Tidak rela warisan bangsa dihina
ALHAMDULILLAH, dengan rahmat dan izin daripada Allah SWT jua, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kali Ke-174 dapat dilangsungkan pagi ini.
Beta mengalu-alukan kehadiran Datuk Mohd. Shukri yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik menganggotai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menggantikan Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah yang telah ditukarkan mengambil tanggung jawab baru sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur. Semoga kekayaan pengalaman dan khazanah pengetahuan Datuk Mohd. Shukri akan menjadi aset penting yang dapat membantu Beta meningkatkan keberkesanan peranan Majlis khususnya menyentuh perkara berkaitan agama Islam dan adat Melayu.
Beta dan Persidangan ini merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah, atas peranan dan perkhidmatan beliau kepada Majlis dan juga negeri Perak ketika menjadi anggota Majlis dan ketika menjawat jawatan Ketua Polis Perak.
Semoga segala khidmat dan jasa bakti beliau diterima sebagai ibadah dan amal yang mendapat ganjaran dunia dan akhirat. Semoga beliau terus mencapai kemajuan kerjaya lebih cemerlang dan senantiasa dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT.
Beta turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Mohamah Nor Mansor Al-Hafiz yang telah genap dua tahun menyempurnakan tanggung jawab sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan sukacita dengan penerusan keanggotaan beliau di dalam Majlis menurut watikah lantikan yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan sejak Januari 2008.
Pada tahun 2010, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak buat pertama kalinya mempunyai jawatan sepenuh masa seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang turut berperanan sebagai Setiausaha Majlis. Dalam tahun 2010 jua, Jawatankuasa Baitulmal Daerah telah mula berfungsi untuk meningkatkan keberkesanan dan mempercepatkan proses pengagihan zakat.
Berasaskan angka yang belum diaudit, kutipan zakat sepanjang tahun 2010 telah meningkat kepada RM66.9 juta, lebih tinggi dari sasaran RM65 juta dan meningkat 7.3 peratus berbanding kutipan zakat tahun 2009. Dalam tahun kewangan yang sama, Majlis telah menyalurkan RM55.58 juta wang zakat.
Bilangan yang mendapat bantuan di bawah asnaf fakir dan miskin meningkat daripada 4,208 orang dalam tahun 2009 kepada 5,746 orang dalam tahun 2010. Kira-kira RM5.97 juta diluluskan untuk tujuan membina 162 rumah dan membaik pulih 192 rumah, meningkat dari peruntukan RM3 juta yang diluluskan dalam tahun 2009. Dalam tahun 2010 juga, RM22.25 juta diperuntukkan di bawah asnaf fisabilillah yang telah memberi manfaat kepada 658 pelajar di luar negara dan 619 pelajar di dalam negeri di samping bantuan per kapita sekolah agama rakyat, bantuan masjid dan surau, elaun guru al-Quran, pembangunan modal insan serta insentif mubaligh.
Beta menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan seluruh warga pengurusan Majlis di atas pencapaian tersebut. Namun Beta wajar memperingatkan pihak pengurusan agar jangan terlalu cepat berpuas hati dengan data pencapaian berbentuk kuantitatif.
Program pembasmian kemiskinan hendaklah memberi impak besar lagi berkesan ke tahap berjaya memperkasakan (empowerment) golongan fakir miskin hingga benar-benar dapat keluar dari kepompong kemiskinan secara berkekalan.
Realiti kesusahan rakyat tidak upaya diselimuti semata-mata dengan perangkaan-perangkaan positif jika elemen pengagihan tidak berlaku secara saksama, jika kekayaan berpusat kepada sekumpulan kecil dan kemewahan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.
Perlu disedari dan lebih perlu ditafsirkan secara bijak, kesan daripada kos sara hidup harian yang terus meningkat, memungkinkan lahirnya kumpulan miskin baru dalam bentuk dan dimensi baru, lantas mencetuskan fenomena baru yang membawa program memerangi kemiskinan menghadapi sempadan baru.
Oleh itu, aspek kualiti program hendaklah lebih dititikberatkan, demikian juga analisis yang lebih tepat dilakukan untuk menilai impak keberhasilan program yang dilaksanakan. Penyelesaian meyakinkan amat diperlukan untuk menangani isu pengangguran dan pengangguran tidak ketara, isu keperluan asasi dan keperluan sosial dalam bentuk perumahan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan pengangkutan awam, isu ketelusan sistem pengurusan dan sistem keadilan.
Untuk itu perancangan pembangunan ekonomi demikian juga perancangan pembangunan fizikal wajib diimbangkan dengan komponen perancangan pembangunan sosial; jika tidak program pembangunan akan menjadi tempang; akibatnya gejala dan masalah sosial kian meningkat, jenayah bertambah, kerukunan hidup terjejas, kestabilan politik sukar dicapai.
Dalam Persidangan-Persidangan Majlis kali ke-171, 172 dan 173 Beta berulang kali menyarankan agar dilakukan kajian komprehensif akan impak program zakat dari segi mengatasi dan menangani masalah kemiskinan dengan mengadakan program bersama Jabatan Agama Islam Perak menganjurkan bengkel perbincangan yang melibatkan penyertaan jawatankuasa masjid, wakil-wakil kariah dan generasi remaja untuk melakukan bedah siasat secara kritis, di samping meninjau cetusan idea baru dan program lebih inovatif.
Pengurusan Islam hendaklah berupaya memperlihatkan tahap pencapaian prestasi kecekapan yang tinggi hingga boleh dijadikan contoh teladan piawaian pengurusan yang dihormati. Ketika menzahirkan titah di Persidangan kali 164, Beta telah menyarankan pengenalan kaedah Indeks Prestasi Utama merangkumi perkara-perkara berikut:
Pertama: Pengurusan kewangan yang memenuhi sasaran bajet dari segi pungutan dan perbelanjaan berhemah dan pengendalian urusan zakat dan bantuan.
Kedua: Pengurusan undang-undang dari segi kecekapan menyelesaikan kes-kes yang memerlukan pertimbangan Mahkamah Syariah, terutama yang melibatkan kepentingan orang ramai dan kepentingan keluarga.
Ketiga: Program pembangunan modal insan dari sudut prestasi pencapaian dan kemajuan sekolah-sekolah agama terutama yang mendapat bantuan penuh Kerajaan Negeri.
Keempat: Pengurusan masjid dari segi pengurusan kewangan, keharmonian dan kegiatan sebagai tempat perkembangan ilmu dan perpaduan ummah diukur berdasarkan program keilmuan yang inovatif dan kreatif serta bebas daripada disalahgunakan oleh kegiatan-kegiatan politik berparti, khutbah yang menyimpang, juga aktiviti-aktiviti berunsur politik berparti yang boleh memecahbelahkan ummah
Kelima: Kadar pencapaian usaha-usaha Majlis dalam program-program membasmi kemiskinan dan keberkesanan pendekatan dinilai dari segi penggunaan tenaga serta kos berbanding hasil.
Titah tersebut telah Beta zahirkan pada 9 Disember 2008 dengan saranan bahawa Indeks Prestasi Utama tersebut hendaklah dijadikan kayu ukur pencapaian dan dibentangkan laporan berkala setiap tiga bulan sekali dalam Persidangan Majlis.
Dalam Persidangan ini, Beta mengulangi saranan agar fokus diberikan kepada lima perkara yang telah dikenal pasti itu. Pengurusan Majlis hendaklah menggabungkan usaha dengan pentadbiran Jabatan Agama Islam Perak untuk memperkenalkan mekanisme pengawasan serta pemantauan yang berkesan dan menyediakan laporan berkala, dijadikan kertas tetap Persidangan, dibentangkan dalam Persidangan-Persidangan Majlis yang akan datang.
Persidangan kali ke-164 turut memberikan perhatian kepada persoalan adat Melayu dan betapa penting bagi Majlis untuk turut memberi perhatian membincangkan perkara-perkara berkaitan adat Melayu. Beta telah menegaskan dalam persidangan kali ke-165 bahawa Melayu itu adalah bangsa beradab, bangsa bertamadun, sopan sikapnya santun tuturnya.
Adat Melayu menghormati institusi keluarga, institusi masyarakat, institusi Raja dan institusi agama. Bahasa Melayu itu adalah bahasa yang halus lagi indah; kaya perbendaharaan katanya; bahasa yang mencerminkan kecantikan budaya dan ketinggian tamadun; bahasa yang menjiwai bangsanya.
Bahawa tulisan jawi adalah sebahagian dari warisan sejarah Melayu. Tulisan jawi telah memartabatkan bahasa Melayu, menyuntik komponen tulisan kepada bahasa yang indah lagi kaya.
Melalui tulisan jawi, bahasa Melayu lebih luas tersebarnya dan berperanan amat penting untuk merakamkan secara bertulis kekayaan sejarah dan warisan bangsa; begitu juga peranan pentingnya membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.
Tulisan jawi adalah tulisan yang mendapat pengiktirafan tinggi - diguna pakai di istana Raja Melayu. Malah surat-surat dari luar negara yang diutus kepada Raja-Raja Melayu, begitu juga perjanjian-perjanjian yang dimeterai dengan Raja-Raja Melayu, ditulis dengan tulisan jawi. Sehingga hari ini, Raja-Raja Melayu meneruskan dan kekal memberi tempat yang mulia kepada warisan sejarah bangsa ini; watikah-watikah dan surat-surat utama Raja-Raja Melayu masih kekal menggunakan tulisan jawi.
Keupayaan membaca dan menulis jawi juga mempunyai kaitan penting dengan penghayatan terhadap agama Islam. Al-Quran, Hadis Nabi dan kitab-kitab utama agama Islam adalah dalam tulisan jawi. Ketidakupayaan umat Islam untuk menguasai tulisan jawi dibimbangi akan menjauhkan mereka daripada sumber dan naskhah asal khazanah ilmu hasil karya pujangga dan ilmuwan Islam.
Untuk itu, usaha memastikan tulisan jawi terus hidup dan tidak pupus adalah satu perjuangan bangsa. Ia adalah sebahagian dari khazanah bangsa yang wajib dikekalkan, diberikan keutamaan dan dipertahankan selagi Melayu tidak hilang di dunia.
Atas kesedaran tersebut pada 6 Januari lalu, Beta telah berangkat berkunjung ke Kompleks Sri Utusan. Utusan Melayu merupakan satu-satunya syarikat akhbar yang terus gigih mempertahankan warisan bangsa dengan kekal mencetak akhbar Utusan Melayu Mingguan meski pun menghadapi cabaran dan tanggungan kewangan yang berat.
Semangat para pejuang bahasa untuk terus mempertahankan warisan bangsa Melayu perlulah diberikan penghargaan dan diberikan sokongan oleh setiap anak Melayu yang berjiwa dan bersemangat Melayu; meski setinggi mana mencecah awan, akar bangsanya biarlah mencecah bumi di tanah air warisan bangsa; tahu menghargai khazanah bangsanya dan tidak merelakan warisan bangsanya dihina atau dicerca.
Utusan Melayu yang telah berusia 73 tahun itu adalah sebahagian dari perjuangan bangsa. Orang Melayu jangan terlalu cepat melatah, terbawa-bawa dengan agenda sulit lagi terselindung yang mahu menghapuskan warisan bangsa lalu bersedia diperalatkan untuk membunuh warisan bangsa sendiri.
Dalam keinsafan semangat tersebut, Beta telah memberikan sumbangan peribadi seratus ribu ringgit, menaja bekalan akhbar Utusan Melayu Mingguan ke sekolah-sekolah di negeri Perak. Pemilihan sekolah akan ditentukan oleh Ketua Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Pengarah Pelajaran Perak.
Beta menyarankan agar agensi-agensi Kerajaan begitu juga badan-badan korporat di negeri Perak untuk sama-sama tampil menyokong usaha gigih Utusan Melayu demi memastikan warisan bangsa yang berharga itu tidak akan terkubur.
Sebagai tanda serius untuk memastikan kelangsungan tulisan jawi, Beta menyarankan agar bahan bercetak seboleh-bolehnya bagi kesemua program di bawah anjuran Majlis dilakukan dalam kedua-dua tulisan rumi dan jawi.
Beta juga menyarankan agar acara pertandingan menulis jawi dan membaca jawi dianjurkan oleh Majlis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran, dibuka penyertaannya kepada pelajar-pelajar dari semua warga Malaysia di sekolah-sekolah bukan agama, sempena sambutan hari-hari bersejarah dalam negara dan hari-hari bersejarah dalam takwim Islam untuk menggalakkan anak-anak di negara kita tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, menguasai pembacaan dan penulisan jawi.
Jika sesuai program mempromosikan tulisan jawi boleh diadakan secara bersama dengan Syarikat Utusan Melayu.
Semoga Allah SAW menganugerahkan hidayat dan petunjuk kepada Beta dan ahli-ahli Majlis menemui jalan yang diredai dan memberikan kekuatan dan keberanian kepada kita bersama untuk melaksanakan tindakan demi memartabatkan ummah dan watan dan barang dijauhkan ummah terpinggir di bumi sendiri.
TAJUK-TAJUK B
No comments:
Post a Comment