Apabila Pas kekeringan isu
Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my
Isu pemberian ancak yang dibangkitkan Pas Perak bagaikan tiada kesudahan. Setiap hari ada sahaja cerita baru yang dijaja bagi menyegarkan kembali isu tersebut yang bermula daripada satu majlis yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir empat bulan lalu di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar.
Walaupun isu itu telah dibangkit pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang alu dan dijawab dengan jelas oleh Zambry, namun ia masih belum berjaya memuaskan hati ahli parti itu khususnya Dewan Pemuda untuk terus menggasak Zambry dengan isu tersebut.
Minggu lalu, Dewan Pemuda Pas Perak menyerahkan memorandum kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendesak supaya diwartakan fatwa mengenai perbuatan Menteri Besar menghadiri majlis yang didakwa berlaku pemberian ancak itu.
Tidak cukup kepada Harussani, memorandum enam muka surat berkenaan turut dihantar kepada pelbagai lagi pihak lain termasuk orang perseorangan.
Selain dua muka surat halaman utama, memorandum berkenaan turut menyelitkan keratan akhbar Harussani yang memberi komen secara umum tentang perbuatan memberi ancak dan empat keping gambar yang dirakam pada majlis tersebut.
Tindakan hanya menyelitkan keratan akhbar jawapan Harussani mengenai ancak secara umum dan empat keping gambar itu amat mudah untuk difahami maksudnya iaitu bagi memastikan mereka yang melihat membuat kesimpulan awal bahawa berlaku perbuatan pemberian ancak tersebut.
Tindakan itu adalah taktik biasa yang dilakukan Pas dan pakatan pembangkang memanipulasikan fakta bagi mewujudkan persepsi awal tentang sesuatu perkara atau peristiwa.
Mereka yang tidak mengetahui kisah sebenar sudah pasti akan termakan dengan hasutan dan dakyah yang dilemparkan itu.
Bagaimanapun, sebelum melihat kepada kebenaran sama ada berlaku pemberian ancak pada majlis perasmian pembinaan rumah penduduk miskin di bawah program Infra Bina Upaya (IBU) yang dihadiri oleh Zambry itu, definisi pemberian ancak perlu difahami terlebih dahulu.
Berdasarkan Kamus Dewan, perkataan 'ancak' ditakrifkan sebagai talam daripada anyaman tempat menyajikan barang-barang untuk hantu manakala menurut Wikipedia, perkataan 'acak' atau 'ancak' merujuk sebarang jenis persembahan kepada makhluk halus dalam kebudayaan Melayu.
Persembahan itu biasanya merupakan makanan yang terdiri daripada hidangan mengandungi bertih, pulut kuning, ayam panggang, telur dan anak patung tradisional.
Aktiviti 'acak' atau 'ancak' kebiasaannya akan dilaksanakan oleh pawang sama ada untuk tujuan perubatan, membuang saka atau perkara-perkara yang mempunyai kaitan dengan makhluk halus. Kesemua bahan tersebut akan dihanyutkan ke sungai setelah jampi serapah serta mentera dibaca
Ketua Kampung Guar, Manong, Mohd. Said Bakri ketika diminta mengimbas kembali majlis yang dianjurkan oleh pihaknya itu menjelaskan majlis tersebut hanya satu majlis perasmian pembinaan rumah orang miskin.
''Tidak lebih daripada itu. Majlis berlangsung ringkas. Apa yang dipaparkan dalam gambar pada memorandum itu adalah simbolik atau gimik sempena majlis perasmian itu.
''Selaku ketua kampung yang bertanggungjawab terhadap perjalanan majlis itu bermula dari perancangan sehingga pelaksanaannya, saya ingin menegaskan tidak ada perbuatan memberi atau memasang ancak seperti digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.
''Jika ada... sudah tentu ada pemujaan, jampi serapah, sembelih ayam, ambil darah ayam dan sebagainya. Semua ini tidak berlaku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Imam 1 Masjid Al-Mukhlisin Kampung Guar, Sulaiman Husin yang mengetuai bacaan doa pada majlis itu.
Menurutnya, tidak ada jampi serapah atau mentera diselitkan dalam doa berkenaan. Malah tegas beliau lagi, tidak ada juga 'persembahan' lain seperti ayam disediakan pada majlis tersebut.
"Saya hanya baca doa selamat dalam bahasa Arab dan Melayu memohon kesejahteraan Allah berhubung pelaksanaan rumah berkenaan. Tidak ada yang melanggar hukum syarak," katanya yang jelas bersedih dengan isu tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Said menambah, apa yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung perkara itu jelas menyimpang jauh daripada matlamat asal penganjuran majlis tersebut.
"Pada saya, mereka mengada-adakan cerita yang tidak ada dan tindakan mereka bukan sahaja menjatuhkan maruah Menteri Besar tetapi seluruh penduduk kampung ini yang digambarkan oleh mereka sebagai mengamal khurafat," katanya lagi.
Menurutnya, tindakan pihak berkenaan jelas berniat jahat kerana menuduh secara melulu dan mengadakan cerita yang tidak benar.
Mohd. Said yang jelas marah dan kesal turut mempersoalkan keikhlasan pihak berkenaan membangkitkan dan cuba menjuarai isu berkenaan.
''Jika pihak terbabit ikhlas memerangi kemungkaran, mereka pasti sudah berjumpa saya selaku Ketua Kampung dan penduduk kampung menjelaskan keadaan sebenar.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini tidak ada siapa pun daripada pihak mereka datang mendapatkan cerita sebenar, apatah lagi mahu menasihati kami jika apa yang kami lakukan itu salah.
''Apa yang kami lihat, mereka hanya berdemonstrasi, menghantar memorandum dan terus berceramah dengan menipu rakyat mengaitkan majlis itu sebagai pemberian ancak," katanya.
Penjelasan Ketua Kampung dan Imam Kampung Guar Manong itu sudah cukup untuk masyarakat membuat penilaian tentang kisah sebenar di sebalik isu ancak yang sengaja dibangkitkan oleh Pas.
Selain itu, penjelasan itu juga memberikan kita gambaran sebenar tentang siapa sebenarnya yang cuba untuk mengelirukan umat Islam.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment