Wednesday, January 26, 2011

Bazaar Tok Guru

Pas Kelantan perlu jelaskan isu Bazar Tok Guru

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my
NAMANYA cukup hebat. Pembinaannya juga cukup gah bercirikan seni bina Islam dengan menampilkan enam kubah besar berwarna hijau, mengatasi bilangan kubah di mana-mana masjid di Kelantan.

Bazar Tok Guru merupakan salah satu projek yang dibangunkan oleh kerajaan Pas Kelantan melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dipengerusikan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pernah diketuai oleh menantu beliau, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Abdul Ariffahmi berkhidmat selama lapan tahun di PMBK sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 20 September 2009, mencetuskan kontroversi amalan nepotisme dalam Pas, selain kemelut dalaman PMBK yang dikaitkan dengan soal salah urus tadbir dan kewangan sehingga menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) membuat siasatan.

Terletak di Jalan Sultan Ibrahim, pembinaan Bazar Tok Guru yang dikatakan mesra pengunjung turut dilengkapi kemudahan lot letak kenderaan, surau, tandas awam, lif dan medan selera. Ia merupakan satu lagi mercu tanda di bandar Kota Bharu yang semakin pesat membangun hasil bantuan kerajaan pusat. Kehadiran bazar itu dilihat akan menyesakkan lagi jalan berkenaan yang sememangnya sudah sesak pada waktu puncak dan hari cuti umum.

Difahamkan, bazar itu diberikan nama Tok Guru untuk menghargai jasa tok-tok guru di Kelantan, yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negeri dan rakyat. Perlu diingat, Nik Abdul Aziz juga lebih dikenali sebagai seorang Tok Guru dalam kalangan rakyat Kelantan.

Bagaimanapun perkembangan mutakhir menyelubungi bangunan yang masih dalam pembinaan itu mencalit imej buruk bukan sahaja kepada kerajaan Pas Kelantan yang lantang melaung-laungkan slogan 'Bersama Kepimpinan Ulama dan Membangun Bersama Islam', tetapi juga individu yang bergelar tok-tok guru di negeri ini.

Mana tidaknya, belum pun siap dan digunakan, bangunan tersebut telah mencetuskan pelbagai polemik dan tanda tanya selepas pembinaannya menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian RM50 juta. Angka itu cukup besar bagi kerajaan Pas yang mengalami defisit bajet tahunan yang semakin tinggi setiap tahun misalnya pada 2011, defisit sebanyak RM53.24 juta dan 2010 pula RM29.50 juta.

Menurut laporan, kerugian itu disebabkan kerajaan negeri terpaksa menebus semula aras bawah bangunan berkenaan sebanyak RM23 juta daripada pemaju, syarikat Sensatimur Sdn. Bhd. disebabkan 'masalah teknikal', selain menanggung kerugian sebanyak RM30 juta akibat kehilangan tanah seluas 3.36 hektar untuk pembinaan bazar tersebut, sedangkan ukuran sebenar tapak dikatakan hanya 0.6 hektar.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'masalah teknikal' itu, tiada siapa yang tahu melainkan Nik Abdul Aziz dan kerajaan negeri sendiri. Tetapi seperti biasa, Menteri Besar itu, mahupun kerajaan negeri lebih suka 'tutup mulut', enggan memanjangkan masalah tersebut, khuatir lebih banyak kelemahan pentadbirannya terdedah kepada umum.

Selepas kerugian itu didedahkan kepada umum, banyak pihak meminta kerajaan negeri menjelaskannya, termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang meminta kerajaan Pas Kelantan memberikan penjelasan terperinci berhubung tindakannya membeli semula bazar itu daripada syarikat berkenaan.

Namun, umum mengetahui sikap kerajaan Pas Kelantan lebih suka 'pekakkan telinga dan tutup mata' apabila ada pihak memperkatakan kelemahan mereka. Sedangkan, masalah yang timbul menyebabkan rakyat Kelantan menanggung kerugian besar. Berbeza sama sekali jika kerugian itu melibatkan kerajaan pusat atau agensinya, ia pasti dicanang oleh Pas dan pakatan pembangkang ke seantero Malaya.

Ibarat sebuah drama di televisyen, kemelut membabitkan Bazar Tok Guru nampaknya belum berakhir apabila memasuki episod berikutnya ekoran rungutan 415 peniaga yang dikatakan akan berpindah ke bazar tersebut kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri terutama PMBK.

Akibat tidak berpuas hati, peniaga Pasar Besar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Arked UDA telah mengadakan bantahan kerana mendakwa kerajaan negeri mungkir janji apabila sebelum ini mereka dijanjikan lot kedai berkeluasan 3.04 x 3.65 meter persegi pada harga RM40,000, tetapi kini harganya dikatakan naik sekali ganda antara RM80,000 hingga RM90,000 sementara keluasan lot kedai pula lebih kecil iaitu 1.82 x 2.4 meter persegi.

Menurut peniaga terbabit, kerajaan Pas Kelantan telah memberikan janji-janji manis itu dua hari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, pada 2008. Difahamkan, kerajaan Pas Kelantan berjanji untuk menyediakan prasarana perniagaan terbaik kepada kumpulan peniaga itu dengan harga 'mampu milik' dalam satu pertemuan pada 6 Mac 2008.

Perkara itu dilaporkan turut termaktub dalam manifesto pilihan raya Pas ketika itu iaitu 'Madinatur Raudhah dan Bazar Tok Guru'. Janji tersebut pula dikatakan dibuat oleh Nik Abdul Aziz dan disampaikan oleh seorang pegawai tinggi PMBK ketika itu kepada peniaga terbabit.

Dalam pertemuan itu juga, satu memorandum dikatakan telah ditandatangani antara wakil peniaga dan PMBK antara lain menyatakan kerajaan negeri akan memajukan ekonomi negeri dengan lebih efektif termasuk menyediakan satu kawasan pusat perniagaan dengan pelbagai jenis kemudahan.

Mengambil kira apa yang berlaku, mungkinkah wujud unsur penipuan atau pecah amanah atau rasuah dalam pembinaan Bazar Tok Guru? Persoalan itu ditimbulkan oleh banyak pihak, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan menuntut campur tangan SPRM.

Pengarah SPRM negeri, Nasaruddin Mohd. Nor ketika ditemui baru-baru ini telah menyatakan kesediaan pihaknya meneliti sama ada berlaku penyelewengan dalam masalah tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bagi Pengerusi Persatuan Peniaga Arked Huda, Borhan Mohamad Nor, pihaknya tidak akan berpindah ke bazar itu selagi isu berkaitan tidak dapat diselesaikan sebagaimana dijanjikan. Sementara Pengerusi Pasar Besar Arked MPKB, Ab. Salim Ahmad, pula menyatakan semua peniaga percaya dengan janji Nik Abdul Aziz sebelum ini, namun akhirnya kecewa apabila diperlakukan sedemikian.

Sebenarnya, masalah bazar berkenaan telah lebih setahun didedahkan tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan proaktif diambil oleh mana-mana pihak untuk menanganinya. Kerajaan Pas Kelantan sudah semestinya cuba 'menutup' segala kelemahan yang didedahkan.

Lantaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan mahu siasatan dijalankan bagaimana maklumat mengenai kerugian tersebut boleh terdedah kepada umum.

Sehubungan itu, campur tangan SPRM dilihat mampu merungkai persoalan-persoalan yang berlegar-legar di fikiran rakyat mengenai Bazar Tok Guru. Namun, jangan pula nanti ada usaha untuk melindungi mana-mana pihak berkepentingan kerana masalah ini melibatkan kepentingan rakyat terutama peniaga terbabit.

Semua pihak kini menanti episod seterusnya dalam kisah Bazar Tok Guru ini. Apakah kesudahannya, adakah ia akan menerima nasib seperti isu sumbangan sebanyak RM4 bilion yang diberikan oleh sebuah syarikat, I'DA World Group Sdn. Bhd. (I'DA World) kepada Pas Kelantan?

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment