Jangan lupa kuasa 'mutlak' rakyat
Oleh MOHD TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
SUASANA politik tanah air semakin hangat dengan pelbagai isu. Banyak cakap-cakap politik Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan diadakan pada hujung tahun ini.
Kehangatan itu semakin bertambah dengan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor dan bakal menyusul PRK DUN Merlimau, Melaka ekoran pemergian penyandangnya Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.
Mungkin keadaan itu membuatkan pemimpin lebih sibuk berpolitik sehingga terlupa menjalankan kewajipan masing-masing sebagai pemimpin rakyat dengan menghentam sesama sendiri semata-mata mahu meraih sokongan pengundi demi survival parti masing-masing.
Tidakkah kita terfikir bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam politik tanah air hari ini akan dinilai oleh rakyat dengan apa yang dilakukan sama ada sedar atau tidak.
Di negara ini, rakyat yang berparti hanya ada 60 peratus dan selebihnya merupakan pengundi atas pagar yang sebenarnya amat berkuasa dalam menjadi penentu keputusan PRU nanti.
Kuasa mutlak itu telah dibuktikan dengan kegagalan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat majoriti 2/3 di Dewan Rakyat pada PRU lalu tanpa diduga oleh sesiapa pun.
Tetapi perlu diingatkan perkara sama juga berlaku di Terengganu pada 1999 di mana Pas telah berjaya menawan Wisma Darul Iman dengan jayanya.
Namun hanya selepas sepenggal menjadi kerajaan, Pas tewas teruk dan seterusnya menyaksikan kerajaan BN kembali memerintah.
Jelas, kuasa rakyat tidak dapat 'ditewaskan' sekiranya keperluan dan kehendak mereka tidak dipenuhi.
Pendapat yang sama turut dilontarkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abd. Aziz yang menegaskan bahawa rakyatlah yang berkuasa menentukan 'jatuh bangun' sesuatu kerajaan di sesebuah negara.
''Wakil rakyat yang dipilih semasa PRU lalu, perlu menjalankan tanggungjawab yang diberi untuk menjaga kebajikan rakyat kerana ia merupakan satu amanah untuk dipikul.
''Rakyat sedang memerhatikan segala yang berlaku, jika tidak berkenan di mata dan di hati mereka pastinya buruk padahnya,"katanya.
Jika dilihat suasana politik hari ini, rakyat selalu digula-gulakan oleh parti politik pembangkang dengan agenda-agenda perjuangan yang molek belaka untuk rakyat, tetapi setakat mana kebenarannya.
Sebaliknya, kerajaan BN yang memegang kuasa kerajaan pusat telah melakukan pelbagai transformasi yang kini terbukti berjaya serta dapat dinikmati seluruh rakyat.
Contohnya di bawah pemerintahan kerajaan BN, rakyat menikmati kemakmuran ekonomi, kesejahteraan, keamanan, selain bilangan kemiskinan menurun dan pada waktu yang sama, negara kita begitu dikagumi dunia sehinggakan hampir seluruh rakyat dapat menikmati hidup yang sempurna.
Keadaan sebaliknya berlaku di negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang seperti di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Walaupun telah menjadi pemerintah, namun apa yang dijanjikan kepada rakyat masih jauh dari realiti.
Mana janji-janji indah pakatan pembangkang yang ditabur sebelum menang PRU lalu. Bunyinya begitu sedap didengar sehinggakan ramai yang terpesona, namun setakat mana segala janji itu direalisasikan sekiranya bercakap lebih banyak daripada bekerja.
Jangan ingat rakyat Malaysia 'buta' untuk menilai segala penyalahgunaan kuasa, penipuan dan kemelut yang melanda parti-parti pembangkang sehinggakan segala perjuangan hakiki masing-masing tergadai dek kerana politik sempit.
Rakyat zaman BlackBerry (BB) sekarang banyak bezanya dengan rakyat sebelumnya kerana rakyat kini semakin matang untuk memilih antara kaca dan berlian.
Lihat sahaja kenyataan 'Tutup kedai, balik India,' yang dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik kepada pengusaha Restoran Nasi Kandar Mohamad Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, semasa operasi penyitaan di premisnya awal bulan lalu.
Baru dapat mentadbir negeri, sudah berani menunjukkan belang dengan menghina kaum lain seolah-olah kedudukan mereka sebagai wakil rakyat tidak akan tercabar.
Setelah lama didesak agar memohon maaf barulah Wei Aik memohon maaf. Timbul persoalan keikhlasan permohonan maaf yang dibuat kerana masa yang diambil terlalu lama.
Kejadian itu sebenarnya menunjukkan perjuangan sebenar DAP yang ultra kiasu serta tidak menghormati bangsa lain.
Inikah yang dikatakan berjuang untuk rakyat? Adakah tidak terfikir oleh Wei Aik bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan?
Jika perkara-perkara seperti ini dilakukan, tidak mustahil segala perjuangan pemimpin terdahulu yang menyatupadukan semua bangsa akan musnah di tangan pemimpin yang berfikiran cetek dalam sekelip mata
Sebelum menang, katanya pakatan pembangkang berjuang untuk rakyat. Nah, sekarang terbukti mereka berjuang tetapi bukan semua rakyat sebaliknya 'pilih bulu'.
Tidak dapat dibayangkan sekiranya golongan mereka ini yang memerintah negara, apa akan jadi dengan nasib rakyat khususnya bumiputera.
Melihat penipuan demi penipuan yang dilakukan pakatan pembangkang semata-mata mahu menarik sokongan rakyat, ia menjadikan politik pembangkang sesuatu yang menjijikkan. Murah dan tidak berkualiti. Itulah yang boleh dirumuskan melalui tindak tanduk pembangkang yang seakan-akan sudah kekeringan idea untuk menipu rakyat.
Pakatan pembangkang terus menggunakan 'modal politik' yang sama setiap kali menjelang PRU kerana mereka ini 'dilahirkan' untuk menjadi pembangkang bukannya untuk menjadi kerajaan.
Kita lihat pula situasi Kedah semasa dilanda banjir besar. Adakah Kerajaan Pas Kedah benar-benar berfungsi membantu rakyat negeri itu semasa bencana alam berlaku?
Apa yang pasti, pemimpin Pas Kedah hanya mampu mengharapkan bantuan penuh kerajaan pusat bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu. Inikah yang dipanggil kerajaan untuk rakyat? Adakah mereka ini layak untuk memerintah sebuah negeri yang sentiasa perlu bersedia sama ada dalam keadaan aman atau bencana?
Semua bukti menunjukkan pimpinan Pas tidak bersedia serta tidak layak memerintah kerana orang-orangnya tidak pandai mentadbir, malah mereka ini boleh diumpamakan 'kera dapat bunga'. Itu pun belum lagi dimasukkan kisah kemelut yang berlaku di Selangor dan Kelantan.
Bak kata orang tua-tua, bukan semua orang pandai mentadbir dan bukan semua boleh menjadi ulama kerana setiap orang dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
No comments:
Post a Comment