Demonstrasi Bersih hanya mahu runtuhkan negara
KHALID ABDULLAH
Alor Setar, Kedah.
SAYA ingin mengulas mengenai kenyataan Pas bahawa peserta demonstrasi Bersih 2.0 disifatkan sebagai wira negara. Pada zaman Rasulullah SAW dahulu pun, golongan menentang baginda yang terdiri puak Quraisy yang menyokong Abu Jahal dan Abu Lahab mendakwa diri mereka wira kaum Quraisy. Membunuh sesama Islam pun digelar jihad. Inilah yang membawa kepada kemusnahan Islam itu sendiri.
Soalnya, apakah niat mereka? Pada zaman memperjuangkan kemerdekaan dulu, niat kita hanya satu, iaitu menghapuskan penjajahan dan memerdekakan tanah air daripada pengaruh luar untuk menjadikan bangsa dan negara kita setaraf dengan bangsa lain di dunia.
Habuan atau pangkat tidak pernah terlintas kepada pejuang dan wira bangsa pada waktu itu. Juga tidak ada sebarang fatwa khurafat seperti Tuhan mencarut, tidak boleh berimam dengan parti lain, tidak boleh disemadikan sekubur dan malah ada menghalalkan darah sesama Islam.
Saya mengingatkan mereka agar bercakap benar dengan niat bersih dan suci dengan Allah SWT kerana dusta itu adalah khianat dan benar itu adalah amanah seperti kata Saidina Abu Bakar As-Sidiq.
Saya nasihatkan mereka bacalah surah Al Asr' dan ikutilah makna yang terkandung di dalamnya. Demonstrasi Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu tidak mempunyai ciri-ciri kepewiraan negara, malah ia ternampak kepada niat untuk meruntuhkan negara Islam yang berjaya di mana rakyat hidup dalam keadaan makmur, aman dan damai.
Pertumbuhan dakwah Islamiah juga berjalan dengan sempurna dan teratur serta lancar. Saya akui pemerintah negara sekarang bukannya malaikat. Walau bagaimanapun pada umumnya kemajuan negara kita adalah di luar jangkaan.
Di kampung saya hanya ada tiga basikal, di Bandar Alor Star hanya ada lebih kurang 10 kereta. Sekarang sudah lebih 10,000 kereta berada di Alor Star, tidak termasuk motosikal.
Saya tidak tahu bagaimana hendak memberitahu mereka ini kerana mata dan telinga mereka ditutup. Saya harap hati mereka janganlah tertutup pula supaya ada peluang untuk berfikir.
Hakikatnya, golongan pembangkang bukanlah berhasrat untuk membela agama, bangsa dan negara. Mereka melihat kekayaan yang ada pada Petronas, KWSP, ASNB, LUTH dan GLC lain. Mereka terlalu ghairah untuk menguasai semua ini. Dengan itu, tidaklah mustahil mereka juga mendapat bantuan pelabur asing yang bersekongkol dalam pertarungan besar ini.
Semoga kesemua ini tidak akan menjadi kenyataan demi kebaikan, keselamatan, agama, bangsa dan negara. Akhirnya, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan yang dapat mengawal situasi dengan baik dan merekalah wajar digelar wira negara.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment