysia mempunyai setengah tangki kerana harga minyak di Malaysia lebih murah. Tujuannya ialah supaya jualan minyak oleh servis stesen di Singapura tidak kehilangan pelanggan.

Hidangan Makanan Yang Haram

Di Malaysia, orang Islam tidak terima jika babi dihidang untuk orang bukan Islam semasa orang Islam bersama di meja hidangan. Saya tidak bermaksud orang Islam di Singapura mesti makan makanan haram yang disajikan. Tetapi hidangan daging yang haram di hadapan orang Islam tidak harus jadi masalah kepada orang Islam Singapura.

Malaysia dan Indonesia Sabotaj Singapura

Yang dilakukan oleh Malaysia dan Indonesia bukan sabotaj tetapi persaingan. Dahulu semua barangan keluaran dua buah negara dipasarkan melalui Singapura kerana pelabuhannya yang boleh diguna oleh kapal-kapal besar.

Menyedari bahawa pelabuhan boleh menyumbang kepada ekonomi, maka negara-negara berkenaan telah membangunkan pelabuhan-pelabuhan sendiri untuk mendapat hasil daripada industri import/eksport barangan keluaran masing-masing.

Apakah negara-negara yang sudah merdeka ini perlu mengekalkan sistem penjajah menjadikan Singapura sebagai pelabuhan utama di gugusan pulau-pulau dan semenanjung Asia Tenggara? Apakah salah jika mereka ingin menambah hasil bagi negara sendiri daripada perusahaan pelabuhan. Apakah ini menjadi sabotaj bagi Singapura?

Ekonomi

Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi. Untuk ini, keuntungan perniagaan dan upah mestilah tinggi. Bila keuntungan dan upah tinggi tentulah harga jualan barangan dan khidmat juga tinggi.

Apa gunanya pendapatan tinggi jika kos sara hidup menjadi tinggi sehingga kuasa membeli (purchasing power) tidak meningkat? Taraf hidup orang ramai tidak akan berubah, bahkan mungkin turun.

Tetapi jika kenaikan harga kurang daripada kenaikan pendapatan, maka kuasa membeli tiap seorang akan meningkat dan mereka akan menikmati taraf hidup (living standard) yang lebih tinggi daripada dahulu.

Bagaimanakah kenaikan harga dapat dikurangkan sedangkan upah, bahan mentah, pengangkutan semuanya naik kosnya?

Kenaikan kos boleh dikawal jika pengurusan (management) cekap dan membuat restructuring (penyusunan semula) supaya kos tidak naik setinggi kenaikan upah dan kos bahan serta pengangkutan yang akan turut naik.

Ini boleh dicapai melalui penyusunan semula dan pengurusan guna tenaga yang lebih baik. Dengan penggunaan robot dan automasi, pembesaran pasaran termasuk pasaran luar negara, peningkatan kualiti, pelbagai penjimatan dan lain-lain yang boleh dilakukan, matlamat pengurangan kos boleh dicapai.

Harus diingati bahawa walaupun upah di negara maju 10 kali ganda upah di Malaysia, mereka masih dapat memasarkan keluaran mereka dengan harga yang dapat bersaing dengan barangan keluaran negara kos rendah.

Kebaikan pendapatan yang tinggi termasuk juga kuasa daya beli yang tinggi bagi perniagaan dalam negeri. Larisnya perniagaan dalam negeri walaupun harga lebih tinggi akan meningkatkan keuntungan perniagaan runcit. Cukai pendapatan kerajaan akan meningkat juga, yang mana ini boleh diguna untuk membangunkan projek infrastruktur.

Projek-projek kerajaan yang besar akan memberi peluang kepada kontraktor, sub-kontraktor, pembekal bahan binaan, industri pengangkutan dan perniagaan runcit yang lain. Keuntungan yang diperoleh oleh perniagaan dan perusahaan ini akan menambah cukai yang dipungut oleh kerajaan.

Segala-galanya bergantung kepada kecekapan pentadbiran kerajaan dan pengurusan perniagaan. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita meningkatkan kebolehan kita dalam bidang-bidang ini.

Orang Malaysia gemar kenaikan pendapatan tetapi tidak boleh terima kenaikan bayaran barang sedikit pun. Jika kita ingin kenaikan pendapatan setaraf dengan negara maju, maka kita perlu terima kenaikan kos sara hidup. Tidak mungkin ada kenaikan pendapatan tanpa kenaikan kos sara hidup.

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment