Thursday, January 13, 2011

Budi

Kita semakin hilang akal dan budi

Oleh MOHAMAD ABDULLAH
PERISTIWA pembakaran buku dan gambar penulis novel Interlok menggambarkan kerendahan budi pekerti kita dalam menangani isu yang berkaitan dengan kaum di negara ini. Terasa dangkal dan ceteknya pemikiran mereka yang melakukan tindakan sedemikian tanpa memikirkan implikasi kepada pembangunan intelektual dan ketinggian budi dalam menangani isu berkenaan.

Apa pun alasannya, perbuatan sedemikian sukar diterima akal yang waras, apatah lagi ia sekadar pertelingkahan tentang interpretasi dan pemahaman sejarah, keengganan untuk menerima fakta sejarah dan kekalutan dalam menjadi wira masyarakat tanpa berlandaskan pemikiran yang rasional di sebalik penulisan berkenaan.

Apatah lagi bagi sebuah buku yang telah lama ditulis, yang telah lama digunakan di sekolah-sekolah dan telah lama pula berada dalam pasaran. Kenapa tidak novel itu dibantah tatkala ia mula diisytiharkan memenangi sayembara penulisan dan kemudian diterbitkan kepada umum sekian lama. Kenapa pula baru kini ia menjadi sasaran?

Melihat dari aspek yang lebih positif, tindakan sedemikian memberi peluang kepada masyarakat untuk berdebat mengenai sastera negara yang selama ini mungkin jarang mendapat tempat.

Kita harap mereka yang berbincang, berdebat malah membakar buku berkenaan telah pun membaca sepenuhnya dan memahami konteks penulisan buku itu, bukan membuat tafsiran sendiri terhadap satu penulisan kreatif yang dijalin berdasarkan fakta sebenar. Mereka termasuk pihak yang memulakan isu ini, diharap telah berhujah dan mencari fakta sebenar kerana buku ini ditulis berasaskan fakta sejarah yang telah dikaji dan diteliti oleh penulisnya, bukan hanya ditulis sesuka hati.

Kita juga harap ia menjadi satu permulaan yang baik untuk masyarakat negara ini turut membaca buku-buku sastera dan budaya lain yang banyak dihasilkan sekarang. Sekurang-kurangnya, ia dapat memperkayakan akal budi kita dalam membentuk masyarakat berilmu untuk masa depan negara dalam acuan sendiri, walaupun nampaknya ia semakin di kesampingkan dalam menjayakan KPI yang ada.

Semoga nanti, tidak ada lagi mereka yang akan mempertikaikan karya-karya besar lain yang dihasilkan oleh sasterawan negara, mahu pun penulis-penulis tersohor lain termasuk karya tradisional seperti Sulalatus As Salatin secara dangkal dan dari perspektif sendiri semata-mata. Melihat Hang Tuah sebagainya pahlawan kuno yang tidak masuk akal, sedangkan kita menerima dengan mudah kewujudan pelbagai hero lain termasuk Harry Potter yang membolehkan penulisnya mengaut kekayaan besar.

Selagi kita memahami ia adalah hasil kreatif yang harus ditafsir dalam konteks penulisan, bukan dibuat sesuka hati, maka mereka yang belum membaca novel ini, perlu membacanya, kemudian membincang dan mengkaji pelbagai aspek karya untuk mengayakan lagi ilmu dan pemahaman kita terhadap kehidupan.

Novel ini perlu dilihat dalam konteks akal budi yang jelas, bukan dengan emosi yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa depan. Ia akan membuka laluan dalam kalangan anak-anak muda kita melihat karya sastera secara terbuka sebagai sumbangan kepada pembinaan bangsa Malaysia yang terbuka, harmoni dan berakal budi.

Hakikatnya, karya sastera sedemikian harus menjadi sumber mengayakan lagi daerah pengalaman hidup kita, ia perlu dibincang, bukan dicincang. Ia perlu diteliti, bukan dibunuh mati. Ia perlu dijadikan cerminan kehidupan bukan dibakar yang hanya merugikan semua pihak dan dilihat dalam konteks apa sekali pun.

Kerana itu juga, masyarakat harus kembali menghayati makna budi bahasa, budi pekerti, budi bicara dan tentunya akal budi yang tinggi untuk memastikan kita berupaya menjadi masyarakat madani, masyarakat contoh dan masyarakat yang bertamadun tinggi. Budi bahasa bermakna, kita memahami bahawa dalam kata-kata harus ada tertib. Budi bicara bermakna kita membuat pertimbangan atas kemaslahatan yang lebih utama dan jika kita melakukan tindakan, gunakan akal budi yang tinggi, bukan dilakukan sesuka hati.

Ini bererti jika kita tidak bersetuju dengan kata-kata orang lain, fikir dahulu, pertimbangkan dengan penuh hemah, cari kebenarannya, cari maknanya, cari interpretasi yang betul, cari faktanya sebelum kita bertindak menentang hujah berkenaan. Jika ingin bertindak, pastikan tindakan kita tidak melukakan hati orang lain, berasas dan tidak menafikan kebenaran. Jika ingin marah, marahlah sebagai orang berilmu, berakal budi yang bukan ditujukan secara peribadi tetapi kepada pemikiran dan pendapat yang berbeza yang diutarakan orang berkenaan.

Malangnya kita makin hilang hemah. Makin hilang akal budi yang dijunjung selama ini. Sesuatu harus dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Proses pendidikan kita harus diteliti untuk membentuk pemikiran positif yang dapat menyumbang dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan tahu makna toleransi. Bijak dalam menggunakan budi bicara bicara, berbudi bahasa yang tinggi tetapi bukan sehingga dipijak orang. Berhujah, tetapi bukan menyerang peribadi. Yang penting, bersedia menerima pandangan orang lain, yang mungkin berbeza dari pandangan peribadi kita.

Kita barangkali terbawa-bawa dengan cara dan kaedah yang diguna oleh sesetengah pihak dalam memperjuangkan sesuatu isu, sehingga lupa bahawa perbezaan pendapat dan pandangan bukan bermakna menjadi sebab untuk mewujudkan ketegangan sehingga menghina orang. Kita harus terima kepelbagaian yang ada secara terbuka dan bersedia membuat perubahan apabila terbukti adanya pandangan lain yang lebih tepat.

Jangan lupa sejarah dan jangan juga nafikan fakta di mana bermulanya kita. Jangan ketepikan begitu sahaja tentang apa yang menjadi permulaan kita. Jangan mudah mentafsir yang orang lain menghina kita semata-mata kerana sejarah menunjukkan bagaimana sesuatu itu bermula. Kita tidak boleh memadamkan masa lalu begitu sahaja jika benar masa lalu itu sudah sedemikian suratannya.

Ilmu pengetahuan yang kita timba selama ini, di sekolah hinggalah ke universiti mahu pun pelbagai pengalaman hidup yang dilalui harus menjadikan kita lebih rasional dan berakal budi tinggi. Pelajaran yang kita kuasai harus berupaya menjadikan tindakan kita lebih bertamadun, bukannya menurunkan darjat keilmuan yang ada. Teruskan mengupas, membincang dan mengkritik karya-karya di sekeliling kita malah di mana sahaja, tetapi jangan menghina dan membakarnya hanya kerana tidak setuju dengan pandangan yang diberikan oleh penulis atau karyawan berkenaan.

Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak harus terus bersedih dengan sikap mereka yang menolak karyanya. Walaupun dalam keadaan uzur, seorang sasterawan adalah manusia hebat yang sekurang-kurangnya kontroversi ini menjadikan orang ramai akan lebih mendekati Interlok, malah juga diharap akan membaca lebih banyak karya Malaysia yang kian kurang khalayaknya.

Biarkanlah anak-anak muda kita berbincang secara ilmiah tentang karya sastera yang ada secara terbuka, berdebat dan memberikan pandangan terhadap idea dan pemikiran besar dalam karya sastera seperti Interlok, bukannya menghalang mereka dengan menarik balik daripada cadangan asal untuk terus diguna dalam bilik darjah.

MOHAMAD ABDULLAH

Pejabat Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia

No comments:

Post a Comment