Ambiga dan 'cerita kartun Bersih'
Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang digunakan sebagai laluan perhimpunan haram Bersih Sabtu lalu.
SEMASA bersembang dengan sekumpulan anggota badan bukan kerajaan (NGO) yang mengunjungi beliau di Seri Perdana, Putrajaya kira-kira pukul 12.30 tengah hari Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta mereka mengiringinya untuk satu walkabout keesokannya (iaitu Ahad). Lokasinya belum ditetapkan tetapi semua anggota NGO berkenaan teruja dengan pelawaan itu.
Sepatutnya kelmarin pada pukul 5.30 petang, Perdana Menteri sudahpun berlepas ke Turkmenistan. Tetapi demi kestabilan negara dan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tetap aman damai termasuk Kuala Lumpur, beliau menangguhkan seketika pelepasannya. Dan kemudian Perdana Menteri menghadiahkan satu walkabout kelmarin yang dilakukan beliau di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan disambut mesra oleh ratusan rakyat Malaysia.
"Dua hari lepas (sebelum 9 Julai) Perdana Menteri memberitahu kami bahawa beliau ada bercakap dengan beberapa orang termasuk seorang tok guru dari Tumpat, tentang hukum demonstrasi haram ini, kata dia (ahli agama tersebut), Islam sendiri tidak membenarkan kegiatan itu," kata Presiden Gabungan NGO Malaysia, Radzi Daud yang sentiasa berkopiah kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Radzi, pertemuan dengan hampir 220 anggota NGO daripada 78 pertubuhan termasuk dihadiri Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman itu menyaksikan penampilan Perdana Menteri yang cukup gembira dan ceria tanpa rasa gusar, sementelahan kira-kira 6,000 penunjuk perasaan haram pakatan pembangkang dan 'Bersih' galak bersandiwara di Kuala Lumpur ketika itu.
Malah sebelum perjumpaan dengan NGO berkenaan, di Presint 2 - tidak jauh dari Seri Perdana - orang ramai berasak-asak untuk ke dua program yang menampilkan hadirin teramai iaitu lebih 15,000 orang di majlis sambutan Hari Koperasi Negara 2011 yang disempurnakan oleh Najib. Satu lagi program betul-betul terletak bersebelahan di tempat letak kereta Istana Kehakiman itu pula iaitu di tapak pasar tani, kira-kira 10,000 orang lagi bertumpu memeriahkan Festival Floria Putrajaya 2011.
Ketika ibu negara sunyi sepi Sabtu lalu, di Presint 2 di Putrajaya itu pula berlangsung satu lagi program iaitu perarakan malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia yang menyerikan lagi Festival Floria. Wartawan Utusan Malaysia, Nazmil Nasiruddin yang berada di situ mendapati kesesakan teruk lalu lintas ketika bot-bot berhias dan bunga api menyemarakkan malam di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.
Yang nyata selepas perhimpunan haram itu, rakyat negara ini sudah maklum siapa itu S. Ambiga. Tembelang jahatnya apatah lagi - sudah pecah. Detik-detik beberapa orang perusuh yang iras ala-ala pengikut Pas sedang membaling sesuatu ke arah polis yang terpapar di dada akhbar, adalah cerminan betapa Pas benar-benar menjadi 'kuda tunggangan' PKR dan DAP untuk memperlekehkan sistem demokrasi di negara ini. Ternyata, titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya segelintir rakyat tidak mengikut amalan demonstrasi jalanan tidak dipedulikan. Ternyatalah juga titah baginda agar setiap permasalahan yang timbul dan sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan serta tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran", langsung diperlekehkan begitu sahaja. Itu namanya penderhaka. Tetapi buat individu bernama Ambiga, Anwar Ibrahim dan Mat Sabu - mereka hanya 'tersenyum kambing' sahajalah mendengar titah ini. Dan mujurlah pihak berkuasa sudah menghidu tipu muslihat si Ambiga ini, yang bermain wayang kulit dengan 'tok dalangnya' tidak lain dan tidak bukan semua maklum daripada PKR.
Persoalannya - dalam perhimpunan haram itu langsung si Ambiga tidak menyuarakan perihal lapan tuntutan untuk memastikan pilihan raya yang bersih dan telus. Sebaliknya yang kedengaran hanyalah kutukan dan lemparan kata-kata kesat terhadap kerajaan dan polis.
Ternyatalah SPR hanya dijadikan 'kambing hitam' oleh si Ambiga dengan sekadar hendak mencari sebab sahaja bagi 'menghalalkan' perhimpunan haram 'tahunan' itu.
Utusan Malaysia yang sempat bertanyakan hal ini kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof semalam berkenaan si Ambiga disambut dengan gelengan kepala oleh beliau.
Abd. Aziz sendiri tidak mahu anak buahnya diperlekehkan begitu sahaja oleh Ambiga meskipun baru sekali pertemuan dengan peneraju pertubuhan haram itu. Ambiga, kata beliau, akan mensensasikan pertemuan dengan SPR jika dibenarkan sekali lagi. Sebab itu, SPR yang sudah maklum tembelang dan muslihat bekas Presiden Majlis Peguam ini cukup serik dan akan memastikan 'pisang tidak berbuah dua kali'.
"Perhimpunan haram ini tidak lebih daripada 'cerita kartun Bersih' yang bonekanya si Ambiga ni. SPR sebenarnya sudah serik untuk menerima kedatangan Ambiga...kita tidak mahu 'dipatuk ular di lubang yang sama...kita akan elakkan lubang itu," kata Abd. Aziz.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment