Wednesday, January 19, 2011

Saman A

Saman RM700 juta Ummi Hafilda terhadap Anwar difail sebulan lagi

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Saman berjumlah RM700 juta oleh Ummi Hafilda Ali terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pihak lain akan difailkan di mahkamah selewat-lewatnya sebulan lagi.

Penasihat undang-undang yang mewakili Ummi Hafilda, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pihaknya masih meneliti beberapa perkara sebelum kesemua saman tersebut difailkan di mahkamah.

"Kita sedang mengkaji beberapa aspek lagi termasuk beberapa implikasi undang-undang. Tidak boleh terus saman begitu saja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ummi Hafilda yang juga adik kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebelum ini menyatakan akan memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin, peguam Karpal Singh serta parti Pas.

Menurut Ummi Hafilda, saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu.

Diminta mengulas kenyataan Karpal terhadap rancangan Ummi Hafilda untuk menyamannya, Khairul Azam berkata, peguam itu harus bersedia menghadapi kemungkinan dibicarakan kerana mahkamah tidak boleh terus menolak sebarang Pernyataan Tuntutan hanya atas sebab isu batasan masa.

Menurutnya, isu batasan masa dan isu menentukan bilakah bermulanya klausa tindakan seorang plaintif terhadap defendan adalah isu panjang yang boleh dihujahkan di mahkamah.

Karpal sebelum ini mendakwa Ummi Hafilda tidak boleh menyamannya berhubung kes liwat pertama Anwar kerana mendakwa ia telah berlalu lebih enam tahun lalu dan mahkamah tidak akan mendengarnya lagi.

Ummi Hafilda bercadang menyaman Karpal berjumlah RM200 juta kerana melanggar kepercayaannya selaku anak guam selepas beliau dan bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar bertemu Karpal pada tahun yang sama untuk mendedahkan perilaku buruk Anwar.

Khairul Azam berkata, pihaknya mengetahui tentang isu batasan masa itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengenai saman Ummi Hafilda itu.

"Ia adalah atas sebab-sebab teknikal dan ini tidak bermaksud mahkamah boleh menolak kes tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment