'Terimalah Qada, Qadar Allah'
YANG Berbahagia Tan Sri,
Saya terpanggil untuk menulis surat ini kerana amat dukacita berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang sehingga kini masih menjadi polemik walaupun pelantikan beliau diperkenankan oleh Sultan Selangor. Mohammed Khusrin telah pun mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia di hadapan Sultan Selangor.
Sekalipun baginda telah bertitah bahawa pelantikan Mohammed Khusrin telah muktamad dan menurut peraturan dan Tan Sri sendiri memperakuinya, Tan Sri terus mempertikaikannya dan menganggap pelantikan itu belum muktamad. Malah Tan Sri juga mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan ini bertujuan meminda perlembagaan gara-gara isu tersebut.
Alasan Tan Sri menolak Mohammed Khusrin kerana nama beliau tidak dirujuk kepada Tan Sri. Khabarnya beliau juga bukan calon pilihan Tan Sri dan kerana itu Tan Sri berkeras tidak mahu menerimanya. Nyatalah penolakan Tan Sri lebih bersikap peribadi, bukan kerana ada pelanggaran aspek undang-undang atau tidak yakin kemampuan Mohammed Khusrin.
Nyata sekali pendirian Tan Sri seolah-olah menyanggah perkenan Sultan Selangor. Sebagai seorang pemimpin negeri dan seorang Melayu beragama Islam, pada saya sikap Tan Sri ini amatlah tidak manis. Ia hanya menampakkan sikap 'keras kepala' Tan Sri.
Saya percaya sebagai seorang Islam, Tan Sri percaya kepada Qada dan Qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Malah ia merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Allah telah menentukan bahawa Mohammed Khusrin menjadi SUK Selangor. Maka itu adalah ketentuan Allah yang wajib diterima dengan hati terbuka.
Janganlah lupa bahawa rezeki, ajal dan jodoh pertemuan itu ditentukan oleh Allah. Maka Allah telah memberi rezeki kepada Mohammed Khusrin menjadi SUK. Kita sebagai hamba mesti menerima. Siapakah kita yang hendak mempertikai Qada dan Qadar serta rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah?
Sesungguhnya pangkat, kedudukan dan segala kenikmatan yang kita kecapi adalah pemberian Allah. Oleh itu kita janganlah sombong serta meninggi diri dengan kedudukan serta pangkat yang diberi Allah.
Ingatlah, kerana Allah yang memberi rezeki, pangkat dan kedudukan kepada kita, maka Allah boleh menariknya kembali dalam sekelip mata. Justeru, kita mesti bersyukur dengan segala pemberian Allah, jauh sekali cuba menidakkan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada orang lain.
Saya berdoa semoga Tan Sri dengan lapang dada menerima Qada dan Qadar Allah ini. Berdirilah di atas kaki sendiri. Jangan biarkan diri Tan Sri dipengaruhi oleh golongan orang kafir yang memang tidak percaya kepada Qada dan Qadar, atau orang Islam sendiri yang tidak mahu berpegang kepada ketentuan Allah ini.
Sebagai orang Melayu pula, saya percaya Tan Sri menyimpan rasa hormat dan kasih sayang kepada Raja, dan dalam hal ini khususnya ialah Sultan Selangor. Namun apa yang Tan Sri lakukan dengan seolah-olah mahu 'bersengketa' dengan Sultan sama sekali tidak menunjukkan rasa hormat ini.
Kita sebagai orang Melayu ada adab susila, terutama kepada Raja. Bersengketa dengan Sultan secara terbuka hingga menjadi tatapan dan perbincangan khalayak ramai amat tidak manis. Jika pun ada perselisihan pandangan, apabila ketua kita telah membuat keputusan, terimalah keputusan itu.
Sesungguhnya saya tidak faham kenapa Tan Sri perlu terus menonjolkan kedegilan diri. Adakah ini sebenarnya suara hati Tan Sri atau adakah 'tangan-tangan jahat' di belakang Tan Sri yang sengaja mahu mewujudkan kekeruhan antara Tan Sri dan Sultan? Antara Tan Sri dengan Mohammed Khusrin? Jika benar siapakah mereka ini yang lempar batu sembunyi tangan lantaran agenda mereka tidak dipenuhi?
Ingatlah, Tan Sri boleh dikira sebagai tokoh disegani. Tan Sri pernah menjadi tokoh korporat dan pernah menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ini juga rezeki dan nikmat yang pernah Tan Sri kecapi hasil daripada dasar-dasar kerajaan.
Oleh itu harapan saya apabila Tan Sri kini diberi rezeki menjadi pemimpin, jadilah pemimpin yang benar-benar berdiri di atas kaki sendiri. Jadilah pemimpin yang tegas dan tidak dipengaruhi, pada masa yang sama menjunjung adab dan adat Melayu.
SHAH RAHMAN
Sepang, Selangor
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment