Penganjur Bersih tidak jujur
Abdul Aziz Mohd Yusof
Saya sebenarnya tidak pasti adakah penganjur perhimpunan haram Bersih benar-benar ikhlas atau mempunyai maksud lain di sebalik perhimpunan itu. Ini kerana dalam perjumpaan pertama saya dengan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga, beliau memberitahu, Bersih adalah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan parti politik. Penganjur Bersih mendakwa mereka berkecuali. Tetapi daripada apa yang dilihat sama ada gambar-gambar dan kenyataan parti-parti politik pembangkang, penganjur Bersih sudah memihak dengan jelasnya kepada pembangkang.
Kita semua nampak mereka turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin parti politik seperti Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan banyak lagi. Wakil-wakil NGO yang datang berjumpa dan berunding dengan saya dulu tidak kelihatan kecuali Marina Mahathir dan dua tiga orang lagi. Jadi kenyataan Ambiga kepada saya bahawa Bersih tidak langsung memihak kepada parti politik adalah tidak benar sama sekali. Tambahan pula baru-baru ini Presiden Pas, Haji Hadi Awang mengugut SPR supaya mengambil tindakan atas lapan tuntutan itu, kalau tidak mereka akan mengadakan tunjuk perasaan lagi.
Didalangi
Kenapa pula sebelum ini Bersih dan tiba-tiba sekarang parti politik Pas menyuarakan perkara itu? Jadi, sekarang sudah jelas Bersih didalangi atau diperalatkan. Mereka bersekongkol dengan parti politik. Bersih tidak lagi sebuah badan yang berkecuali seperti ketika datang berjumpa saya. Mereka seolah-olah sudah menjadi parti politik.
Pada mulanya penganjur Bersih ini datang berjumpa dengan SPR akhir tahun lepas. Itulah pertama kali mereka memohon untuk berjumpa dengan SPR. Sebelum itu tidak pernah. Dalam perjumpaan itu mereka membawa 17 tuntutan. Perjumpaan itu berlangsung dalam suasana baik dan saya sebagai Pengerusi SPR menerangkan satu demi satu, dan ada yang mereka tidak puas hati. Selepas itu tidak ada perjumpaan lagi. Pada April lalu mereka mahu berjumpa dengan SPR tetapi ketika itu di pihak SPR sibuk kerana pilihan raya umum Sarawak. SPR mencadangkan kepada mereka supaya perjumpaan itu diadakan selepas pilihan raya Sarawak.
Bila tidak dapat mengadakan perjumpaan dengan SPR, saya mendapat berita mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan. Mereka mengambil tindakan lain iaitu menyerah memorandum kepada Yang diPertuan Agong. Saya difahamkan dari 17 tuntutan itu hanya tinggal lapan tuntutan saja. Kerana itu saya fikir tujuan mereka untuk menambahbaikkan sistem pilihan raya yang ada hanya dalih saja.
Dalam lapan tuntutan itu hanya empat sahaja yang ada hubungan dengan SPR. Pertama, membersihkan daftar pemilih. Sebenarnya setiap hari SPR membersihkan daftar pemilih. Tetapi SPR tidak boleh membersih sendiri sebaliknya memohon kepada pengundi sendiri. Kalau ada yang tidak betul tolonglah mengisi borang A. Ini kerana sebarang pindaan mesti dibuat secara teratur dan ditandatangan sendiri oleh pengundi itu. Bila ada tandatangan itu barulah SPR boleh membuat tindakan. SPR juga kena menyemak nama-nama pemilih dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Tetapi apa yang dikatakan pengundi hantu adalah pengundi yang tidak tinggal di tempat mereka mengundi. Apabila hari mengundi mereka balik mengundi. Mereka ini tidak memaklumkan kepada JPN atau SPR. Tetapi mereka ini adalah pengundi yang sah. Pengundi hantu sebenarnya adalah mereka yang menggunakan pengenalan diri orang lain.
Tetapi setakat ini pembangkang tidak membawa bukti malah petisyen pun tidak ada mengenai pengundi hantu, mereka hanya bercakap saja. Sepatutnya mereka membawa mereka yang dikatakan pengundi hantu untuk diambil tindakan. Mereka hanya membawa senarai tetapi bila diperiksa nama-nama tersebut adalah pengundi yang sah.
Keduanya, mengenai undi pos. Kita tidak boleh menghapuskan sama sekali undi pos kerana banyak anggota tentera polis serta rakyat kita yang berada di luar negara dan mereka ada hak untuk mengundi. Kita membuat penambahbaikan iaitu undi awal. Mereka mengundi awal dua atau tiga hari daripada hari mengundi. Antara penambahbaikan yang dibuat ialah tidak lagi menggunakan sampul surat A atau B, tidak menggunakan borang identiti tetapi mengundi seperti pengundi lain pada hari mengundi. Pengundian ini akan disaksikan oleh wakil parti yang bertanding dan penambahbaikan ini akan dijalankan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU - 13).
Pembangkang
Sekarang ini undi pos hanya lebih kurang 200, 000 daripada 12 juta pengundi. Untuk makluman, daripada kawasan-kawasan yang diadakan undi pos ini, kebanyakannya dimenangi oleh pembangkang. Di peringkat Parlimen, sekurang kurangnya 19 kerusi Parlimen seluruh negara yang mempunyai bilangan undi pos yang ketara yang terdiri tujuh di Perak, satu di Selangor, satu di Pulau Pinang, satu di Kedah, dua di Negeri Sembilan, enam di Kuala Lumpur dan satu di Sarawak.
Daripada 19 kerusi Parlimen ini, 14 dimenangi oleh pembangkang, tujuh oleh PKR dan tujuh oleh DAP. Tetapi kepada pembangkang seolah-olah undi pos ini adalah segala-galanya yang menjadi penentu kalah menang dalam pilihan raya. Di Kuala lumpur ada sebelas kawasan Parlimen, sepuluh dimenangi oleh pembangkang dan hanya satu oleh BN. Adakah ini menunjukkan pilihan raya kita tidak demokratik? Begitu juga banyak kerusi pembangkang yang tidak pernah kalah seperti di 14 kerusi Parlimen.
Maknanya ada beberapa kerusi yang sentiasa dimenangi oleh pembangkang dan BN langsung tidak ada peluang untuk menang. Misalnya Pengkalan Chepa kawasan Nik Aziz memang BN tidak pernah menang. Begitu juga di kawasan Haji Hadi Awang yang sentiasa dimenangi oleh Pas. Ini menunjukkan kemenangan itu ditentukan oleh pengundi, kalau pengundi suka akan menanglah parti berkenaan. Misalnya dalam pilihan raya yang lalu, lima negeri dimenangi oleh pembangkang. Kalau sistem pilihan raya memihak kepada kerajaan sudah tentu mereka tidak ada peluang untuk menang. Begitu juga dalam 16 pilihan raya kecil, lapan dimenangi oleh pembangkang. Dalam pilihan raya umum Sarawak, DAP dari enam kerusi, sekarang sudah menjadi 12 kerusi. Adakah semua fakta ini menunjukkan SPR tidak demokratik?
Ketiganya, penggunaan dakwat kekal. Saya sudah banyak kali mengatakan bahawa kalau hendak menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya, Perlembagaan Malaysia mesti dipinda. Sebab dalam Perlembagaan Malaysia , individu yang tertentu saja yang tidak boleh mengundi tetapi tidak tercatat mereka yang ada dakwat di jari. Tidak ada dalam Perlembagaan kita orang yang ada dakwat di jari tidak boleh mengundi.
Sebagai pilihan, SPR mencadangkan sistem biometrik yang lebih jauh ke depan dan berteknologi tinggi. Guna dakwat ini juga menunjukkan kita berundur ke belakang seperti Indonesia, India, negara-negara Afrika dan sebagainya. Biometrik adalah satu sistem yang lengkap yang boleh memastikan pengenalan diri asli atau sebaliknya. SPR memperkenalkan sistem biometrik ini supaya dakwaan bahawa SPR mempunyai banyak pengundi hantu dapat dihapuskan. Tetapi belum pun sistem ini digunakan, sudah ada bangkangan daripada parti pembangkang. Bagaimanapun saya ingin mengingatkan bahawa semua penambahbaikan ini bukan disebabkan demonstrasi haram di jalanan baru-baru ini. Sebaliknya penambahbaikan sentiasa dilakukan oleh SPR.
Keempatnya tempoh berkempen 21 hari. Sebenarnya mengenai tempoh berkempen ini bukan SPR menolaknya tetapi boleh dibincangkan. Bagaimanapun bukanlah 21 hari seperti yang dituntut.
Bagi saya demonstrasi jalan raya tidak menyelesaikan masalah. Lebih malang lagi saya difahamkan memorandum itu belum dikemukakan kepada Yang DiPertuan Agong lagi. Kalau mereka betul-betul jujur sepatutnya sewaktu berjumpa Yang DiPertuan Agong baru-bari ini mereka boleh menyerahkan memorandum itu. Bukan sahaja boleh menyerahkan malah menerangkan kenapa mereka membuat tuntutan itu. Kenapa mereka tidak melakukan itu dan memilih demontrasi haram di jalanan?
Mereka juga ada menuntut supaya dihentikan amalan politik kotor. Sebenarnya semua orang tidak suka orang main politik kotor. Sebab itu kita adakan undang undang supaya orang politik ini jangan bermain politik kotor. Tetapi politik kotor ini dilakukan oleh ahli ahli politik, sepatutnya mereka sendiri yang menghalang politik kotor misalnya dengan tidak menipu, amanah, tidak kata lain buat lain.
No comments:
Post a Comment