Sunday, July 3, 2011

bersih xbersih

Bakar sentimen Melayu, bukan Melayu

MINGGUAN: Apa pandangan anda tentang Bersih?

CHENG GUAN: Saya rasa semua orang tahu siapa yang menjadi dalang. Ibarat kalau kita nak melukis seseorang yang cukup terkenal, tidak perlu lukis semuanya. Lukis kaki dan tangan dia pun, orang sudah kenal siapa.

Saya tidak mahu sebut nama orang di belakang Bersih. Bagi saya, dia menggunakan perhimpunan haram ini sekadar ingin 'membersihkan' dirinya. Ini adalah satu-satunya peluang terbaik dia.

Penganjuran Bersih yang dikatakan mahu menggesa diadakan pilihan raya yang lebih telus dan adil sebenarnya tidak berasas sama sekali. Daripada pengalaman saya sendiri sebagai bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, siapa yang bersih, kotor atau busuk sebenarnya adalah pembangkang. Semasa pilihan raya umum lalu, mereka memfitnah mengatakan saya memiliki banyak tanah di Batu Kawan. Mereka menggunakan taktik kotor untuk menjatuhkan imej saya. Pembangkang yang 'kotor' sebenarnya, bukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Penganjur Bersih memberi jaminan perhimpunan tersebut akan berjalan lancar tanpa insiden buruk. Wajarkah ia diteruskan?

CHENG GUAN: Pemimpin parti pembangkang macam-macam mereka boleh cakap, pelbagai janji dibuat. Tengok saja pilihan raya umum lepas, mana semua manifesto dan janji kepada rakyat? Adakah semua sudah ditunaikan? Di Pulau Pinang sendiri, saya rasa semua janji tidak dikotakan. Sebagai contoh, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkempen di Flat Padang Tembak, di depan ratusan penduduk dia berjanji mahu mengecat kesemua sembilan blok kediaman jika pembangkang berjaya menawan Pulau Pinang. Tapi lihatlah sendiri selepas tiga tahun DAP memerintah, sampai sekarang flat itu terus nampak kusam tanpa cat baru seperti dijanjikan. Begitu juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng, kononnya mahu merobohkan Plaza Tol Sungai Nyiur kalau pembangkang menang tapi sampai sekarang rakyat kena bayar 50 sen setiap kali lalu. Pembangkang kalau buat 'wayang', mereka memang pandai.

Kalau nak buat juga, buatlah di stadium. Tidak menyusahkan sesiapa. Lihat saja perhimpunan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang kelmarin, ada kedai-kedai yang tutup, taukehnya takut barang-barang dalam kedai dicuri. Itu baru sikit. Kalau besar-besaran seperti Bersih, bagaimana? Jika ada kedai dibakar, rompakan, pertempuran berdarah, bagaimana? Nanti mereka tuduh polis tidak buat kerja pula.

Jika Bersih diteruskan, adakah ia akan memberi sebarang kelebihan kepada pihak-pihak tertentu?

CHENG GUAN: Saya lihat kalau Bersih diteruskan juga, ia akan mencetuskan pertembungan dua kumpulan orang Melayu. Satu kumpulan orang Melayu yang pro-BN dan satu lagi yang pro-pembangkang, maka sudah tentu ada pihak lain yang mengaut 'keuntungan'.

Bagaimanapun, kita kena lihat juga anasir luar yang sentiasa mengintai peluang untuk mengkucar-kacirkan negara. Negara kita semua ada. Makan cukup dan kadang-kala terlebih kenyang. Kerja pun senang. Tidak seperti di negara-negara lain yang huru-hara. Saya tidak nafikan ejen-ejen perisikan luar mungkin cuba memasuki negara. Tengak saja di Thailand, Myanmar di mana ejen perisikan luar telah menyebabkan kacau-bilau. Ini yang mereka mahu supaya pelabur takut nak masuk Malaysia jika negara tidak aman seterusnya membantutkan ekonomi negara dan rakyat akan memberontak. Itu pandangan saya.

Walaupun amaran diberi, penganjur Bersih tetap berdegil mahu teruskan perhimpunan. Komen anda?

CHENG GUAN: Pihak yang terbabit ini sudah terdesak. Bagi mereka, Bersih adalah jalan terakhir bagi menyelamatkan 'nyawa' mereka. Bukan senang nak anjurkan perhimpunan besar sebegini. Mesti ada pihak tertentu yang menaja mereka. Dan penaja ini cuba bakar sentimen supaya kaum bukan Melayu turut serta bagi mencapai cita-cita jahat mereka.

Sepatutnya ada perhimpunan menyokong Bersih di Pulau Pinang pada Khamis lalu. Namun, polis berjaya mendapat perintah mahkamah membatalkannya. Kenapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilihat beria-ia menyokong Bersih?

CHENG GUAN: Saya berpendapat Guan Eng mencari peluang untuk kepentingan politiknya. Dia cuba memainkan sentimen rakyat terutama berkaitan isu perkauman yang dapat membakar hati rakyat supaya membenci kerajaan. Memang diakui dia cukup mahir dalam perkara sebegini. Dia seorang yang oportunis dan fanatik. Di Pulau Pinang, apa lagi yang tidak bersih. Sebanyak 11 daripada 13 kerusi Parlimen sudah dipegang pembangkang. Di Dewan Undangan Negeri (DUN), semua kerusi MCA dan Gerakan telah mereka (pembangkang) sapu bersih. Adakah itu tidak cukup 'bersih' lagi? Jika rakyat berfikir panjang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menjalankan kerja mereka dengan cukup baik. Kalau Guan Eng rasa SPR tidak cukup 'bersih' di Pulau Pinang, saya cabar dia buat pilihan raya semula. Kita bertanding semula, tengok siapa menang kali ini.

Apa maklum balas masyarakat Cina tentang Bersih?

CHENG GUAN: Terus-terang saya katakan, masyarakat Cina tidak akan keluar menyertai perhimpunan Bersih. Bagi masyarakat Cina, apa yang penting dalam hidup mereka adalah harmoni, keamanan, kestabilan, kemajuan dan kemakmuran. Bagi mereka, Bersih adalah sia-sia. Buat apa mahu menyertai perhimpunan yang tidak membawa manfaat, lebih baik mereka cari rezeki. Kalau betul tidak suka dengan mana-mana pihak, masa pilihan raya nanti undilah sesiapa yang mereka sokong, habis cerita.

Apa yang kerajaan harus lakukan sekarang?

CHENG GUAN: Bagi saya, kerajaan tidak perlu melayan kehendak penganjur Bersih. Mereka ini hanyalah kumpulan minoriti. Lebih baik beri tumpuan kepada golongan majoriti senyap. Kerajaan perlu melihat dari aspek keselamatan. Kerajaan harus mengambil tindakan tegas walaupun ada jaminan tidak akan berlaku kekacauan. Janganlah sudah terlambat nanti baru mahu bertindak. Langkah pencegahan adalah jalan terbaik. Jika dirasakan perlu guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), gunakanlah. Saya ulangi, kerajaan perlu tegas dalam perkara ini. Kalau di China, orang sebegini sudah lama dijatuhkan hukuman tembak sampai mati oleh kerajaan.

Nasihat anda kepada orang ramai?

CHENG GUAN: Saya nasihatkan mereka tidak kira penyokong mana sekali pun, BN atau pembangkang, lihatlah betul-betul sekeliling mereka, baru buat keputusan. Apa rasional untuk mereka sertai perhimpunan Bersih. Kalau benar pakatan pembangkang ada hala tuju dan visi, kenapa begitu ramai sudah meninggalkan parti? Kalau tidak silap saya, lebih 100 bekas pemimpin pembangkang sudah keluar parti. Nama-nama seperti Chandra Muzaffar, Zahrain Mohamed Hashim dan Mohamad Ezam Mohd. Noor, merekalah perintis kepada penubuhan pakatan pembangkang dulu tapi sekarang mereka pula jadi penentang kepada pembangkang.

Seperkara lagi, mereka yang menganjurkan Bersih bukannya orang susah seperti kita. Mereka orang senang, berpendidikan tinggi, golongan intelektual. Susah orang senang bukan macam susah orang susah. Hati dan perasaan mereka tidak sama seperti kita. Mereka tidak dapat menyelami masalah kita. Kalau hari ini negara kucar-kacir, esok dia boleh beli tiket kapal terbang pergi jauh dari sini. Yang tinggal orang seperti kita menanggung penderitaan. Kalau bertul-betul nak tolong rakyat, jenguklah ke kampung-kampung atau pedalaman. Bantu perbaiki kebajikan rakyat di situ.

No comments:

Post a Comment