Saturday, July 23, 2011

kebenaran pada polis

Kebenaran PDRM tolak tohmahan Bersih terserlah jua akhirnya

Oleh Suffian Abu Bakar

HARI ini, genap dua minggu pertubuhan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan demonstrasi di ibu negara dengan alasan menuntut kerajaan Barisan Nasional bersikap lebih telus dalam pilihan raya.

Tidak perlulah diulangi betapa degilnya kumpulan tidak berdaftar ini yang terus ingin mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu walaupun sudah berulang kali diberi amaran oleh pihak polis sebelum tibanya tarikh 9 Julai itu.

Dalam Facebook dan laman-laman web serta blog-blog propembangkang, Bersih 2.0 tetap berdegil mengajak penduduk Malaysia untuk sama-sama berhimpun dan memakai baju kuning sambil menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan.

Pihak berkuasa pula sudah mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan ini.

Namun, Bersih 2.0 tetap berlangsung, meskipun sasaran asal mereka menarik 300,000 penyokong gagal – hanya kira-kira 10,000 yang dimanipulasi, itu pun setelah disogok barang kali.

Selepas perhimpunan haram itu berakhir (dengan penangkapan lebih 1,000 orang penunjuk perasaan), sepanjang dua minggu ini, penyokong Bersih 2.0 seperti sudah bersiap sedia dengan skrip menuduh pihak polis bertindak kejam terhadap peserta perhimpunan itu.

Akhirnya pada Khamis lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selama ini tidak mahu mengikut rentak penyokong Bersih mengajak bercakaran dalam media, terpaksa menunjukkan bukti rakaman yang dibuat pada perhimpunan itu, sekali gus menutup mulut pengkritik-pengkritik mereka selama ini bahawa kononnya polis bertindak kejam dan zalim.

Tayangan rakaman video selama 1 jam 30 minit itu membuktikan polis tidak bertindak memulakan provokasi terhadap penunjuk perasaan yang menyertai Bersih 2.0, sebaliknya tercetusnya kekecohan itu adalah berpunca daripada provokasi peserta perhimpunan itu sendiri (yang dirancang) untuk mencemarkan imej PDRM.

Sebaliknya, portal-portal pembangkang yang sebelum ini menyiarkan tayangan video palsu serta diubah suai seolah-olah PDRM dilihat kejam menangani demonstrasi ini.

Banyak bukti yang ditunjukkan oleh polis, antaranya tohmahan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa motosikalnya dilanggar oleh kenderaan polis, langkah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang mengajak penunjuk perasaan berlari ke arah polis selain kejadian tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin.

Apabila PDRM menayang rakaman video ini, maka ia jelas sekali menangkis siaran video palsu mereka yang selama ini dibuat hanya dengan satu tujuan, iaitu menunjukkan bahawa polis kejam.

Apa agenda mereka menyiarkan rakaman yang diubah suai ini? Semuanya dirancang bagi memastikan masyarakat tidak lagi percaya kepada kewibawaan pasukan keselamatan itu. Polis akan dituduh kejam sehingga imej mereka dipandang rendah dan itulah yang sebenarnya mereka mahu.

Sebuah portal propembangkang yang selama ini begitu kuat menyokong perhimpunan Bersih 2.0, menyiarkan tajuk laporan tayangan video oleh PDRM ini seperti berikut: “9 Julai: Video ‘layanan baik’ polis ditayangkan” – dengan mempunyai makna tersirat.

Namun, walau apa pun tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap PDRM, kebenaran akhirnya akan muncul jua. Helah mereka selama ini untuk mencari kesalahan polis, akhirnya terbongkar.

Malah, sejak beberapa hari sebelum polis menayangkan video, kepalsuan pihak tidak bertanggungjawab ini sudah terserlah.

Mereka memanipulasikan kematian seorang pemandu teksi, Allahyarham Baharudin Ahmad dalam laman blog kononnya akibat ditembak gas pemedih mata oleh polis. Sanggup juga mereka ‘mengupah’ seorang pelakon, Shuhardi Md. Isa untuk menjadi Allahyarham, walhal lelaki ini adalah antara pencetus provokasi yang dikenal pasti antara yang merancang untuk mengajak polis menahan mereka.

Agak-agaknya apa lagi hujah kumpulan tidak berdaftar itu selepas ini. Selepas gagal menarik jumlah peserta seperti yang diharapkan, mereka merancang mahu menganjurkan lagi perhimpunan Bersih, dan menjadikan setiap hari Sabtu untuk memakai baju kuning.

Kita harap PDRM tidak terikut-ikut dengan rentak kumpulan ini yang sebenarnya cuba menangguk di air keruh dan menguji kesabaran pasukan itu. Jangan terpedaya dengan helah mereka kerana kita tahu polis lebih arif untuk mengenal taktik dan helah yang cuba dilakukan pihak tidak bertamadun ini.

Di sebalik segala tuduhan yang dilemparkan, pasukan polis dilihat masih mengekalkan semangat perikemanusiaan apabila memberi layanan yang baik terhadap semua tahanan pada 9 Julai lalu.

Cuba kita bayangkan di negara Barat, pasukan penguat kuasa tidak akan memberi peluang kepada mana-mana perusuh yang cuba menimbulkan kekacauan kerana itulah tugas polis, mengawal keamanan tetapi dalam konteks Bersih 2.0, masih ada pihak yang tidak bersyukur dengan kebaikan PDRM.

Kepada rakyat Malaysia, sedarlah bahawa PDRM sebenarnya bukan seperti yang digambarkan oleh laman portal propembangkang dan blog-blog antikerajaan. Mereka masih ada maruah.

Bagi penunjuk perasaan baru-baru ini atau pada masa akan datang, ini mungkin amaran yang boleh diberikan kepada mereka, jangan sampai polis bertindak seperti pasukan penguat kuasa di negara luar yang kita sedia maklum lebih ganas.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment