Media pembangkang manipulasi isu
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
SEMINGGU selepas perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur, isu itu terus membakar kemarahan semua rakyat Malaysia.
Di pihak penyokong kerajaan, jelas sekali kemarahan bertumpu kepada Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dan ketua parti-parti pembangkang yang jelas sekali telah memperdaya, menghina dan membelakangkan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku pemimpin tertinggi negara.
Penyokong pembangkang pula marah rancangan pemimpin mereka dihalang pihak berkuasa, sementara yang di atas pagar marah kehidupan harian mereka diganggu dan terhalang disebabkan perhimpunan haram tersebut.
Namun, amatlah mengecewakan apabila media pembangkang dan media asing berterusan memutar cerita bagi menunjukkan peserta perhimpunan haram sebagai 'hero' sementara polis dan kerajaan sebagai 'penjahat' kejam.
Rata-rata media asing terutamanya yang bertumpu di Barat memainkan isu tersebut sebagai sebuah perjuangan demokrasi terhadap 'kepimpinan kuku besi' yang seterusnya digunakan pula media pembangkang di Malaysia untuk mengapi-apikan rakyat membenci kerajaan.
Ini jelas digambarkan melalui paparan portal pembangkang Malaysiakini yang memetik laporan AFP kononnya 170,000 orang telah menyokong (Like) laman Facebook 100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation (100,000 rakyat mahu Najib Razak berundur) bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.
Petisyen melalui laman sosial itu dilihat sebagai langkah pembangkang cuba memburukkan nama Najib menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang bukan sahaja bakal menentukan naik turun Barisan Nasional (BN) malahan hidup mati pakatan pembangkang sendiri.
Jelas sekali etika laporan seimbang dan neutral yang sering dilaung-laungkan AFP mahupun Malaysiakini juga telah ditongsampahkan apabila hanya melaporkan angka untuk laman tersebut sedangkan laman Facebook di bawah nama Najib Razak telah menerima sokongan (Like) hampir 800,000 orang ahli.
Sementara itu, laman bertajuk 100,000 People Request Anwar Ibrahim To Be Prime (100,000 rakyat mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri) dan 100,000 People Request Ismail Omar Resignation (100,000 rakyat mahu Ismail Omar berundur) masing-masing hanya disokong sekitar 3,200 dan 3,700 ahli Facebook.
Ambiga sendiri melalui temu ramah dengan akhbar antarabangsa Wall Street Journal menegaskan pihaknya tidak terlibat dengan laman Facebook tersebut serta tiada niat memaksa Najib meletakkan jawatan mahupun menggulingkan kerajaan seperti di negara lain.
Pengerusi Bersih itu turut menyangkal menjadi alat pembangkang sebaliknya menegaskan pihaknya mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk menambahbaik sistem pilihan raya negara.
Bagi penganalisis politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan, tindakan membuat dan melaporkan tentang laman Facebook itu adalah tidak wajar kerana tinjauan melalui media itu tiada memberi makna apa-apa.
"Prinsip demokrasi sudah jelas, jika mahu jatuhkan atau naikkan seseorang perlu melalui pilihan raya dan Perdana Menteri sendiri tidak melanggar mana-mana prinsip demokrasi berkenaan.
"Tindakan membuat dan melapor mengenai laman itu jelas berat sebelah dalam cubaan memanipulasi isu terutama yang memihak kepada mereka (pembangkang)," katanya.
Menurutnya lagi, orang Malaysia bukannya bodoh kerana pada asasnya mereka tahu laporan dan kandungan laman itu berat sebelah.
Beliau turut kesal etika kewartawanan dalam menyalurkan maklumat yang dilaungkan pihak terbabit selama ini diketepikan sedangkan orang di luar bidang media juga dapat membezakan sama ada laporan itu berat sebelah atau neutral.
"Perkara sebegini berlaku dari dulu lagi. Prinsip bagaikan tidak perlu dipegang, etika boleh diketepikan asalkan pembangkang dapat menggunakan sesuatu perkara sebagai isu.
"Pembangkang akan cuba cipta apa sahaja isu dan gerakan untuk lemahkan kerajaan. Mereka mahu fokus kerajaan hanya diberi kepada mereka sehingga sukar menumpukan perhatian kepada perkara lain," jelasnya.
Tambah Ahmad Zaki, pembangkang juga tidak memerlukan perhatian penuh rakyat asalkan gerakan mereka tidak sunyi dan tenggelam menjelang PRU-13.
"Seperti kes video yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, betul atau salah tidak penting selagi isu itu memberi fokus kepada gerakan mereka di media mahupun di Parlimen," tegasnya.
Pemerhati politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pula berpendapat, taktik membuat dan melaporkan mengenai laman Facebook itu satu permainan kotor oleh individu berkepentingan.
"Akhbar The Star melaporkan baru-baru ini terdapat kumpulan tertentu yang menggunakan alat dan media elektronik untuk menyatakan fakta yang salah dan serong demi agenda mereka yang berkepentingan.
"Taktik mudah melibatkan sebilangan kecil individu yang menghantar mesej dan pilihan yang sama berulang kali untuk mencapai 'angka sasaran' menunjukkan media elektronik sekarang mudah dimanipulasi," ujarnya.
Oleh itu, beliau menganggap masyarakat umum boleh mengatakan mana-mana tinjauan melalui Facebook atau apa sahaja media elektronik tidak boleh dipercayai lagi kecuali individu yang menyumbang diketahui dan dibuat melalui kaedah ilmiah.
Zainal menyarankan orang awam agar lebih kritis dan rasional dalam menerima laporan tinjauan sedemikian di samping perlu berwaspada dengan permainan kotor dan manipulasi individu tertentu.
"Mereka sanggup mempergunakan sepenuhnya pendapat dan emosi masyarakat umum demi mencapai cita-cita sekumpulan kecil manusia.
"Individu yang lebih kritikal pemikirannya perlu melihat kaedah pelaksaan tinjauan sedemikian sementara pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan yang cuba menipu rakyat ini," tegasnya.
Beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat bertindak terhadap penyelewengan fakta sedemikian yang jelas sekali semata-mata demi agenda pihak tertentu.
Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh membuat laman serupa dengan apa juga agenda dan hanya perlu menggunakan beberapa profil peribadi yang berbeza serta mengajak rakan dan saudara mara, mahupun ahli parti politik di dalam atau luar negara menekan butang 'Like'.
Nyata sekali Facebook mahupun mana-mana perhimpunan haram tidak mampu memberi gambaran sebenar pendapat majoriti rakyat.
Pihak yang cuba memanipulasi kaedah yang tidak boleh dipercayai untuk meracun orang ramai membenci kepimpinan negara juga perlu sedar bahawa bukan semua orang boleh ditipu sepanjang masa.
Paling utama, janganlah menghina tahap kebijaksanaan rakyat menggunakan taktik, isu atau gerakan songsang yang bukan sahaja tidak berprinsip dan beretika malahan tidak menunjukkan kematangan demokrasi di Malaysia.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment