Saturday, July 23, 2011

gagal saman felda 20 juta

Mahkamah tolak saman RM20 juta

KUALA LUMPUR 22 Julai - Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini menolak saman RM20 juta oleh Pengerusi Biro Tanah dan Pembangunan Wilayah Pas Pusat, Mazlan Aliman terhadap Pengurus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Lembah Klau, Awang Sulong bersama tiga yang lain.

Mazlan mengemukakan saman tersebut atas dakwaan Awang dan Felda terbabit dalam konspirasi dengan pihak polis untuk menangkap sebelum menahannya secara salah ketika memberi ceramah di Felda Lembah Klau, Raub, Pahang, tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan menolak dengan kos saman tersebut setelah Mazlan gagal membuktikan unsur-unsur konspirasi seperti yang didakwa dalam pernyataan tuntutannya.

Dalam saman yang difailkan pada 16 Ogos tahun lalu, Mazlan, 45, selaku plaintif mendakwa dia telah ditangkap secara salah dan tidak sah oleh polis pada pukul 10 pagi, 9 Mac 2010 sehingga keesokan harinya.

Plaintif menamakan Awang, 55; Felda; anggota polis, Mohd. Azran Rahmat dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Dalam pernyataan tuntutan, menurut Mazlan, dia bersama 20 peneroka telah memulakan majlis dialog dan perbincangan di dalam rumah milik Hamidun Yeop Isa tanpa menggunakan alat pembesar suara.

Selepas lebih kurang 30 minit majlis itu berlangsung, plaintif mendapati hampir 30 anggota polis bantuan Felda, anggota polis dan beberapa pegawai Felda termasuk defendan pertama mula membanjiri pekarangan rumah tersebut sehingga menyebabkan majlis itu ditamatkan lebih awal.

Plaintif mendakwa tindakan provokasi, kepungan, kehadiran beramai-beramai anggota polis bantuan Felda, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai serta kakitangan defendan mengakibatkan dia berasa dimalukan dan dihina.

Ekoran kejadian itu, plaintif ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk membuat laporan polis tetapi ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Raub pada 10 Mac tahun lalu sebelum dikenakan tahanan reman selama sehari.

Dia mendakwa, tahanan dan penangkapan tersebut adalah tidak berasas selain menganggap penahanannya adalah salah dan tidak sah serta defendan pertama, kedua, ketiga telah bersubahat serta berkomplot.

Selain menuntut ganti rugi am RM20 juta, plaintif menuntut perisytiharan bahawa perintah tahanan ke atasnya adalah salah manakala perintah remannya juga cacat dan tidak sah.

Defendan pertama dan kedua dalam pernyataan pembelaan bertarikh 3 Januari lalu pula memohon untuk mengetepikan tuntutan saman dan pernyataan tuntutan tersebut.

Mereka antaranya mengatakan bahawa sesi dialog tersebut adalah haram kerana plaintif tidak mendapat keizinan daripada pihak-pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Selain itu, defendan menegaskan mereka tidak pernah bersubahat dan berkonspirasi dengan defendan ketiga.

Pada prosiding hari ini, Awang dan Felda diwakili dua peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Cheng Mai manakala Mazlan diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment