Tuesday, February 1, 2011

Tenang


Mesej jelas pengundi Tenang

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
ramli.karim@utusan.com.my


PERTAMBAHAN 1,215 undi majoriti (daripada majoriti 2492 undi pada 2008 ) yang diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kelmarin, jelas membuktikan penolakan rakyat terhadap pakatan pembangkang, khususnya Pas.

Paling penting, ia memberi makna yang sangat signifikan kepada BN dan juga perkembangan politik tanah air, iaitu apabila parti tersebut kini ternyata kembali menerima sokongan padu daripada rakyat.

Ini kerana, peningkatan majoriti itu dicapai ketika peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 67 peratus; peribadi calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim diserang habis-habisan; dan kempen pembangkang diselubungi fitnah dan tohmahan; serta api sentimen agama disemarakkan oleh Pas.

Dalam isu memperalatkan sentimen agama misalnya, penolakan terhadap ‘politik jual agama’ yang dibawa pembangkang itu sangat ketara apabila hampir di semua daerah mengundi yang majoritinya orang Melayu, undi kepada BN meningkat.

Di enam kawasan yang jumlah pengundinya antara 80 dan 99 peratus orang Melayu, iaitu Felda Tenang (98.5 peratus), Felda Chemplak (99 peratus), Felda Chemplak Barat (95 peratus), Kampung Redong (99 peratus), Sawah Baru (99 peratus) dan Pekan Ayer Panas (81 peratus), jumlah undi untuk BN meningkat ketara.

Faktanya, di enam kawasan tersebut sahaja terdapat kira-kira 5,700 pengundi Melayu atau hampir 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Bagi keenam-enam peti undi Melayu itu, daripada 4,583 orang yang keluar mengundi kelmarin, 3,903 pengundi atau 85.2 orang memilih BN berbanding Pas yang hanya mendapat 680 undi.

Di Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat, iaitu lokasi yang digempur pembangkang termasuk menghantar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng untuk berkempen pada hari-hari terakhir, parti itu cuma mendapat 277 undi berbanding 1,823 undi untuk BN.

Begitu juga di Felda Tenang, tempat di mana Pas membuat tohmahan kononnya jentera merekalah yang menguruskan jenazah seorang peneroka yang ‘dibiarkan’ di masjid kerana imam dan orang kampung menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Januari lalu, parti itu cuma mendapat 160 undi berbanding 955 undi diperoleh BN.

Jumlah undi yang kecil tersebut menjadi bukti bahawa pengundi Melayu di Tenang yang masih berpegang kuat kepada ajaran Islam, langsung tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilontar pembangkang itu.

Perlu diingat bahawa di Felda itu jugalah pada hari terakhir berkempen, pembangkang menyebarkan risalah mengandungi gambar seorang wanita Cina yang kononnya merupakan ‘habuan’ diterima Mohd. Azahar untuk calon BN itu sengaja menyebabkan tanah milik seorang lelaki di Segamat dilelong pada tahun 2003.

Nampaknya, Pas yang melaung-laungkan slogan ‘berjuang bersama Islam’, semakin jauh dari hati pengundi Melayu dan umat Islam di negara ini kerana rakyat mengetahui bahawa parti itu hanya tahu mengeluarkan hukum-hakam tetapi tidak mentaatinya.

Dua ‘fatwa’ pemimpin Pas yang ‘dikeluarkan’ sebelum bermulanya kempen dan pada hari terakhir tempoh kempen iaitu ‘haram syarie mengundi UMNO’ daripada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa orang yang tidak mengundi Pas sebagai jahiliah, ditolak bulat-bulat oleh pengundi Islam di Tenang.

Jelas sekali, rakyat bukan saja di Tenang malah di seluruh negara sudah tidak mudah ‘digula-gulakan’ oleh pembangkang dengan permainan sentimen agama keterlaluan semata-mata untuk meraih undi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Tenang juga adalah isyarat bahawa kuasa mengundi yang dimiliki rakyat kini telah digunakan secara lebih rasional.

Petunjuk itu bukan saja boleh dilihat di Tenang malah dalam lima pilihan raya kecil yang dimenangi BN sebelum ini iaitu DUN Galas (Kelantan), Parlimen Batu Sapi (Sabah), Parlimen Hulu Selangor (Selangor) dan DUN Bagan Pinang (Negeri Sembilan) dan DUN Batang Air (Sarawak).

Dalam kelima-lima pilihan raya kecil itu, undi majoriti yang diperoleh calon-calon BN berjaya ditingkatkan hampir dua kali ganda.

Berbalik kepada keputusan di DUN Tenang, kemenangan BN kali ini lebih manis apabila dua daripada tiga daerah mengundi yang majoriti pengundinya kaum Cina, berjaya dirampas semula, iaitu di Bandar Labis dan Bandar Labis Timor.

Memang pujian wajar diberi kepada MCA termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, dari segi keberkesanan kempen mereka dalam pilihan raya kecil itu.

Ini kerana, di Labis dan Labis Timor, jumlah pengundi Cina masing-masing sekitar 57 dan 62 peratus.

Bagaimanapun di Labis Tengah yang mana 95 peratus pengundi adalah kaum Cina, BN pertingkatkan usaha kerana hanya memperolehi 365 undi berbanding 851 undi memihak kepada Pas.

Selain itu, jumlah undi BN di Labis merosot kepada 380 undi berbanding 411 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.

Kepada MCA secara khusus, parti itu perlu mengambil serius mesej pengundi di Labis Tengah yang hampir 100 peratus orang Cina - ia satu-satunya kawasan di mana BN kalah, daripada keseluruhan 12 daerah mengundi di Tenang.

Faktor lain yang tidak kurang sumbangannya adalah kegigihan keseluruhan jentera BN yang diketuai Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menerusi ‘doktrin gerakan bawah tanah’ yang nampaknya benar-benar berkesan.

“Apabila wisel permulaan ditiup pada 22 Januari lalu, kami sudah melakukan gerakan ‘bawah tanah’ iaitu menemui seorang demi seorang pengundi dengan menekankan sentuhan peribadi kepada setiap seorang pengundi.

“Kami percaya formula Menteri Besar Johor ini benar-benar berjaya di samping dibantu oleh kempen terbuka.

“Sebab itu, kali ini kita tidak galakkan terlalu ramai rombongan jentera BN dari negeri lain datang, sebab orang Johor mempunyai budaya unik iaitu mempunyai semangat kekitaan yang tinggi dan tidak sukakan kekecohan atau terlalu agresif.”

Demikian penegasan seorang ketua kampung berusia 38 tahun dikenali sebagai Razak yang juga Ketua Pemuda UMNO cawangan serta ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian dari sebuah daerah berjiran dengan Labis, ketika ditemui Utusan Malaysia kelmarin.

Akhirnya, daripada faktor permainan sentimen agama melampau batas dan taktik kotor pembangkang serta kekuatan ‘Formula Ghani’, pengundi di DUN Tenang telah menghantar mesej yang jelas bahawa mereka semakin yakin dengan BN, pada masa sama tidak rela diwakili ‘parti sesumpah’ dan ‘parti putar alam’.

Dan kepada BN pula, sudah semestinya mesej daripada pengundi Tenang tersebut menjadi motivasi paling berharga untuk dibawa ke Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment