PKR sudah jadi parti koyak rabak
MENGIKUTI perkembangan terbaru yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin selepas ini parti itu lebih layak digelar Parti Koyak Rabak. Hati barisan pemimpin yang ikhlas berjuang untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang ditubuhkan pada 1999 itu bukan sahaja telah carik, malah semakin koyak rabak angkara sikap penasihat parti itu sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ekoran itu, semakin banyak pemimpin PKR keluar parti selepas mendapati niat ikhlas mereka berjuang untuk memperkasakan PKR adalah sia-sia. Mereka kini sudah melihat bahawa perjuangan asal parti telah lari daripada matlamat asal sekali gus memaksa mereka angkat kaki. Mereka sedar bahawa selama ini, mereka hanya menjadi perkakas politik kepada Anwar yang beria-ria mahu menawan Putrajaya.
Mereka juga sedar bahawa PKR kini bergerak semata-mata untuk memperjuangkan nasib Anwar, bukannya nasib rakyat seperti yang dilagukan.
Tidak ada hebatnya kedudukan parti yang menyaksikan barisan pemimpinnya keluar meninggalkan perjuangan, seorang demi seorang. Kita tentu masih ingat Timbalan Presiden Chandra Muzaffar, Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Zainur Zakaria dan Datuk S. Nallakarupan, Naib Presiden Marina Yusuf dan Setiausaha Agung Anuar Tahir telah lama meninggalkan parti tersebut. Kenapa mereka keluar? Tidak setiakah mereka terhadap parti atau ada sesuatu yang memaksa mereka berbuat demikian.
Semalam seperti yang dilaporkan media tempatan, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dengan gaya kepimpinan Anwar yang terlalu memanjakan anak emasnya, Azmin Ali sehinggakan semua nasihat daripada barisan pemimpin parti itu tidak dipedulikan kerana sayangnya Anwar terhadap Azmin. Mungkin kenyataan Gobalakrishnan itu menjawab segala persoalan di atas.
Kita tertanya-tanya juga, apa agaknya ilmu yang ada pada Azmin sehinggakan Anwar sanggup kehilangan sebilangan besar pemimpin parti, semata-mata mempertahankan anak emasnya itu. Adakah ilmu penunduk, ilmu pengasih atau apa saja ilmu yang membuatkan Anwar lebih rela melihat kerosakan berlaku pada PKR daripada melihat kerosakan menimpa Azmin.
Dalam hal ini, hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui, selain yang empunya diri - Anwar dan Azmin tentang apa sebenarnya yang melanda parti tersebut. Jika dihitung satu persatu wajah-wajah pemimpin yang meninggalkan PKR seperti yang disiarkan akhbar ini semalam, jumlah mereka yang tekad meninggalkan parti itu adalah 36 orang, tidak termasuk Gobalakrishnan. Beliau menjadi pemimpin yang ke-37 keluar parti.
Kita percaya, selepas ini akan banyak lagi yang akan mengikut jejak mereka. Ini kerana mereka semakin sedar bahawa Penasihat PKR itu bersama Timbalan Presiden PKR berjuang bukan untuk kepentingan rakyat, tetapi untuk kepentingan sendiri. Disebabkan itulah, maka di antara empat kerajaan negeri yang dipimpin oleh pakatan pembangkang di negara ini, negeri Selangor yang dipegang oleh PKR menjadi negeri yang paling kucar kacir. Lebih menyayat hati apabila menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri panas punggung kerana kerusinya kini diintai oleh Azmin yang mendapat sokongan kuat Anwar.
Jika dalam sebuah pentadbiran negeri, sudah menampakkan kekalutan dalam pemerintahan, maka kita sudah dapat bayangkan betapa huru hara dan kacau bilau negara jika diperintah oleh pakatan pembangkang. Soalnya, PKR wujud untuk siapa dan apa perjuangannya? Memang rakyat wajar bertanya kerana mereka sendiri keliru adakah mereka telah tersalah memberi tanggungjawab kepada PKR dalam pilihan raya umum yang lalu.
Masih belum terlambat untuk rakyat membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Singkirkan terus parti koyak rabak ini daripada sanubari dan buatlah pilihan bijak demi masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih menyakinkan di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.
No comments:
Post a Comment