Perang istilah dan salah guna gelaran ‘wira’
MENIPU dan memfitnah adalah perkara biasa dalam propaganda. Kebiasaan fitnah itu adalah dengan tujuan menterbalikkan persepsi masyarakat mengenai sesuatu perkara, termasuklah cubaan menggambarkan pengurusan negara sudah sampai ke tahap yang memerlukan perubahan.
Biasanya perubahan yang dirancang menerusi pembentukan persepsi adalah menolak bentuk dan sistem sedia ada. Para pengagumnya akan memberikan gambaran buruk dan tidak berpijak kepada realiti serta rasionaliti sesuatu sistem. Apa yang diutamakan adalah sasarannya, termasuk memaksa pemimpin terbabit berundur dan menyerahkan kedudukan itu kepada penganjurnya.
Pengaruh revolusi Asia Barat dan Afrika Utara jelas cuba dijelmakan dalam perarakan menuntut perubahan pengurusan pilihan raya yang diadakan pada 9 Julai 2011, yang dikenali sebagai Bersih 2.0. Bagi menggambarkan kekuatan dan gagahnya perhimpunan tersebut, media dan pemimpin memberikan imej bahawa perarakan itu disertai oleh ratusan ribu daripada pelbagai keturunan dan peringkat umur.
Perjuangan yang dilancarkan bukan atas kepentingan politik, dan dari situlah bermulanya episod buruk dalam sejarah kewartawanan di Malaysia.
Media pro-Bersih 2.0 melebarkan persepsi dengan mengenakan nilai dan hukuman sendiri kepada pihak yang mententeramkan suasana, khususnya mengawal pergerakan tersebut. Dalam beberapa insiden, kerana melanggar arahan polis dan perintah mahkamah agar mereka berkenaan dilarang memasuki Kuala Lumpur, gas pemedih mata dan semburan air terpaksa digunakan.
Media pro-Bersih terus menterbalikkan persepsi umum dan hampir menyamai yang dilaksanakan oleh pihak Israel dalam usahanya mengubah sikap masyarakat antarabangsa terhadap serangan komandonya sehingga menyebabkan lapan sukarelawan Turki terbunuh pada awal pagi 31 Mei 2010.
Tuduhan Israel, pasukan komandonya mempertahankan diri kerana diserang oleh sukarelawan. Begitu juga dengan alasan perusuh jalanan Bersih 2.0, mereka tidak bertindak ganas tetapi pihak polis yang melakukannya.
Menuduh gerakan menghalang dan menangkap perusuh sebagai perbuatan zalim serta kejam. Pelabelan itu sama dengan yang dilakukan oleh sebuah portal pro-Bersih bahawa kesalahan melanggar dan tidak mematuhi undang-undang sebagai “wira”. Istilah-istilah yang mempunyai nilai patriotik dan pengorbanan mempertahankan negara disalahertikan tanpa mengambil kira nilai budaya terkandung dalamnya.
Sebenarnya, pihak yang melanggar peraturan ialah mereka yang biadab dan tidak boleh diberikan gelaran “wira”, mereka adalah pengkhianat. Mereka telah mengkhianati bumi bertuah ini.
Perang istilah dan salah guna gelaran menjadi suatu budaya baru. Ia turut menggambarkan bahawa undang-undang hanyalah sebuah dokumen yang perlu ada sebagai hiasan dan bukannya bertujuan mengawal tata kelakuan seseorang. Seorang pemimpin Islam turut memberikan komen, bahawa penahanan perusuh adalah tidak sah dan tidak islamik.
Sekali lagi pemimpin agama itu tersasar kerana dalam Islam tidak ada sanjungan patut diberikan kepada perusuh. Perusuh tetap dianggap musuh, kerana perusuh sentiasa mencari cara untuk memecahkan ketenteraman dan mencelarukan pemikiran orang lain.
Kalaulah perusuh boleh dipanggil “wira” maka dengan sendirinya jelas masyarakat sudah hilang ukuran moral dan tata kehidupan yang beradab.
Tulisan-tulisan menerusi media pro-Bersih membuktikan mereka akan terus mengasak fikiran masyarakat agar percaya walaupun fakta yang dipaparkan adalah bohong dan fitnah.
Fitnah dari segi sejarah telah menyebabkan banyak kemusnahan. Dalam sejarah Melayu, watak Mandaliar disahkan sebagai punca menyebabkan orang Melayu berpecah. Dalam politik Malaysia, kehadiran beberapa parti telah memecahkan perpaduan orang Melayu-Islam setelah parti itu terus mendakwa merekalah yang paling Islamik manakala yang lain adalah kafir.
Bahaya fitnah dan bercakap bohong dalam Islam amat banyak diceritakan. Nabi Muhammad SAW sepanjang dakwahnya sentiasa mengingati pengikutnya agar berwaspada dan menjauhi sebarang fitnah, sama ada mencipta ataupun menyebarkannya.
Antara bohong dan fitnah adalah dua beradik kembar yang tidak boleh dipisahkan. Fitnah bermula dengan fakta bohong. Fakta bohong itu kemudiannya disebarkan kepada seseorang dan berkembang cepat bagaikan virus menjangkiti orang lain.
Daripada fakta bohong, disebarkan sebagai fitnah akan menimbulkan konflik dan krisis keyakinan. Bila konflik dan krisis keyakinan menjadi lebih besar, ia akan meruntuhkan sistem dan seterusnya boleh mengakibatkan pertumpahan darah.
Al-Quran memperihalkan mengenai fitnah sebanyak 34 kali dalam pelbagai situasi. Al-Quran menjelaskan bahawa fitnah itu adalah lebih kejam dan bahaya daripada membunuh .‘‘Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”. (Surah al-Baqarah ayat 191).
Oleh kerana manusia sentiasa mengamalkan sikap adu-domba, fitnah menjadi satu kaedah berkesan memburuk-burukkan lawannya. Dengan menonjolkan kelemahan seseorang secara berterusan, akan menampakkan persepsi buruk kepada orang itu sedangkan kelemahan tersebut asalnya tidaklah boleh menjejaskan peribadinya secara total.
Media hanya sebagai alat dan selagi alat itu boleh dipercayai maka, selagi itulah merasakan dirinya kuat dan berpengaruh. Seharusnya media pro-Bersih sedar bahawa Rupert Murdock terpaksa menamatkan riwayat sebuah akhbar miliknya yang berpengaruh kerana takutkan tindakan undang-undang setelah wartawan akhbar itu melakukan kesalahan memintas perbualan telefon bagi mendapatkan maklumat untuk dijadikan berita sensasi.
Penutupan itu patut menjadi pengajaran kepada media pro-Bersih kerana mereka sebenarnya sedang diadili oleh rakyat secara mutlak. Survivalnya di tangan rakyat kebanyakan, dan tentunya lebih ramai rakyat yang bencikan fitnah dan pembohongan berbanding penulis-penulis yang mengatasnamakan kebebasan akhbar meskipun faktanya bohong, fitnah dan berasaskan persepsi.
DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia (Yadim)
No comments:
Post a Comment