Tuesday, July 12, 2011

hasil bersih

Apa hasil demonstrasi haram?

CUKUP memalukan dan menjejaskan imej negara apabila kita meneliti apa yang berlaku di ibu negara Sabtu, 9 Julai 2011 lalu.

Apa yang kita khuatiri selama ini berlaku juga. Walaupun amaran demi amaran diberikan oleh pelbagai pihak, termasuk nasihat daripada Yang Di-Pertuan Agong, namun sekelompok rakyat kita masih degil dan meneruskan hasrat mereka melakukan perhimpunan haram di beberapa lokasi strategik di ibu negara.

Akibatnya lebih 1,600 orang ditahan. Polis juga terpaksa melepaskan gas pemedih mata apabila ada di antara mereka yang mula merusuh dan bertindak ganas. Pengangkutan awam pula lumpuh dan kerugian para peniaga pula dianggarkan hampir RM100 juta.

Hujung minggu yang biasanya meriah dan riuh-rendah dengan kesesakan rakyat Malaysia keluar bersama keluarga ke ibu kota, bertukar menjadi sunyi sepi dan lengang seolah-olah Kuala Lumpur berada dalam keadaan darurat. Ini menunjukkan rakyat begitu takut untuk keluar rumah kerana khuatir keselamatan terancam.

Akibatnya, majlis perkahwinan juga turut terjejas. Dalam sekelip mata apa yang kita banggakan selama ini iaitu kehidupan yang aman, damai dan selamat diragut daripada kita oleh sekumpulan manusia yang tidak bertanggungjawab dan bertindak mengikut emosi dan nafsu semata-mata.

Kesannya cukup besar. Di samping pelbagai anggaran kerugian dan kerosakan, pelancong juga mula memandang negatif tentang negara kita. Media Barat pula yang sememangnya menunggu peluang untuk menghentam negara kita terus mengambil peluang ini untuk memburukkan nama dan imej negara di mata dunia. Malaysia mula digambarkan tidak aman dan selamat untuk dilawati.

Anehnya, ketegangan ini bukan dicetuskan oleh anasir luar, tapi oleh ‘anasir’ dalam kalangan rakyat kita sendiri. Persoalannya sekarang ialah apa yang kumpulan penunjuk perasan ini dapat dengan tindakan mereka ini? Apa pula keuntungan yang mereka peroleh selain mencemarkan nama baik negara dan juga meragut rezeki orang lain?

Dalam pada itu ia juga menunjukkan betapa amalan demokrasi yang kita pertahankan selama ini langsung tidak dihormati. Demokrasi yang telah menjadi alat penyatuan dan kejayaan kita selama ini terus dicemari di atas jalan raya. Ini bermaksud mereka tidak menghormati negara dan rakyat kita secara keseluruhannya.

Kita perlu insaf bahawa bukan mudah untuk kita membina apa yang kita nikmati selama ini. Generasi terdahulu begitu bersusah payah memelihara dan menjaga keselamatan dan keamanan negara. Jadi janganlah kita musnahkannya dalam sekelip mata.

Ingat, cukup mudah untuk menghancurkan apa yang telah dibina, tetapi terlalu sukar untuk mempertahan mahupun membinanya semula. Fikirlah sejenak apa untungnya demonstrasi jalanan seperti ini dan pihak mana yang meraih untungnya?

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

No comments:

Post a Comment