Monday, January 31, 2011

Putar Sejarah

Jangan seret ahli akademik

UTUSAN: Apa pandangan Datuk terhadap pandangan Azmin Ali bahawa Datuk sering memutar belit sejarah?
RAMLAH: Bagi saya itu tidak patut berlaku. Masyarakat mempunyai pelbagai golongan yang berbeza, ada ahli politik, ahli akademik dan pelbagai lagi. Kami diberi tugas untuk membuat penyelidikan dan hasilnya kita akan membuat penulisan dan meluahkan pendapat. Pendapat juga boleh berubah bergantung kepada bahan yang diperoleh. Jika ada penemuan baru sejarah, maka fahaman kita tentang sejarah akan turut berubah.

Selain itu, ia juga bergantung kepada interpretasi tentang fakta yang ditemui dan ia bergantung kepada pengalaman. Macam satu kajian yang saya buat, institusi raja telah ada sejak zaman Melaka. Maka kita akan kaji pula undang-undang yang digunapakai dan sistem pengurusannya. Tapi kita jumpa pula apakah Melaka yang mula-mula sekali mempunyai sistem beraja. Kita buat lagi kajian dan didapati Melaka adalah sebuah kerajaan sambungan dari zaman Sriwijaya yang bermula sejak kurun satu Masihi.

Kemudian kita kaji lagi wujud sebuah kerajaan di wilayah Funan atau sekarang Kemboja. Maka kita sedar bahawa kita mempunyai sejarah yang panjang sebelum ini. Ini adalah hasil daripada keinginan untuk mencari asal usul.

Maka kita sedar bahawa semua ini memerlukan kajian mendalam. Dengan kajian, ia akan turut melahirkan kepakaran dan pandangan yang berbeza. Itu yang menyebabkan kita berbeza pendapat. Bagaimanapun, kita tidak boleh menyatakan bahawa pandangan orang lain salah. Ini kerana mungkin orang lain tidak menemui bahan yang saya ada. Mereka tidak boleh kata saya salah kerana saya ada bukti. Apa yang perlu ialah universiti memainkan peranan mengurus perkembangan ilmu tidak kira ada dalam apa-apa bidang. Itulah sebabnya perlu ada orang seperti kami di universiti. Institusi ini sangat penting kerana ia melahirkan orang-orang boleh memberi data dan buah fikiran.

Oleh itu, jika orang seperti saya sudah di cerca sebagai alat kepada sesuatu pihak, ia bermakna mereka tidak menghormati institusi universiti dan kepakaran kami.

Kenapa perkara ini ditimbulkan?

Perkara ini berlaku apabila politik diletak di hadapan. Apabila ia menjadi perkara utama, pihak ini akan meletakkan apa saja sebagai kepentingan politik. Dalam politik, ia bersandarkan kuasa. Bagaimana untuk mendapat, mengekal, melangsungkan kuasa? Ia jelas sebagai satu kenyataan berdasarkan politik. Ini perkara yang tidak betul dan ia perlu dibuktikan. Sekarang, kita bercakap tentang sejarah negara berdasarkan fakta dan rekod. Bukan berdasarkan mitos dan sebagainya. Sebagai contoh Sultan Melaka melawat China pada 1409, fakta ini ditemui dari rekod di negara China. Banyak sejarah silam kita disimpan oleh orang luar. Janganlah keterlaluan dalam berpolitik sehingga sengaja menuduh yang bukan-bukan. Kami bercakap menggunakan fakta, ahli politik sepatutnya tidak mengheret ahli akademik kerana pandangan golongan tersebut berdasarkan fakta dan kajian mereka.

Malah ahli akademik merupakan sumber pendapat yang boleh dipercayai kerana ia berteraskan pemerhatian dan kajian secara intelektual menggunakan dokumen-dokumen yang sah.

Apakah orang politik ini sangat terdesak hingga terpaksa mengganggu sejarah?

Bagi saya ia mudah. Apa yang berlaku sekarang adalah berasaskan kepada pilihan raya. Mungkin ia akan diadakan tahun ini atau pun tahun depan. Maka ahli politik ini sedang berusaha untuk bersedia menjadi popular. Oleh itu, jika ada pada pandangan mereka yang tidak sealiran, maka orang seperti saya akan dipersalahkan atau dinafikan. Tapi dalam pindaan undang-undang Selangor yang cuba dilakukan baru-baru ini, mereka mengambil pula ahli akademik Dr. Aziz Bari sebagai pendraf dan penasihat mereka. Jadi, kenapa mereka ini perlu marah dengan saya, sedangkan pada masa yang sama mereka menggunakan ahli akademik seperti Dr. Aziz untuk kepentingan mereka? Padahal UMNO tidak pernah minta saya buat apa-apa untuk parti itu. Cuma sekadar memberi ceramah tentang sejarah bukan saja kepada UMNO tetapi jabatan-jabatan kerajaan, NGO dan sebagainya. Bagi saya, itu tidak adil kepada orang akademik seperti saya.

Apa kepentingan mereka untuk mengubah sejarah yang sedia ada?

Berdasarkan kajian, selepas PRU ke-12, kerajaan Barisan Nasional (BN) dikatakan lemah kerana tumbang di lima negeri. Ini memberi semangat kepada pihak pembangkang untuk mencabar BN serta melemahkannya. Selepas itu, banyak dasar-dasar yang sedia ada diminta untuk diubah seperti biasiswa, artikel 153 dan pelbagai lagi.

Saya ambil contoh ketika kita hendak merdeka, MCA dan MIC telah meminta kerakyatan diberikan berdasarkan jus soli dan sebagai timbal balik, itu sebab adanya artikel 153. Hak ini sudah ada sejak zaman British lagi iaitu pada 1948 dan dijaga oleh Pesuruhjaya British dan apabila merdeka, ia dijaga pula oleh Yang diPertuan Agong. Jadi maknanya artikel 153 sudah ada sebelum merdeka lagi. Oleh itu, apa perlunya diubah walaupun hakikatnya ia sudah ada sebelum merdeka lagi. Saya berpandangan orang politik janganlah menganiaya orang akademik seperti saya kerana apa yang saya lakukan adalah berdasarkan kajian dan fakta. Sama ada saya sokong UMNO atau tidak, itu adalah hak peribadi saya.

Apakah kerana mereka beranggapan sejarah yang ada sekarang banyak melibatkan UMNO?

Tidak betul jika ia lebih kepada UMNO. Ini bukan sejarah UMNO tetapi sejarah Melayu dan negara. Saya kasihan kepada UMNO kerana walaupun banyak yang telah dilakukan untuk negara tetapi orang ramai terutama generasi muda membenci UMNO. Pada hal, kalau tidak ada UMNO mungkin lain ceritanya dari perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam mencapai kemerdekaan dan seterusnya. Saya tidak rasa kebencian orang ini ada kaitan dengan perang saraf yang dilakukan pembangkang. Ia lebih kerana ramai orang sekarang tidak membaca dan menghayati sejarah. Maka apabila ada pihak memasukkan fakta palsu tentang sejarah, maka mereka akan bulat-bulat percaya. Kita tidak boleh nak salahkan pembangkang jika mereka menyebarkan perang saraf kerana ia adalah satu tindakan politik untuk mendapat kuasa.

Mungkin apa yang Azmin buat itu adalah kerana menjadi alat atau desakan orang lain. Seperti yang dilalui oleh Rashid Maidin yang dilihat berjuang sebagai alat komunis. Apa yang cuba dilakukan oleh mereka ini adalah cuba mewajarkan fakta yang salah tentang sejarah dan kemudian akan cuba memaksa kerajaan mengubah fakta dalam buku sejarah. Namun yang saya bimbangkan sejak dari zaman Tunku lagi, orang Melayu banyak bertolak ansur, jadi kita akhirnya ditolak sedikit demi sedikit. Jika jawatankuasa yang menganggotai pembuat buku sejarah ini banyak bertolak ansur, maka kita semakin terhakis.

Ada pula berpandangan peranan bangsa lain tidak banyak dalam buku sejarah?

Kita kena lihat balik pada tempoh mana. Masa kemerdekaan negara, ramai tokoh seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S Lee dan Tan Sri Manickavasagam, semua kaum ada. Sapa kata kaum lain tidak memainkan peranan, saya yang tulis buku sejarah tingkatan tiga dan saya masukkan semua peranan mereka dengan jelas. Kaum lain ada memainkan peranan tetapi sebelum merdeka, lain pula sejarahnya.

Mereka tidak banyak memainkan peranan dalam negara dan hanya sekadar pedagang, pekerja lombong mahupun pekerja estet. Mereka ini tidak berapa peduli tentang kegiatan politik dalam negara ketika itu. Pesuruhjaya British yang main peranan utama selain raja-raja Melayu. Bagaimana kita nak masukkan peranan mereka jika tidak ada sangat peranan mereka ketika itu. Paling tidak, kita boleh kata British yang mewujudkan bandar-bandar baru untuk orang Cina, itu antara peranan mereka ketika itu.

Apa harapan Datuk memandangkan sejarah telah digunakan sebagai alat politik?

Bagi saya jika pandangan kami selaras dengan perjuangan mana-mana parti politik, ia hanyalah kebetulan kerana kami tidak menyebelahi mana-mana pihak. Anggap sahaja kami sebagai sumber pendapat sudut ketiga. Ahli politik juga tidak boleh menyempitkan peranan ahli akademik semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

Oleh itu, saya harap peranan ahli-ahli akademik tidak akan dipersoalkan lagi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan janganlah ia dijadikan senjata politik hanya untuk meraih populariti dan kuasa.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment