Pertahan kesucian agama Islam
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor
ISU mempersendakan agama Islam kembali berkumandang. Terkini Datuk Mohamad Satim Diman diarahkan keluar daripada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor setelah mempertikaikan tindakan ADUN bukan Islam yang dikatakan cuba mempersendakan Islam dengan membaca hadis sebagai hujah untuk menyokong perbahasannya.
Ini bukan kali pertama perkara sebegini berlaku di negara kita. Pentas politik terus menjadi medan untuk mempersendakan agama Islam. Sebelum ini timbul isu tafsiran ayat Al-Quran. Kita juga masih ingat dengan kes-kes terdahulu yang turut menyentuh sensitiviti umat Islam seperti isu laungan azan, mencemar masjid serta mempertikai agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Hakikatnya hal berkaitan agama adalah sangat sensitif. Ia boleh mencetuskan pelbagai perbalahan dan perselisihan jika tidak ditangani dengan segera secara berhemah. Walaupun politik adalah sebahagian daripada cabang dalam agama namun jika secara terang-terangan agama disalah guna atau dipersenda semata-mata untuk kepentingan peribadi dan politik adalah wajar agama dan politik dipisahkan.
Usahlah mencemari agama hanya kerana kepentingan peribadi apatah lagi ia melibatkan agama orang lain. Asas pembinaan negara kita adalah atas dasar saling hormat menghormati di antara rakyat kita yang berlainan agama dan bangsa. Justeru hormati dan pertahankanlah asas itu.
Kenapa perlu sentuh hal agama lain? Banyak lagi isu yang boleh dijadikan modal untuk berpolitik. Biarlah agama itu kekal suci dan bersih tanpa dipalit dengan tangan-tangan kotor yang jelas hanya mahu mengambil kesempatan.
Tindakan menggunakan agama terutamanya agama Islam oleh orang bukan Islam hanya kerana kepentingan politik serta untuk meraih sokongan orang Islam adalah tidak wajar sama sekali.
Fikirkanlah perasaan dan sensitiviti umat Islam sejenak. Kita khuatir jika perbuatan seperti ini terus berleluasa ia akan membangkitkan rasa kemarahan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan umat Islam yang akhirnya boleh menjejaskan tahap perpaduan dan keharmonian kaum di negara kita.
Cukuplah dengan masalah politik yang sedia ada. Cukuplah dengan segala modal yang selama ini digunapakai untuk meraih simpati mahupun keuntungan politik. Umat Islam di negara ini sudahpun terbahagi kepada beberapa kelompok mengikut pegangan ideologi politik masing-masing, justeru apa lagi yang boleh dijadikan sebagai alat penyatuan kalau bukan agama?
Maka kesucian agama Islam perlu dipertahankan. Keluarkanlah agama dari menu modal politik supaya ia kekal bebas dan bersih. Biar agama kekal sebagai alat penyatuan dan perpaduan dan bukannya platform untuk memecah-belahkan kita. Hentikan perbuatan mencemari agama Islam di pentas politik.
Justeru kita memohon dan menyeru kepada semua rakyat Malaysia terutamanya kepada orang politik agar saling hormat menghormati pegangan dan agama orang lain. Itulah asas kejayaan kita selama ini. Usah kita memperjudikannya hanya kerana kepentingan politik dan peribadi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment