Monday, January 3, 2011

Sokong

Sokong pelantikan SUK Selangor

GABUNGAN Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS) mengalu-alukan pelantikan Datuk Mohd. Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru berkuatkuasa 1 Januari 2011 seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan baru-baru ini.

Sebagai anak jati Negeri Selangor dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran selama 31 tahun, beliau memang layak untuk menyandang jawatan tersebut. Sebelum ini, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan di Majlis Tempatan dan Pentadbiran Daerah sebelum dilantik Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (JAIS).

Kita yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan cemerlang sebagai pentadbir yang profesional dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Semua pihak wajar menerima dengan hati terbuka pelantikan yang telah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Kita tidak mahu ketegasan beliau sebagai Pengarah JAIS yang melarang mana-mana pihak berceramah di masjid dan surau dijadikan isu untuk tidak menerima pelantikan beliau. Sebagai Pengarah JAIS, beliau hanya melaksanakan tugas yang diarahkan.

Sebagai badan profesional, GIBS juga menyokong larangan ini kerana masjid dan surau ialah tempat untuk beribadat kepada semua umat Islam. Ia bukan tempat yang sesuai untuk menjadi pentas ceramah politik. Kita percaya tindakan beliau ini bukan bermotif politik atau kepentingan peribadi tetapi atas kapasiti beliau sebagai pentadbir yang mempunyai sifat profesionalisme yang tinggi.

Kita juga amat menyanjung tinggi ketulusan dan keikhlasan beliau untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan. Kita berharap isu ini tidak dipolitikan kerana kriteria kelayakan, kebolehan dan pengalaman luas beliau sebagai pentadbir yang cekap dan berkebolehan telah diiktiraf oleh semua pihak.

HASHIM SIBELIK

Yang Dipertua GIBS

Gabungan Ikhtisas Dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

TA

No comments:

Post a Comment