Saturday, January 29, 2011

Beza Melayu Singapura

BEZA MELAYU DAN SINGAPURA

BEZANYA bumiputera atau masyarakat Melayu di Malaysia dengan Melayu Singapura adalah di Malaysia orang Melayu bebas tubuhkan parti politiknya sendiri tetapi di Singapura tidak boleh sama sekali.

Di Singapura, mereka yang berbangsa Melayu hanya memegang jawatan rendah dan tidak penting walaupun berkelulusan baik.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai jaga, tukang buka pintu hotel atau tukang kebun. Kalau ada pun yang bekerja baik sedikit dengan kerajaan hanya sebagai kerani atau guru sekolah sahaja.

Begitu juga dalam pasukan beruniform. Orang Melayu hanya diberikan pangkat rendah sahaja dan tidak diberikan peranan penting dalam tentera atau polis.

Terlalu sedikit orang Melayu Singapura berjawatan tinggi baik dalam sektor kerajaan atau swasta. Pernah saya terdengar keluhan orang Melayu Singapura bahawa mereka ini seolah-olah tinggal di dalam sangkar emas. Tidak perlu ditafsirkan maksudnya. Benar kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kita belajar daripada kesilapan lalu. Bangsa Melayu jangan sampai hilang segala-galanya baru hendak sedar.

Kedudukan Melayu di Singapura perlu dijadikan iktibar. Jika Melayu Malaysia tidak bersatu dan selalu bercakar sesama sendiri dikhuatiri kita akan kehilangan kuasa. Apabila hilang segala-galanya jangan salahkan orang lain kecuali diri sendiri. Waktu itu menangis air mata darah sekalipun tidak dapat kembalikan kuasa.

Sejarah mengajar kita kejatuhan empayar Melaka pada 1511 ke tangan Portugis disebabkan perpecahan dan sikap berpuak-puak orang Melayu pada masa itu.

Sejak Melaka jatuh, negeri-negeri lain di Tanah Melayu ini menyusul tunduk kepada penjajah dan diperlakukan seperti bola. Mereka tukarkan pemilikan negeri sesuka hati di antara Portugis, Belanda, Inggeris dan Sepanyol.

Pada masa itu, orang Melayu tertindas dan tidak dipedulikan. Malah ada yang dijadikan seperti hamba. Kita dijajah hampir 500 tahun dan pada 31 Ogos ini genaplah 500 tahun ulang tahun Melaka jatuh ke tangan penjajah pada 1511.

Kini, kita sudah merdeka dan dapat balik hak-hak kita yang selama ini diambil. Diharap orang Melayu sedar bahawa jika terjajah sekali lagi kemungkinan segala kuasa kita dilenyapkan dan untuk kembali atau bangun semula dimasa itu sudah mustahil.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan, Seremban

No comments:

Post a Comment