Friday, February 11, 2011

Tanggung Kos

Kes Shuhaimi: Kerajaan negeri perlu tanggung RM2j

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dijangka perlu menanggung tidak kurang daripada RM2 juta kos perundangan Shuhaimi Shafie apabila tetap dengan keputusan untuk membela Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda itu.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, jumlah itu apabila mengambil kos minimum mengupah peguam sekitar RM100,000 seorang dengan anggapan kes berjalan untuk tempoh beberapa bulan.

Beliau menyifatkan jumlah itu sebagai kerugian besar kepada dana kerajaan negeri yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat.

"Tindakan menggunakan dana tersebut yang sepatutnya untuk kepentingan serta pembangunan rakyat merupakan kelakuan tidak bermoral. Ini satu pembaziran serta penyelewengan kepada wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan PKR Selangor yang tetap dengan keputusan untuk membiayai kos perundangan Shuhaimi yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menghasut, menggunakan dana kerajaan negeri.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pembiayaan itu akan diteruskan atas 'prinsip kebebasan bersuara' selain alasan bahawa Shuhaimi merupakan wakil rakyat yang menjalankan tugasnya sebagai rakyat Selangor.

Kata Hamidzun, Abdul Khalid seolah-olah mahu mengheret dirinya sendiri ke dalam penderhakaan terhadap Sultan Selangor apabila membiayai kos perundangan Shuhaimi kerana beliau mempertahankan individu yang mempertikaikan keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Lebih-lebih lagi jelasnya, penggunaan dana kerajaan negeri untuk membiayai kes itu merupakan satu bentuk penyelewengan kerana ia sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya kepada perkara berunsurkan politik.

"Beliau lebih rela menggunakan wang daripada dana kerajaan negeri untuk membela penderhaka sultan berbanding disalurkan untuk kegunaan rakyat. Kes ini bukan boleh diselesaikan dalam masa sehari dua, ia akan mengambil masa berbulan-bulan," katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sependapat dengan Hamidzun dengan menyifatkan tindakan kerajaan PKR Selangor itu salah dari segi moral kerana Shuhaimi melakukan kesalahan secara peribadi dengan menulis kenyataan yang menyinggung perasaan sultan di dalam blognya.

Beliau menegaskan, tidak wajar kerajaan negeri membiayai penderhaka seperti Shuhaimi dengan menggunakan wang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan dan pembangunan rakyat di negeri itu.

"Ia merupakan tindakan tidak bermoral. Tindakan tersebut juga menunjukkan bahawa Abdul Khalid dan kerajaan negeri turut menderhaka kepada sultan.

"Sekiranya mahu biaya, mereka sepatutnya gunakan wang parti (PKR), bukan guna wang yang diperuntukkan untuk pembangunan rakyat," ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment