Monday, July 18, 2011

siswa

500 mahasiswa sertai perhimpunan haram

JOHOR BAHRU 17 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi mengenal pasti lebih 500 mahasiswa terlibat dalam perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, senarai nama mereka yang terlibat sudah pun dihantar ke universiti-universiti berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Pihak universiti akan melakukan semakan pendaftaran sebelum mengambil tindakan sewajarnya terhadap mahasiswa terlibat dan mereka harus bertanggungjawab.

“Mereka ditahan pihak polis sebelum sempat menyertai perhimpunan haram itu di lokasi tertentu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Silaturrahim dan Nadi Kasih di Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.

Beliau mengulas penglibatan mahasiswa dalam perhimpunan haram tersebut walaupun telah diberikan peringatan.

Mohamed Khaled berkata, hanya sekumpulan kecil mahasiswa menyertai perhimpunan haram itu kerana mereka keliru dengan tuntutan Bersih selain diperalatkan pihak tertentu.

Mengenai perhimpunan Bersih yang turut disertai mahasiswa tempatan yang menuntut di universiti-universiti luar negara, beliau menjelaskan, ia dilakukan oleh kebanyakan pelajar yang bukan ditaja oleh kerajaan.

Katanya, perhimpunan di Mesir, Taiwan, Britain dan Australia dilakukan dalam jumlah tidak sampai 200 orang dan mereka tidak faham situasi sebenar di negara ini.

“Mereka ini lebih kepada mahu berseronok kerana dapat berkumpul dan untuk mengambil gambar sahaja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang.

No comments:

Post a Comment