Khalid digesa bubar DUN
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 15 Jan. - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menasihatkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon perkenan Sultan Selangor bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, nasihat itu diberikan kerana Abdul Khalid yang menerajui Selangor ketika ini dilihat sebagai robot dan dipergunakan oleh para pemimpin partinya sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sekutu mereka, DAP.
Memberi contoh tindakan kerajaan negeri mengadakan sidang DUN tergempar untuk meminda Perlembagaan Selangor 24 Januari ini, katanya, langkah itu sebenarnya satu strategi pemimpin PKR dan DAP yang berniat jahat dengan mempergunakan Abdul Khalid bagi memecah-belahkan perpaduan orang Melayu serta institusi beraja di negeri ini.
Jelasnya, pindaan itu juga sebenarnya satu tindakan politik yang mahu melaga-lagakan orang Melayu selain bertujuan menghina pimpinan negara sebelum ini yang meminda Perlembagaan membabitkan bidang kuasa raja-raja.
"Apakah ketika ini kuasa sultan tidak cukup. Pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dengan mendapat perkenan Sultan Selangor, maka jadilah Mohammed Khusrin sebagai SUK.
"Kita sebenarnya kasihan dengan Abdul Khalid sekarang. Kita lihat beliau ditekan secara dalaman oleh pimpinan PKR dan DAP meskipun mempunyai kuasa dalam menentukan pentadbiran Selangor ketika ini.
"Menteri Besar dipermainkan secara politik dan pindaan perlembagaan negeri itu juga bersifat 'penguasaan' daripada Exco DAP. Saya nasihatkan agar Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor minta perkenan bubar DUN, kita bertanding sekali lagi di Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Memperkasa Model Baru Ekonomi (MBE) anjuran UMNO Bahagian Kota Raja di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Ir. Kamaruzaman Johari.
Pada 11 Januari lalu, kerajaan negeri mengumumkan akan mengadakan sidang DUN pada 24 Januari ini bagi membolehkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 kononnya untuk mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam melantik tiga pegawai eksekutif negeri termasuklah SUK.
Pindaan itu dibuat ekoran rasa tidak puas hati kerajaan negeri terhadap pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK meskipun telah mendapat perkenan Sultan Selangor sebelum ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahim pada sidang akhbar selepas program itu turut menyatakan pindaan berkenaan merupakan satu perkara yang sia-sia kerana ia tidak konsisten dengan gagasan Perlembagaan Persekutuan.
Malah beliau turut mengulangi bahawa pindaan tersebut adalah berniat jahat serta berunsurkan politik semata-mata bukannya untuk manfaat kepada orang Melayu dan institusi beraja.
No comments:
Post a Comment