Bukannya Ambiga dan kumpulan haram Bersih tidak tahu...
Azman Anuar
POLIS memperoleh perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kelmarin untuk melarang seramai 91 individu daripada hadir di beberapa kawasan di ibu negara hari ini (Sabtu, 9 Julai 2011)
Tidak pernah dilakukan oleh polis menyenaraikan nama Datuk S. Ambiga, Datuk Ibrahim Ali dan Khairy Jamaluddin bersama pemimpin-pemimpin lain daripada tiga kumpulan ini – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Perkasa dan Pemuda UMNO yang merancang untuk mengadakan perhimpunan masing-masing biarpun dilarang keras oleh pihak berkuasa.
Perintah itu sudah tentu bertujuan menghalang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa, keselamatan manusia seperti rusuhan atau pergaduhan.
Baru hari Isnin lalu Pemuda UMNO dan Perkasa sedia membatalkan perhimpunan dengan bersyarat, dan Ambiga sudah setuju membatalkan perhimpunan di jalan raya dan beralih di dalam stadium. Alih-alih Pengerusi Bersih itu menunjukkan sikap kepala batunya tetap mahu mengadakan perhimpunan haram di Stadium Merdeka pada hari ini.
Bukan dia tidak tahu membaca keputusan Kabinet dan amaran Ketua Polis Negara yang melarang diadakan perhimpunan di dalam Stadium Merdeka atau Stadium Negara kerana faktor keselamatan dan keselesaan pengguna lain di ibu negara. Apatah lagi Bersih bukan pertubuhan yang berdaftar.
Kenapa Ambiga dan kumpulan yang bergabung dalam Bersih itu masih mahu turun ke Stadium Merdeka?
Sekali lagi, bukannya Ambiga dan kumpulan haramnya tidak tahu semua tuntutan Bersih itu sudah diperjelaskan. Mereka sudah bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan diberi penerangan jelas.
Bukti depan mata bahawa SPR menjalankan tugas dengan baik apabila parti pembangkang menawan lima negeri pada Pilihan Raya Umum 2008. Jadi, isu yang dituntut Bersih boleh dikatakan isu lama yang tidak benar dan telah diperjelas dalam media massa beberapa kali.
Tetapi Ambiga dan Bersih tetap berdegil mahu mengadakan perhimpunan haram.
Strategi Bersih adalah untuk pergi beramai-ramai ke Stadium Merdeka yang menjadi simbol perisytiharan kemerdekaan negara. Mereka mahu membuka sejarah baru pemerintah negara ini. Bersih mahu mengulangi perhimpunan pada 10 November 2007 yang hasilnya dituai pada Pilihan Raya Umum Mac 2008. Tetapi bukan mudah untuk diulangi pada PRU Ke-13 kerana kini kerajaan dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jadi caranya adalah jika Bersih berjaya ke Stadium Merdeka mengadakan perhimpunan haram, mungkin mereka ada cara untuk menarik simpati rakyat yang mungkin dapat kita jangkakan berdasarkan rampasan senjata dan bahan letupan berbahaya yang ditemui polis.
Barangkali juga yang kita tidak tahu adalah kenapa Ambiga pernah berkata Bersih bersetuju mengadakan perhimpunan di stadium tetapi tarikhnya belum ditetapkan. Namun kelmarin Bersih menetapkan lokasi perhimpunannya di Stadium Merdeka. Kenapa 9 Julai juga dipilih?
Mungkin ada kebenaran apa yang didedahkan oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar bahawa Bersih menerima dana daripada pertubuhan bukan kerajaan luar negara.
Chandra mendakwa, oleh kerana sudah terlalu banyak menerima dana daripada pihak asing, Bersih terpaksa tunduk kepada kehendak dan percaturan NGO berkenaan yang mahu perhimpunan tersebut menjadi kenyataan.
Sekarang nampaknya Bersih seolah-olah sudah menerima dana tersebut sebab itu pertubuhan haram itu terdesak mahu mengadakan perhimpunan hari ini.
Mereka persetankan teguran daripada pertubuhan yang mewakili pelbagai peringkat masyarakat, tidak ambil peduli keputusan Kabinet dan bagaikan telinga tekak tidak mendengar amaran pihak berkuasa.
Sama ada perhimpunan haram ini akan berlaku atau tidak, sejak semalam ia telah menimbulkan kebimbangan di hati rakyat. Lalu lintas di ibu negara sesak teruk beberapa hari lalu. Orang ramai yang ada urusan pada hari ini lebih terasa apabila pihak polis mengadakan sekatan di kebanyakan jalan di ibu negara.
Bukannya Ambiga dan Bersih tidak tahu mereka telah menghuru-harakan perancangan masyarakat pada hari ini.
Kalau pun perhimpunan haram itu berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa tetapi di sebaliknya Ambiga telah mampu memburukkan nama kerajaan, menghuru-harakan keamanan negara dan perpaduan kaum. Sebagai peguam, tentu dia pun tahu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment