Beza wibawa pelan kerajaan BN dengan pembangkang
USAHA kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 diperhebatkan lagi dengan pengumuman 19 projek pembangunan baru, kelmarin.
Projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) itu melibatkan RM67 bilion pelaburan sektor swasta dengan tumpuan kepada pelbagai sektor termasuk minyak, gas dan tenaga, kesihatan, pengangkutan serta hartanah.
Ia yang menyusuli 18 projek yang diumumkan tahun lepas, akan menyumbang sejumlah RM36 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu cukup membangkitkan rasa teruja penganalisis ekonomi dan pemain industri yang melihatnya sebagai bukti ETP adalah perancangan yang realistik dan bukan sekadar retorik.
Menariknya, pengumuman itu yang dibuat tidak lama selepas pakatan pembangkang menghebahkan pelan mereka sekiranya diberi peluang memerintah, memberi kesempatan kepada rakyat membuat perbandingan di antara kedua-duanya.
Berbeza dengan 'Pelan 100 Hari Pembangkang' yang disifatkan aneh dan tidak berpijak di bumi nyata, ia menunjukkan kematangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah dalam merangka pembangunan negara mencakupi semua sektor industri dan rakyat.
Yang pastinya, ia logik!
Penyenaraian projek ETP lengkap dengan perincian termasuk nama-nama pelabur yang telah dikenal pasti, memberi keyakinan bahawa ia benar-benar akan dilaksanakan.
Sokongan syarikat-syarikat multinasional untuk melabur berbilion ringgit dalam projek-projek yang disenaraikan juga menambah darjah keyakinan itu.
Ia menjadi prasasti keyakinan mereka terhadap kewibawaan kerajaan BN mengurus ekonomi negara. Ia bukan sekadar gula-gula jenama populis seperti yang ditabur pembangkang dengan menjanjikan pelbagai kesedapan tanpa mengetahui dari mana puncanya.
Janji memberikan itu dan ini memang sedap didengar. Persoalannya, macam mana hendak menunaikan janji-janji itu jika sumbernya tiada? Inilah yang membezakan wibawa pelan kerajaan BN dengan pembangkang.
Sebab itu, Pelan 100 Hari Pembangkang jika diterima, akan hanya menghancurkan ekonomi negara kerana ia tidak lebih sekadar umpan untuk meraih sokongan semata-mata.
Sebaliknya projek ETP kerajaan BN, merupakan pelan yang dirancang rapi untuk meletakkan Malaysia pada landasan betul bagi mencapai Wawasan 2020.
Langkah Perdana Menteri mengumumkan fasa kedua ETP sebaik sahaja tirai 2011 dibuka telah menetapkan momentum untuk bergerak ke arah itu.
Kita dapat menganggarkan, pertumbuhan ekonomi yang rancak selepas ini.
Ini kerana, di samping syarikat-syarikat besar yang terlibat secara langsung, syarikat-syarikat kecil dan komuniti perniagaan lain juga akan menikmati limpahan daripada pelaksanaan projek-projek terbabit.
Lebih penting lagi, kesan daripada pelaksanaan projek-projek tersebut sudah pasti akan dirasai oleh rakyat keseluruhannya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment