Program 6P mula 1 Ogos
KUALA LUMPUR 12 Julai – Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P yang ditangguhkan untuk sementara waktu akan mula dilaksanakan pada 1 Ogos ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, perubahan tarikh itu bertujuan memberi ruang kepada kementerian dan Jabatan Imigresen melaksanakan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah terlebih dahulu bermula esok sehingga 31 Julai ini.
Katanya, tujuan program tersebut diberikan perhatian terlebih dahulu adalah untuk menangani isu berhubung tindakan pekerja asing sah yang merancang melarikan diri daripada majikan asal untuk menyertai Program 6P.
“Menerusi pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah ini juga, pihak imigresen berupaya mengenal pasti pekerja asing sah yang telah lari daripada majikan termasuklah mereka yang telah membuang dokumen pengenalan diri dan menukar dengan dokumen identiti baru.
“Dalam kes seperti ini, mereka (pendatang asing yang sah) yang dikenal pasti melakukannya tidak akan dibenarkan menyertai program pemutihan dan akan dinasihat supaya kembali kepada majikan asal atau dihantar pulang menerusi program pengusiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Program 6P akan ditangguhkan seketika sehingga segala urusan berkaitannya dipastikan sempurna dan mampu menjadikan proses tersebut berjalan lancar.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment