Insken ibarat permata berharga hilang sinar
Saranan Salleh
MINGGU lalu saya banyak juga memperkatakan berkenaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). Teraju dalam kolum saya itu mendapat pelbagai reaksi. Bagi yang bertanggungjawab atau berada dalam kapal Teraju, sudah pasti senak perut sedikit dengan tulisan itu. Namun di pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) usahawan atau individu Melayu yang terlibat secara terus dengan ekonomi Melayu rata-ratanya bersetuju dengan apa yang saya kata.
Lebih menarik apabila ada yang menghubungi saya beberapa hari lalu yang meluahkan rasa kecewa menghadiri satu program Teraju di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dilihat tidak memberi harapan besar kepada pembangunan ekonomi orang Melayu seperti diharapkan.
Saya tidak hadir tetapi kata beberapa peserta tersebut apa yang dibuat oleh Teraju pada hari itu tiada beza dengan apa yang sudah dibuat oleh agensi-agensi lain terutama dalam program keusahawanan.
Tambah mereka, dengan mencelup program sedia ada di bawah agensi lain kemudian diuar-uarkan sebagai transformasi Teraju, ibarat sekadar menempel apa yang memang sudah ada dengan tersendiri.
Bagi mereka zaman menteri menyaksikan memorandum persefahaman dan menyaksikan penyerahan cek geran biarlah dibuat bersama menteri kementerian masing-masing. Lebih lucu kata mereka, sampaikan cek sumbangan korporat bantuan sekolah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri pun hendak dibuat pada majlis yang sama.
Akibatnya majlis ucapan keraian menteri sahaja sudah habis tiga suku majlis. Lebih kecewa, bila ada yang datang dari seluruh negara berdepan dengan masalah mendapatkan hotel di Kuala Lumpur kerana terlalu banyak aktiviti menjelang puasa tidak lama lagi. Akhirnya mereka berasakan program itu tiada istimewanya.
Walaupun banyak lagi keluhan, saya sekadar mendengar dan yakin dengan mereka kerana mereka ini adalah usahawan tulen yang sentiasa memikirkan perkara berfaedah dan menilai dengan perkiraan sen dan ringgit.
Tetapi saya terfikir selepas itu, bukankah agenda ekonomi bumiputera mempunyai skop isu yang lebih besar daripada itu? Kadang kala saya juga menasihati NGO dan usahawan Melayu bahawa isu Teraju dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) adalah sebahagian isu bumiputera. Bagaimana dengan lain-lain?
Saya percaya jika Teraju menerima semua cadangan NGO, ramai pihak yang akan puas hati. Tetapi selepas itu, apakah syor yang diputuskan kerajaan itu akan disambut dengan baik di peringkat agensi pelaksana?
Kali ini saya tidak mahu membincangkan skop yang luas terhadap pelaksanaan peringkat agensi tetapi ingin membawa satu contoh kajian kes iaitu Institut Keusahawanan Negara (Insken), di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Selepas Teraju, inilah antara agensi kerajaan yang menjadi buah mulut di kalangan usahawan Melayu sebagai permata usahawan Melayu yang sudah hilang cahayanya. Dalam satu pertemuan wakil-wakil persatuan dengan kerajaan baru-baru ini, kekecewaan itu bukan hanya dizahirkan oleh usahawan tetapi pegawai atasan kerajaan juga.
Manakan tidak. Jika sebelum ini, menara usahawan sentiasa berkelibut dengan pelbagai aktiviti keusahawanan, kini sudah malap macam hidup segan, mati tak mahu! Suatu ketika dahulu meriah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti yang sedikit sebanyak dapat dirasai oleh usahawan, kini ibarat muzium iaitu ada pameran tetapi bahan mati yang diawet sebagai sejarah.
Banyak pertemuan telah dibuat oleh MITI yang dipengerusikan oleh menteri dan Insken tidak terlepas daripada hentaman tetapi nampaknya tiada hasil yang menyerlah. Menteri berkaitan ada membentangkan kepada Parlimen penubuhan Pusat Bimbingan Usahawan atau Business Adisory Centre (BAC), selepas asakan NGO untuk menggantikan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).
Selepas wujud BAC, beberapa pemimpin persatuan mencuba sendiri perkhidmatan BAC, ternyata masing-masing kecewa kerana sistem penyampaian sama ada secara teknikal atau khidmat nasihat amat lemah. Faktor lain pula ialah kakitangan yang dipertanggungjawabkan tidak cekap. Sudahlah lokasinya pun tidak strategik, ditambah pula promosi yang lemah menjadikan medan pameran Menara Usahawan sudah tidak meriah macam dulu.
Semasa Insken di bawah MeCD, aktiviti pembudayaan keusahawanan sangat menyerlah! Usahkan orang dewasa, pelajar sekolah pun kenal kerana banyak aktiviti dijalankan. Hari ini, sebut sahaja Insken, yang kenal pun akan bertanya: “ada lagi ke Insken?”
Bayangkan usahawan produk rozel di Sungai Petani, Kedah masih mengingati jasa Insken mempopularkan produk rozelnya suatu ketika dulu. Namun baru-baru ini beliau berasakan kekecewaan apabila hasratnya untuk berkembang luas bersama Insken tidak kesampaian. Malah abang dari Kedah ini lebih mengenali kakitangan Insken lama daripada yang ada pada masa kini.
Kisah di atas adalah satu contoh kelemahan kita sendiri. Setiap kali usahawan Melayu bising, maka wujudlah macam-macam agensi baru sedangkan yang lama pun tak jadi apa. Itu belum lagi jenama-jenama ad-hoc parti politik yang konon nak jadi hero juga. Pun akhirnya habuk pun tak ada.
Setelah bubarnya MeCD, Insken antara permata usahawan Melayu yang sempat masih hidup atau tidak berkubur bersama MeCD. Tetapi permata yang sepatutnya digilap untuk lebih bersinar dan lebih berharga, kini ibarat jasad yang sudah mati.
Insken perlu diterajui oleh mereka yang benar-benar berkaliber sebagai pegawai kerajaan, memahami kehendak sebenar usahawan dan mempunyai jati diri Melayu yang luar biasa. Tetapi sekadar mahu meletakkan ketua yang berasaskan senioriti dalam perkhidmatan awam, bukanlah di situ tempatnya.
Atau apakah menterinya yang sudah berkali-kali disuarakan isu Insken mempertahankan pegawai-pegawai atas politik tertentu terutama untuk menawan semula negeri pembangkang dan meletakkan kuota kakitangan dari negeri tertentu?
Apa yang pasti, angin protes usahawan bumiputera kembali bertiup kencang yang berkait rapat ketidakseimbangan Program Transformasi Ekonomi (ETP), krisis keyakinan Pemandu, Ketidakyakinan terhadap Teraju dan kelemahan agensi seperti Insken dikhabarkan menjadi rasa kurang senang.
Mereka kononnya hendak berhimpun lagi tetapi bukanlah dengan mood politik pembangkang tetapi mereka yang sayangkan kerajaan sedia ada supaya mahu ambil kira kehendak sebenar. Dengarnya juga mereka mahu mengadu kepada Raja-raja Melayu!
Cuma harapan saya yang sedang mengisi hari-hari pencen dengan pengalaman silam, bangsa Melayu perlu segera membetulkan diri dan melihat cara kejayaan orang lain bersepadu kerana pemimpin kita adalah Melayu, pegawai kerajaan Melayu dan kita semua rakyat Melayu. Di mana silapnya?
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas
Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia).
No comments:
Post a Comment